Minyak Dagu karya seram terbaru Azhari Zain

Filem Minyak Dagu menjadi filem pembuka tirai tahun 2013. Filem ke-71 terbitan MIG ini merupakan filem seram kelima arahan pengarah yang tidak asing lagi, Azhari Zain.

Mempertaruhkan tiga teraju utama, Yana Samsudin, Fezrul Khan dan Fizo Omar, Minyak Dagu turut membariskan pelakon lain seperti Siti Aziz, Zul Suphian, Latif Borgiba, Kartina Aziz, Maimon Mutalib dan Mior Hashim Manap.



Secara keseluruhan, bagi penulis, ia adalah filem seram terbaik karya Azhari berbanding Santau, Mantra, Flat 3A dan Keramat.

Filem ini memperlihatkan sikap sesetengah masyarakat yang hidup serba moden, namun masih percaya pada perkara khurafat untuk mencapai apa dihajati.

Perkembangan plot serta penjelasan mengenai setiap watak digarap dan disusun dengan kemas oleh Azhari sepanjang 82 minit durasi filem ini ditayangkan.

Biarpun ada beberapa babak yang agak 'janggal' pada pemikiran dan ada ketika menjadi bahan tawa, namun secara keseluruhannya, ia tidak merosakkan jalan cerita.

Manakala dari sudut sinematografi pula, permainan sudut kamera dan pencahayaan suram, berjaya membuatkan penonton berasa seram, begitu juga dengan selitan audio yang akan membuatkan penonton cemas.

Malah dari segi lakonan pula, ketiga-tiga teraju utama memberikan lakonan yang cukup mantap.

Penonton akan merasai kesengsaraan Yana sebagai Emelda yang bergelut dengan minyak dagu dan lupa pada segalanya kerana gila bayang.

Manakala Fezrul yang membawakan watak sebagai Azman akan menimbulkan kebencian kepada penonton, sehinggakan ada terasa sangat marah dengan Azman kerana sikap pentingkan dirinya itu.

Fizo pula sebagai Doktor Johan, berjaya membuatkan penonton keliru, sama ada dia sebenarnya yang menggunakan minyak dagu atau dia adalah hero dalam filem ini.

Minyak Dagu mengisahkan Azman yang bertekad mahu membalas dendam apabila tunangnya, Emelda memutuskan tunang untuk berkahwin dengan lelaki lain.

Dia berjumpa bomoh yang mengajarnya cara meletakkan sumpahan terhadap Emelda sehingga membuatkan Emelda menghadapi histeria pada hari perkahwinannya.

Perbuatannya secara tidak langsung membawa kepada kematian ibu Emelda, yang mana pengebumiannya dihadiri Azman atas rasa kesal.

Bagaimanapun, hal ini bertentangan dengan arahan bomoh, yang telah beri amaran kepadanya supaya tidak melawat si mati kerana boleh membawa padah.

Apakah akan terjadi seterusnya? Dapatkah Emelda terlepas daripada sumpahan minyak dagu? Dapatkah Azman memiliki Emelda? Jangan lupa saksikan filem ini di pawagam.

~ SH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top