Baby Shima tampil konsep Barbie Doll
BABY SHIMA yang mula dikenali melalui pertandingan nyanyian Bintang Idola 2010, Nor Ashima Ramli atau Baby Shima, 20, kini mempertaruhkan single sulungnya yang berjudul, Tak Sabar ciptaan Edry Abdul Halim.

Facebook Baby Shima
Ikuti perkembangan perjalanan karier Baby Shima, boleh layari laman Facebook http://www.facebook.com/pages/Baby-Shima/181815841843404.

Bernaung di bawah KRU Music Sdn. Bhd. bersama Wings, Mojo, Forteen dan VIP, figura berwajah comel ini cuba membuat kelainan dengan menampilkan konsep yang dinamakan sebagai Barbie Doll, happy dan catchy.

Menyemarakkan lagi kemunculan Baby Shima, bekas ahli kumpulan VIP, Fadlan Hazim tampil membuat penampilan khas menerusi single tersebut.


Menurut anak keempat daripada enam adik-beradik itu, dia tidak ingin disamakan dengan mana-mana artis KRU Music yang lain.

"Saya menampilkan konsep Barbie Doll, happy dan catchy menerusi single pertama saya yang berjudul, Tak Sabar ini kerana saya tidak mahu disamakan dengan mana-mana artis seperti Stacy. Ini kerana kami berada di bawah syarikat yang sama dan saya juga ada menyelitkan tarian menerusi klip video single tersebut.

"Bagaimanapun, saya cuba membuat perbezaan dengan melakukan pergerakan tarian yang lebih perlahan, walaupun saya sebenarnya boleh menari dengan agak lincah," ujarnya yang kini diuruskan oleh AiCO Empire Group (Aico) yang dimiliki Adam AF.

Bercerita lanjut tentang dirinya yang bernaung di bawah KRU Music, kata Baby Shima, dia sudah bersama syarikat tersebut sejak setahun yang lalu dan telah mengikat kontrak dengan Aico selama lima tahun.

"KRU Music telah melamar saya untuk menjadi salah seorang artis di bawah naungannya selepas menjuarai pertandingan Bintang Idola pada tahun 2010. Ketika itu saya membawa lagu hit Agnes Monica, Matahari yang merupakan lagu kegemaran dan idola saya.

"Saya amat bersyukur kerana telah ditawarkan untuk menjadi artis di bawah naungan KRU Music yang merupakan sebuah syarikat dengan nama yang besar dan dikenali ramai," katanya.

Makna di sebalik panggilan 'Baby'

Mengulas lanjut mengenai perjalanan kariernya pada masa hadapan, Baby Shima memberitahu, dia akan memberikan komitmen sepenuhnya dalam bidang nyanyian dan sentiasa berusaha memajukan diri sebagai pendatang baharu dalam dunia hiburan ini.

"Saya akan memberi sepenuh perhatian kepada perjalanan seni saya dan berharap akan berjaya mendapat tempat di hati para pendengar dalam negara. Selain berusaha memperbaiki dan merancang karier nyanyian, saya turut meminta tunjuk ajar daripada abang Edry, Adam dan ramai lagi untuk tampilkan yang terbaik," bicaranya.

Pada sidang akhbar yang diadakan baru-baru ini di pusat beli-belah One Utama, Damansara, Kuala Lumpur, dia turut berkongsi maklumat mengenai panggilan 'Baby' yang digunakan sebagai nama komersialnya.

"Panggilan Baby itu sebenarnya diberikan oleh Abang Edry kerana melihat kepada perawakan saya yang dikatakan manja dan lembut. Saya juga berasa senang hati dan selesa dengan nama komersial yang dicadangkan Abang Edry itu," katanya.

Dalam pada itu beberapa komposer terkenal tanah air seperti Azmeer, Cat Farish, Adam AF, Tam Spider dan Edry sendiri telah bersedia dan akan membantu Baby Shima dalam mengembangkan bakat yang dimilikinya.

"Saya berasa sangat beruntung kerana sudah ada komposer-komposer yang ingin memberikan saya lagu mereka untuk dinyanyikan nanti," katanya.

Baby Shima juga mengakui sokongan daripada ahli keluarganya menjadi penguat semangat untuk dia terus mengorak langkah dalam dunia seni ini.

"Ibu dan adik-beradik saya sentiasa memberi dorongan dan motivasi kepada saya supaya tidak mudah berputusa asa dan sentiasa berdikari.

"Pada mulanya saya sangka mudah untuk menjadi penyanyi, tetapi sangkaan saya itu meleset apabila melihat betapa susahnya untuk menghasilkan lagu yang terbaik sebelum berjaya menarik perhatian peminat," katanya.

Tak Sabar sudah mula diperdengarkan di stesen-stesen radio tempatan sejak Disember yang lalu.

Tayangan eksklusif klip video Tak Sabar yang diusahakan pada Ogos tahun, bakal menghiasi stesen televisyen tempatan dan juga di Tonton.com.my.


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top