Filem The Impossible merupakan karya Juan Antonio Bayona,  yang meraih satu-satunya pencalonan di The Oscars 2013 dalam kategori Aktres Terbaik daripada lakonan Naomi Watts.

Diangkat daripada kisah benar bagaimana lima sekeluarga terselamat dalam bencana itu di pulau peranginan, Phuket, Thailand, pastinya bukan mudah untuk meresap jauh ke empunya diri yang menempuh detik cemas itu. Namun, menyebut nama Naomi Watts, siapa yang boleh mempertikaikan kredibiliti cemerlang aktres berusia 40 tahun setiap kali membawakan wataknya.

Memegang watak Maria, ibu kepada Lucas (Tom Holland), Thomas (Samuel Joslin) dan Simon (Oaklee Pendergast), ketegangan itu pastinya lebih dirasainya memandangkan dia sendiri juga bergelar seorang ibu. Apalagi berdepan dengan bencana paling ditakuti itu seorang diri selepas terpisah dengan ahli keluarganya, sesuatu yang sangat sukar.

Berpeluang berjumpa sendiri dengan keluarga sebenar Maria, Naomi berkata, dia sangat berbesar-hati apabila mendengar sendiri bagaimana tabahnya setiap mereka menempuh tragedi itu. Bagaimanapun, dia mengakui sangat gementar sebelum berjumpa mereka terutamanya Maria.

"Apabila sudah bertentang mata dengan Maria sendiri, saya tidak tahu bagaimana harus saya mulakan perbualan. Saya hanya seorang pelakon dan Maria, dialah yang menghadapi sendiri tragedi itu. Selepas hanya lima minit duduk dan saya hanya mampu berdiam, dia kemudian memulakan ceritanya.

"Sebaik dia bercerita, barulah saya mula rasa selesa dan menyelami setiap kisahnya dengan teliti sehingga tiga setengah jam lamanya. Selepas perjumpaan itu, kami sentiasa berhubung menerusi emel untuk menyatakan secara terperinci lagi mengenai kejadian itu.

"Cukup mengagumkan, dia banyak bercerita mengenai naluri serta kebolehannya untuk sentiasa percaya kepada dirinya yang mana kemampuan sebegitu susah untuk dikekalkan. Semakin saya mendalami dan tertanya lebih lagi mengenai apa yang dia lalui, saya merasakan cerita ini semakin menarik dan istimewa," katanya.

The Impossible mengisahkan kegembiraan satu keluarga Sepanyol diragut sewaktu ingin meraikan Krismas di Phuket. Berdasarkan kisah sebenar, filem ini merungkai bagaimana mereka tidak berputus-asa menjejak ahli keluarga lain selepas masing-masing terpisah dihanyutkan ombak ganas itu.

Amat menyentuh hati, sarat dengan permainan emosi, peminat juga pastinya dapat melihat sendiri lakonan mantap Naomi yang mengakui dapat merasai sendiri penderitaan Maria manakala watak suaminya, Henry Bennett pula dilakonkan Ewan McGregor.

Bergelar ibu kepada Sasha, 5, dan Sammy, 4, dan isteri kepada aktor terkenal, Liev Schreiber, menurutnya, pengalaman menjayakan penggambaran yang serba mendebarkan itu sedikit memberinya gambaran bagaimana situasi dilalui setiap mangsa bencana berkenaan.

"Setiap perincian yang saya dapat membantu saya untuk berimaginasi mengenai kejadian itu. Setiap babak yang dilakukan memberikan kami pengalaman walaupun jika dibandingkan dengan peristiwa sebenar, tidaklah sehebat itu.

"Paling mengagumkan saya, apabila dalam pada berusaha menyelamatkan dirinya sendiri, Maria tetap menguatkan nalurinya untuk percaya ahli keluarganya yang lain masih hidup. Dia sangat yakin dengan dirinya walaupun terpaksa membuat keputusan terbesar dalam hidupnya, sesuatu yang tidak pernah saya fikir saya sendiri boleh lakukannya.

"Walaupun sudah banyak kali melakonkan watak ibu dan sekarang pun saya seorang ibu, saya sendiri sering risau meskipun hal-hal kecil menimpa anak saya. Namun, membawakan watak berkenaan, saya berusaha menyuntik karakter lebih berat seperti yang diceritakan Maria," kata aktres yang bakal mendukung watak Puteri Diana menerusi kisah biografi mendiang itu menerusi filem Diana nanti.

Terkenal dengan profil cemerlang membawakan watak berat dalam pelbagai filem termasuklah 21 Grams, King Kong dan Mulholland Drive, Naomi sekali lagi membuktikan kebolehannya dalam filem ini. Ternyata bukan seorang yang gentar menyahut cabaran, mengakui takut dengan air, Naomi bagaimanapun menolak semua itu hingga hampir berhadapan kematian.

Naomi berkata, ketakutannya terhadap air tercetus apabila dia pernah menempuh detik hampir lemas ketika berenang di perairan Australia beberapa tahun lalu.

"Kejadian itu berulang lagi ketika menjalani penggambaran untuk satu babak dalam The Impossible apabila berlaku kesilapan teknikal yang menyebabkan saya hampir lemas.

"Untuk babak itu saya diikat pada satu kerusi dan sewaktu berendam dalam air, tiba-tiba kerusi itu berpusing-pusing serta menarik saya ke dalam air. Memang mencemaskan ketika itu kerana saya hampir-hampir tidak dapat keluar dan kehabisan nafas manakala kru pula tidak jumpa suis untuk memadamkannya," katanya.

Menyifatkan cabaran utamanya adalah daripada segi fizikal, Naomi berkata, paling disukainya ialah babak dia bermain dengan emosi.

"Sewaktu mendengar idea mengenai tsunami ini difilemkan, saya rasa seperti ada sesuatu yang tidak kena. Ia sesuatu kejadian yang menjadi bualan ramai dan bagaimana pula penerimaannya nanti.

"Ia menceritakan mengenai kerosakan harta benda, kematian dan tidak terkecuali, gangguan psikologi," katanya.

Filem ini mula ditayangkan di Malaysia pada 17 Januari ini.

Trailer The Impossible


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top