Bidang pengacaraan bukan asing bagi penyampai Fly FM, Tham Zher Peen, 28, yang sebelum ini pernah terbabit sebagai pengantara program realiti.

Mesra dengan panggilan Zher, pengalaman selama lima tahun mengacarakan program Quickie 8TV memberikannya keyakinan untuk mengendalikan program baru, G-Thang atau Girls-Thang yang bakal bersiaran bermula hari ini di saluran 8TV.




"Sebelum ini apa yang menjadi penghalang untuk saya kecapi cita-cita ini adalah tahap keyakinan itu sendiri. Bagaimanapun, saya mengambil inisiatif dengan membiasakan diri di depan kamera dan perkara ini sering terbawa-bawa sewaktu saya berada di luar kerjaya," katanya.

Menurutnya, peluang menjadi hos dalam program kali ini memberi sudut keyakinan yang lebih teguh apabila berhadapan situasi realiti.

Zher berkata, pengalaman sebagai penyampai radio turut memainkan peranan penting ketika berhadapan dengan orang ramai serta dapat mengendalikan program itu dengan baik.

"Fokus utama rancangan ini adalah gadis dan mereka yang sukakan cabaran serta berkebolehan dalam apa jua keadaan. Namun begitu, peserta mestilah membongkar kelebihan diri ketika menyertai program ini," katanya.

Menurutnya, program berkenaan berbeza daripada rancangan lain berikutan aktiviti yang dilakukan bersifat mesra alam, segar dan harmoni memberi banyak manfaat kepada peserta mahupun penonton.

"Rancangan ini bukan saja berbentuk hiburan, tetapi sedikit sebanyak memberi ilmu kepada peserta dan penonton ketika berada di tempat percutian kerana ia menyelitkan banyak info berhubung destinasi yang dikunjungi," katanya.

Walau bagaimanapun, wanita sering dikaitkan dengan sifat santun dan lemah lembut, kemunculan rancangan baru, G-Thang yang diperkenalkan 8TV memaparkan sisi wanita moden abad ini yang tidak lagi asing dengan aktiviti lasak sebagaimana lelaki biarpun masih mengekalkan ciri feminin.

G-Thang yang akan disiarkan setiap Rabu pada jam 9.30 malam sebanyak 13 episod mengisahkan gadis biasa dengan kisah luar biasa.

Katanya, gadis-gadis yang mengikuti rancangan itu dapat meyakinkan diri dalam pelbagai situasi yang dihadapi ketika melakukan aktiviti yang tidak sinonim dengan watak kewanitaan.

Pengurus Besar Kumpulan 8TV, Airin Zainul berkata, terdapat ramai gadis di Malaysia yang bukan saja jelita, tetapi masingmasing mempunyai kerjaya dan kisah yang hebat untuk dikongsi bersama penonton.

"Semua gadis, gaya hidup tip dan keseronokan akan dipaparkan dalam G-Thang dan kami berharap rancangan ini dapat memberi inspirasi serta semangat kepada semua gadis di Malaysia," katanya.

Selain bergembira dengan percutian yang indah, penonton juga boleh mengetahui pelbagai tip percutian yang mudah, menyediakan sajian harian, mengatasi ketakutan, mengetahui proses aiskrim buatan sendiri dan juga mempelajari pelbagai kemahiran sepanjang program berkenaan. ~hm

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top