Pelakon Nor Syuhaida (Dottie) tidak patah semangat
Di antara nama Nor Syuhaida dan panggilan pentasnya, Dottie, pasti ramai yang mengenali gadis bertubuh besar ini dengan judul drama pernah dibintanginya dulu. Sehingga kini, nama Dottie cukup lekat dengannya dan dia pun nampaknya amat selesa dengan gelaran itu.
Pernah tersenarai sebagai finalis kategori Artis Baru Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2010 lalu, Dottie mengakui dia juga akur dengan pasang surut hidup sebagai anak seni. Apatah lagi, tanpa pakej lengkap pada dirinya membuatkan peluangnya untuk mengorak langkah lebih jauh agak terhad.
"Namun, saya tidak kesal atau terlalu berasa rendah diri dengan tubuh besar yang dimiliki ini. Bagi saya, sama ada gempal atau kurus, ia adalah pemberian Tuhan dan saya harus bersyukur. Apatah lagi, saya yakin peminat sekarang tidaklah terlalu memandang pada saiz seseorang pelakon itu kecuali bakat dimiliki.
"Atas sebab itu, saya sentiasa pastikan berfikiran positif untuk lebih maju ke hadapan. Apatah lagi, melihat kejayaan beberapa artis tempatan yang bertubuh besar seperti penyanyi, Adibah Noor dan pengarah, Afdlin Shauki sudah membuktikan mereka berjaya di dalam kerjaya seni diceburi ini Jadi, pokok pangkalnya usaha.
"Apapun, sepanjang tiga tahun bergelar anak seni ini saya semakin memahami perjalanan industri. Tak dinafikan, biar pun sekarang saya kekurangan tawaran berlakon tetapi ia tak pernah mematahkan semangat untuk mengundur diri daripada lakonan. Saya yakin dengan rezeki Tuhan dan usaha mesti berganda," katanya.
Berasal dari Taiping, Perak, Dottie juga berkata selama dia menjadi pelakon, watak diberikan padanya agak kurang berkembang, barangkali kerana faktor tubuh badannya yang besar. Bagaimanapun, dia tetap mengharapkan semoga suatu hari nanti bakat lakonannya akan lebih diuji dengan watak lebih berat.
"Kalau boleh saya ingin diberi peluang melakonkan watak lebih serius. Tidak semestinya dengan tubuh gempal ini, saya hanya layak melakonkan karakter bergenre komedi. Apa yang pasti, demi kepuasan diri saya yakinkan penonton dapat merasai setiap karakter dilakonkan itu sebaik mungkin walau wataknya ringan.
"Bagi saya lagi, penting untuk penonton dapat merasakan sesuatu watak yang dilakonkan itu," katanya memaklumkan penonton di negara ini sudah diajar menerima artis yang mempunyai pakej untuk lebih menonjol.
Pun begitu, apa yang selalu dilakukannya ialah memotivasikan diri untuk terus bersemangat.
Bakal muncul dengan filem Pada Suatu Cinta Dahulu arahan Hashim Rejab yang diterbitkan MIG pada Februari ini, Dottie berkata dia juga bukanlah seorang pelakon yang terlalu cerewet mengenai watak. Ujarnya, apa yang menjadi keutamaannya ialah watak dilakonkan itu perlulah benar-benar sesuai dengannya.
Turut beraksi dalam drama Hero Bola, Dottie juga mengakui dia tidak gentar perlu berhadapan saingan dengan kemunculan ramai pelakon baru yang kebanyakannya bertubuh langsing.
0 ulasan:
Catat Ulasan