Walaupun berdepan dengan penyakit itu dan ini, baik Piee mahupun L Ramlee masih kental meneruskan kehidupan. Malah kedua-duanya tak lokek dengan senyuman dan sudi berkongsi rahsia masih bertahan hingga di saat ini, selain terharu atas kunjungan artis muda yang sudi menjenguk mereka.
Cuma, bagaikan ada sekelumit rasa pilu yang terpendam di hati Piee contohnya. Di sebalik hidupnya yang sering menggeletek hati ramai orang, anak Piee daripada perkahwinan ketiganya iaitu Subariah Shaffii berkongsi sedikit cebisan hati bapanya. Piee berkahwin empat dan tiga daripada isterinya sudah mengadap Ilahi.
"Ada salah faham sikit membabitkannya dengan keluarga isteri keempat. Jadi saya terpanggil untuk mengajaknya tinggal di rumah sekalipun saya bergelar ibu tunggal kepada dua anak. Bapa pun jenis senang jaga dan tak menyusahkan orang. Sudah dua tahun dia tinggal di sini (di Tanjung Bungah).
"Tahap kesihatannya pun OK, cuma dia ada penyakit kencing manis. Kalau sakit dia suka ke Hospital Besar berdekatan dan kebanyakan jururawat Melayu di sana rajin dan melayannya dengan baik. Satu kegemaran dan tabiat dia sekarang ialah minum air Coca Cola. Selalunya saya akan sediakan dia empat botol besar Coca Cola dan dua botol air mineral," katanya yang berniaga menjual nasi campur berdekatan dengan rumah.
Ketika pertemuan dengan Piee, pelawak ini masih tebal dengan sikap humornya. Malah, beliau masih kuat ingatan termasuk mengimbas kembali kenangan menyertai boria di Pulau Pinang dengan hanya dibayar 50 sen.
"Darah tinggi pun saya tak ada. Tapi hidung tinggi adalah (sambil memegang hidungnya). Alhamdulillah saya masih sihat. Nasihat saya kepada artis muda, janganlah minum arak dan tinggal solat," katanya yang mengakui cukup serasi berlakon dengan Saiful Apek.
Datuk L Ramli pula sejak hujung tahun lalu dinasihatkan untuk berehat di rumah dan melupakan seketika kerjaya seni. Ia ekoran jantungnya bengkak selain ada penyakit seperti batu karang dan sakit buah pinggang. Beliau juga ditegah untuk menaiki kenderaan yang boleh bergegar seperti menaiki bas dan kapal terbang.
Kalau naik kereta pun tak boleh dalam tempoh lama. L Ramli juga sudi menjamu rombongan ABPBH dengan pelbagai menu menarik termasuk nasi lemak dan burger di kediamannya di Kepala Batas. Jelasnya, semua anaknya tidak menunjukkan minat untuk menuruti jejaknya dalam dunia seni. L Ramli mempunyai empat anak, tiga daripadanya lelaki dan seorang perempuan, selain 13 cucu.
0 ulasan:
Catat Ulasan