Kerana tuduhan merampas kekasih, Marsha Milan Londoh dan pelakon Nur Fathia didakwa bermasam muka.



Persengketaan timbul apabila kononnya Marsha tidak boleh menerima hakikat cinta hatinya yang juga seorang kerabat, kini sudah beralih arah kepada pelakon berdarah kacukan Arab-Melayu itu. Bagaimanapun, ia sekadar cerita disampaikan dari mulut ke mulut serta belum terbukti kesahihannya.

Terkejut dengan perkhabaran disampaikan itu, Fathia berkata, tidak pernah ada sengketa antara mereka.

"Kami tidak pernah bergaduh dan tiada masalah. Kalau jumpa pun kami tetap bertegur.


Malah kami pernah mengadakan sesi fotografi bersama.

"Gosip ini timbul apabila ada yang mendakwa saya merampas kekasihnya. Apa yang boleh saya katakan, saya tidak pernah merampas kekasih sesiapa. Hubungan saya dengan bekas teman lelakinya sekadar kawan biasa. Buat masa ini, saya memang masih single," tegas Fathia menafikan gosip berkenaan.

Tolak pinangan kerabat

Walaupun mengaku hatinya belum dimiliki mana-mana lelaki, namun gadis ini dikatakan menolak tuah apabila menolak pinangan seorang kerabat. Saat diajukan pertanyaan itu, Fathia mengakuinya.

"Memang saya pernah dilamar kerabat, tetapi saya tolak kerana lebih selesa jika calon suami orang kebanyakan. Saya tak nak jadi hipokrit. Lagipun saya masih muda dan biarlah dalam usia sebegini, saya lebih tumpukan perhatian dalam pelajaran dan kerjaya lakonan," katanya yang enggan mendedahkan identiti kerabat dikaitkan dengannya itu.

Memandangkan statusnya seorang pelajar, Fathia berkata, dia perlu membahagikan masa sebaik mungkin supaya apa yang dikendong ketika ini tidak keciciran.

"Bulan ini saya akan kembali ke kampus untuk meneruskan pengajian dalam bidang perundangan. Seperti pernah saya katakan sebelum ini, apabila kembali bergelar pelajar, segala aktiviti seni akan diperlahankan kerana waktu cuti semester tempoh hari, saya banyak berlakon.

"Ini memang cara saya dan inilah juga strategi supaya orang tidak jemu dengan lakonan saya. Bila cuti, saya akan aktif.

Kalau orang nak kata saya mahu lebih eksklusif, saya tak kisah asalkan ia baik untuk perkembangan kerjaya seni saya," ujar Fathia.

Berdebar jadi pengacara undangan ABPBH

Dijolok pertanyaan tidakkah dia bimbang peminat akan melupakan dirinya apabila mengamalkan sikap `tenggelam timbul' seperti itu, ditambah dengan kehadiran ramai bakat baru, Fathia yakin perkara ia tidak berlaku.

"Jika lakonan kita berkualiti, saya yakin peminat atau penerbit tidak akan lupa dan mereka akan tetap mengambil kita berlakon," tuturnya.

Mengenai pembabitannya sebagai pengacara undangan pada malam kemuncak ABPBH 2012 di Stadium Putra, Bukit Jalil, 7 April ini, Fathia mengakui perasaannya bercampur baur, iaitu bimbang dan teruja kerana inilah julung kali dia menaiki pentas sambil menggalas tanggungjawab penting untuk anugerah berprestij itu.

~ BH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top