Ketandusan pelawak wanita di Malaysia merupakan antara sebab artis versatil, Raja Azura binti Tengku Ahmad Tajudin atau lebih dikenali sebagai Kak Engku menerima tawaran untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar bagi program realiti terbaru di TV3, ‘Bintang Mencari Bintang’.

“Jika diperhatikan, dah tak ramai pelapis pelawak wanita di Malaysia. Kalau dulu kita ada Yusni Jaafar, Norlia Ghani, Wan Maimunah dan Kartina Aziz, tapi sekarang dah tak ada sangat dan semakin berkurangan. Biarpun sebelum ini dah ada beberapa program realiti disiarkan namun kebanyakannya memperlihatkan peserta kena bergerak sendiri tanpa ada mentor untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka.

“Bagi saya, usaha TV3 untuk menggilap bakat baru sebagai penghibur ini wajar dipuji. Saya sendiri sebenarnya tak sangka bila pihak TV3 menawarkan saya untuk terlibat dalam program ini, namun saya rasa gembira dan suka sangat kerana saya memang mahu mencari orang yang boleh saya curahkan segala pengalaman sepanjang 28 tahun saya dalam industri ini.   

                
“Bagi saya, ia satu tanggungjawab yang berat apatah lagi saya bukannya betul-betul seorang pelawak. Walau bagaimanapun, saya akan cuba membantu peserta dan tidak akan kedekut ilmu untuk berkongsi segala pengalaman yang ada pada diri kepada anak didik saya nanti,” ujar Kak Engku kepada GUA ketika ditemui pada sidang media ‘Bintang Mencari Bintang’ di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, petang semalam.

“Tidak dinafikan memang agak susah untuk mencari pelawak wanita namun saya rasa tak menjadi masalah sebab berlawak ini macam berlakon teater juga. Saya rasa semua orang boleh jadi pelawak, asalkan dia tak malu dan boleh cari serta buat ‘punchline’. Lagipun, skop pelawak sangat besar di mana mereka juga berpeluang untuk menjadi penyanyi, pelakon dan juga pengacara.”

Berkongsi mengenai kriteria pilihannya, Kak Engku memberitahu, “Program ini nak cari penghibur, jadi orang itu kenalah versatil dan boleh lakukan semua perkara. Sebagai permulaan, saya akan beri tunjuk ajar kepada mereka sebelum mereka bergerak di atas landasan sendiri. Kalau boleh biarlah orang itu memiliki IQ yang tinggi, bercakap berdasarkan fakta serta tidak hanya membuat lawak kosong saja. Saya mahu cari pelapis yang boleh ganti tempat saya satu hari nanti dan jadikan dia seorang bintang yang disegani dan versatil.”


0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top