Meski rutin seni Erra Fazira, 39, sentiasa padat, dia tidak mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ibu. Malah meletakkan puteri tunggalnya, Engku Aleesya Engku Imran yang akan menyambut ulang tahun keempat pada 30 Mac nanti sebagai keutamaan hidupnya.

Sama seperti ibu lain, andai tidak terikat dengan komitmen kerja, 100 peratus fokus diberikan kepada buah hati hasil perkongsian hidup dengan Engku Imran Engku Zainal Abidin. Soal kerja atau urusan lain diletakkan ke tepi demi kasihnya terhadap Aleesya.

Segala permintaan Aleesya akan dipenuhi selagi tidak memudaratkan. Malah dia akan menyusun pelbagai aktiviti menarik untuk dilakukan bersama-sama. Antaranya, membawa Aleesya keluar bersiar-siar, bermain di pusat permainan atau melakukan aktiviti yang menjana kreativiti.

Untuk memenuhi permintaan Selebriti buat ruangan Relaks, Erra membawa Aleesya ke Tropicana City Mall, Petaling Jaya untuk aktiviti bersama anak. Erra turut membawa sepupunya, Laura Natasya yang sebaya dengan Aleesya.

Kata Erra, dia jarang dapat habiskan masa bersama jadi hari Ahad akan diluangkan masa seharian bersamanya.

"Apa yang dia mahu saya akan ikutkan, tak kisahlah aktiviti dalam atau luar. Aleesya anak yang aktif dan lebih cenderung dengan aktiviti membabitkan fizikal seperti bermain di pusat permainan. Tengoklah tu, semua permainan nak dicubanya.

"Namun, saya cuba seimbangkan aktiviti fizikal dan kreativiti. Bab belajar kita kena cepat, kalau nak sampaikan sesuatu mesti dalam tempoh lima hingga 10 minit. Kalau lebih daripada itu, dia akan cepat bosan. Jadi kita kena gunakan pendekatan fantasi untuk tarik semula perhatiannya.

"Biarpun pelajaran itu penting, saya tidak pernah sekat dia bermain. Itukan hak dia sebagai kanak-kanak. Di tempat Aleesya belajar sekarang pun seimbang pelajaran dan waktu bermain," katanya.

Bercerita lanjut mengenai cinta hatinya itu, Erra menjelaskan, Aleesya anak yang penyayang, prihatin dan boleh mengalah tetapi ada masanya keras hati.

Si kecil yang mewarisi kejelitaan Erra itu juga cenderung dengan muzik dan mudah mencerap apa yang didengar berikutan biasa diperdengarkan dengan muzik dan bacaan al-Quran sejak dalam kandungan.

"Setakat ini nampak dia mudah tangkap muzik. Potensi lain mungkin nampak dari semasa ke semasa. Dia memang rapat dengan ibu saudaranya. Mereka sebaya di mana Aleesya tua dua bulan daripada Laura. Itulah kawan karib dan mereka selalu main bersama.

"Walaupun sayangkan dia, sebagai ibu saya kena bertegas dalam sesetengah perkara. Tidak boleh ikut semua kehendak dia lebih-lebih lagi jika ia memberi kemudaratan di kemudian hari.

"Kenalah tengok keadaan. Kalau yang diminta itu okey saya akan bagi. Biasanya dia akan pujuk saya tetapi bila saya tetap bertegas dia akan faham dan tidak minta lagi.

"Sebagai contoh, makanan ringan dan segera. Bab yang satu ini memang saya tak bagi tetapi tidaklah sampai langsung tak dapat makan. Sesekali adalah juga dia dapat," katanya sambil memantau Aleesya dan Laura bermain.


Erra yang kini mengendalikan program bual bicara Primadona bersama Ziela Jalil, Raja Azura dan Rozita Che Wan, figura jelita ini menerima banyak tawaran sebagai hos termasuk mengendalikan program sendiri.

Lebih mengejutkan, dia juga ditawarkan mengacara pelbagai majlis termasuk sambutan tahun baru dan acara korporat. Erra bagaimanapun menjelaskan, dia memang sukakan cabaran baru itu namun buat masa ini belum bersedia.

"Saya mungkin nampak banyak bercakap tetapi saya lebih bagus sebagai pendengar dan mengacara bagi saya lebih mencabar. Buat masa ini saya mahu fokus kepada Primadona dulu. Masih banyak kelemahan perlu diperbaiki," katanya yang bakal muncul dengan single duet bersama sahabat karibnya, Umie Aida dalam waktu terdekat.

~ Metro Ahad

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top