Pada sesi pratonton filem Awan Dania The Movie yang berlangsung di GSC Pavillion baru-baru ini, seperti biasa kelibat Elly Mazlein tetap mencuri perhatian media yang membuat liputan dan ingin tahu perkembangan cerita peribadinya, saat ini.
Tidak rimas diasak persoa lan sama, Elly nampaknya tetap tenang menjawab setiap pertanyaan dari pihak media yang bertanyakan status terkini ikatan pertunangannya dengan pengarah drama dan filem, Azmi Mohd Hatta yang sudah mencecah lebih setahun itu.
Namun, Elly tetap belum bersedia untuk mengulas sama ada dirinya masih tunangan orang mahupun sebaliknya. Menurutnya, dia belum bersedia untuk membuat sebarang kenyataan lanjut mengenainya ketika ini.
"Apa yang saya harapkan, semua orang mendoakan yang terbaik buat kami. Berilah sedikit ruang dan masa untuk saya fokus pada karier seni terlebih dulu. Saya percaya semua orang mahukan yang terbaik dalam hubungan mereka. Itu saja yang boleh saya katakan buat masa ini," katanya.
Elly dan Azmi, 37, mengikat tali pertunangan lebih setahun lalu. Majlis pertunangan mereka berlangsung ringkas tapi meriah di Dewan Berjaya, Bukit Kiara Equestrian Resort pada 29 Mei 2011. Pasangan yang berkenalan sejak 2009 itu dikatakan bakal bernikah pada Februari lalu, namun ia masih tertangguh.
Beralih perkembangan karier nyanyiannya pula, Elly nampak mula bersemangat untuk bercerita lanjut mengenai single terbarunya berjudul Sabarlah Hati selepas tujuh tahun tiada album baru.
"Alhamdulillah, single terbaru berjudul Sabarlah Hati yang membabitkan kerjasama saya dengan KRU Music ini bakal dijadikan sebagai lagu tema untuk slot Samarinda TV3 nanti," katanya.
Dalam perkembangan lain, Elly juga terbabit dengan penggambaran telemovie skizofrenia arahan Hazali Ramli untuk stesen RTM Selain itu, dia juga berlakon dalam telemovie Jihad Umairah dan Firdausi Cinta.
0 ulasan:
Catat Ulasan