Dari Sujud Ke Sujud mengisahkan mengenai kehidupan seorang gadis, Shofia (Marshandah) yang dipaksa mengahwini Niam, lelaki yang tidak dicintainya.
Dia yang tidak bersetuju dengan perkahwinan itu kemudian melarikan diri ke sebuah rumah perlindungan (pesantren) yang dimiliki sepasang suami isteri bernama Ustaz Azzam (lakonan Kholidi) dan Ustazah Ana (Oki Setiana).
Pasangan terbabit yang berasa ragu-ragu untuk membenarkan Shofia tinggal di situ kemudian meminta penjelasan sebenar tentang niatnya untuk menetap bersama mereka.
Selepas mengetahui Shofia berada di rumah perlindungan itu, kedua ibu bapanya terus bergegas ke sana untuk membawanya pulang semula ke rumah, sekali gus meneruskan kembali rancangan untuk mengahwinkannya dengan Niam.
Ibu bapa Shofia menerangkan bahawa tujuan sebenar mengahwinkan anak mereka dengan Niam adalah kerana ingin mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku antara Shofia dan teman lelakinya, Niko. Memang Pak Sunar (ayah Shofia) dan isterinya tidak suka akan Niko.
Atas alasan dan sebab yang kukuh diberi ibu bapa Shofia, Ustaz Azzam dan Ustazah Ana kemudian melepaskan kembali Shofia ke pangkuan kedua ibu bapa kandungnya itu.
Shofia seterusnya berkahwin dan tinggal dengan Niam dan sebagai tanda protes atas keputusan ibu bapanya, dia berpura-pura menjadi gila untuk memalukan keluarga Niam. Tujuan ini semata-mata mahu mereka menganggap dia tidak layak untuk dijadikan anak menantu.
Niam yang merasakan harga dirinya seperti dipijak-pijak Shofia tidak percaya dengan keadaan isterinya yang tiba-tiba menjadi gila dan menganggap dia hanya berpura-pura gila.
Malah, Niam menuduh isterinya dipengaruhi Ustaz Azzam dan Ustazah Ana dan mahu melaporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
Pasangan itu walau bagaimana pun menafikan tuduhan itu dan tidak takut dengan ancaman yang dilemparkan Niam kepada mereka berdua.
Shofia yang berpura-pura gila kemudian melarikan diri untuk berjumpa dengan Niko. Niko yang melihat kekasihnya kebingungan lantas ingin mengambil kesempatan untuk menodai Shofia.
Sinetron itu kemudian memfokus masalah yang terjadi antara Ustaz Azzam dan Ustazah Ana sendiri. Ana hamil dan melahirkan anaknya secara pra-matang dan kemudian bayi itu tidak dapat diselamatkan.
Dugaan terus melanda apabila perniagaan Azzam di Australia mengalami kerugian besar dan rumah perlindungan mereka akan disita.
Bagaimana pengakhiran konflik yang berlaku antara Shofia dan suaminya, Niam serta Ustaz Azzam dan Ustazah Ana? Dapatkan semua mereka menemui sinar kebahagiaan yang diimpikan selama ini?
Dari Sujud Ke Sujud disiarkan menerusi saluran Pelangi setiap Isnin hingga Jumaat, bermula 10 Januari, jam 3 petang. Siaran ulangan Dari Sujud Ke Sujud dapat ditonton pada hari yang sama, jam 11 malam.
Sinetron Dari Sujud Ke Sujud dibarisi senarai pelakon hebat Indonesia seperti Marshanda, Dude Harlino, Asmirandah dan Meyda Sefira.
0 ulasan:
Catat Ulasan