15 orang pengarah bukan tradisional wanita berkongsi 15 kisah yang menceritakan tentang kehidupan wanita menerusi projek filem pendek, Ikal Mayang sempena menyambut Hari Wanita Sedunia

Diterbitkan oleh GARANG Pictures dengan kerjasama Big Eyes Entertainment, Ikal Mayang bertujuan menunjukkan kepada masyarakat tentang perkara sebenar yang dilalui oleh wanita. Kebanyakan kisah-kisah ini tidak pernah disentuh di dalam mana-mana produksi filem atau drama sebelum ini.

Menurut salah seorang Penerbit Eksekutif projek ini, Low Ngai Yuen, apa yang lebih penting mengenai Ikal Mayang ialah untuk membuka mata masyarakat bahawa wanita tidak lemah dan pandangan stereotaip ini harus dihentikan.

“Wanita sering dianggap lemah dan terlalu bergantung dengan lelaki. Dengan adanya projek ini, kami harap dapat membuktikan kepada masyarakat bahawa wanita juga mampu mencapai cita-cita mereka," ujar Yuen.

Nama Ikal Mayang dipilih kerana ia melambangkan rambut wanita Malaysia yang kebanyakkannya hitam, lebat dan beralun. Kata Yuen, istilah ini juga berkait rapat dengan pepatah Melayu, ‘rambut sama hitam, hati lain-lain’. Untuk projek ini, pepatah ini membawa maksud setiap wanita adalah sama, namun perjalanan hidup mereka serta perit getir yang dilalui adalah berbeza-beza.

Lima belas pengarah yang terlibat dalam projek ini terdiri daripada pelbagai generasi iaitu Ida Nerina, Datin Sofea Jane, Nanu Baharudin, Sharifah Amani, Elaine Daily, Fauziah Nawi, Mislina Mustaffa, Vanidah Imran, Aida Fitri, Carmen Soo, Shamaine Othman, Junad Md Nor, Dira Abu Zahar, Melissa Saila dan Susan Lankester.

Antara 15 filem pendek ini, hanya 10 yang mungkin akan ditayangkan di kaca televisyen. Manakala lima lagi dianggap tidak sesuai untuk tontonan umum memandangkan ia menyentuh serba sedikit sensitiviti masyarakat.

Menurut Pengarah Kreatif projek ini, Ida Nerina, adalah lebih baik baki lima filem pendek itu tidak ditayangkan di kaca televisyen daripada terpaksa disunting sesetengah bahagian yang dianggap sensitif.

“Kami hanya ingin bercerita tentang realiti yang berlaku dalam masyarakat yang melibatkan kaum wanita. Sekiranya terpaksa memotong bahagian tertentu, mesej dan jalan ceritanya tidak dapat disampaikan dengan baik. Lebih baik ia tidak ditayangkan di kaca TV," ujar Ida.

Antara filem pendek arahan 15 Selebriti ini ialah Looks Fool (Nanu Baharudin), The Toast (Susan Lankester), Jerat Suami (Dira Abu Zahar, 1-800-Baby (Datin Sofea Jane), Pantang (Vanidah Imran), Inspektor Mastura (Elaine Daly) Berat Sebelah(Melissa Saila) dan She (Ida Nerina)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top