Program realiti terbaru ‘Bintang Mencari Bintang’ bakal ke udara di TV3.

‘Bintang Mencari Bintang’ merupakan sebuah program 15 episod yang memperlihatkan kewibawaan barisan sifu terkenal tanah air dalam mencungkil serta menggilap bakat baru bagi melahirkan seorang penghibur yang versatil dan berbakat.

“Ini bukan benda baru yang pernah dihasilkan oleh TV3 di mana sebelum ini kami pernah menerbitkan program 'Sinaran Pasport Kegemilangan' pada tahun 1994 di mana kami mencari bakat yang boleh bersketsa komedi dan juga menyanyi.

“Sudah lama kami merancang perkara ini dan kami rasa ini adalah masa yang sesuai untuk pihak kami mencari bakat baru bagi diserapkan dalam program-program untuk empat stesen di bawah Media Prima Berhad seterusnya dapat membawa mereka pergi lebih jauh lagi dalam industri hiburan negara,” ujar Penerbit Eksekutif ‘Bintang Mencari Bintang’, Muhamad Sufian Isa ketika ditemui pada sidang media di Sri Pentas TV3, Bandar Utama, petang tadi.

Bagi musim pertama, enam sifu yang bukan calang-calang orangnya telah diberi amanat untuk menggalas tanggungjawab besar sebagai tenaga pengajar. Mereka terdiri daripada penghibur yang cukup berpengalaman seperti Afdlin Shauki, Harun Salim Bachik, kumpulan Senario (Wahid, Azlee dan Mazlan), Raja Azura, Sabri Yunus dan juga Zizan Razak.

      “Setelah rundingan dilakukan, enam sifu ini dipilih berdasarkan kualiti yang dimiliki iaitu berpengalaman luas di dalam bidang sketsa komedi dan nyanyian serta berkaliber sebagai tenaga pengajar. Mereka bertanggungjawab untuk memberi tunjuk ajar kepada peserta berkaitan bidang seni persembahan, sketsa komedi dan juga nyanyian bagi memperlengkapkan diri sebagai seorang penghibur,” tambah Muhamad Sufian Isa.


Misi pencarian ‘Bintang Mencari Bintang’ kini bermula di mana dua nama besar iaitu Fauziah Datuk Ahmad Daud dan Ajai diberi tugas sebagai juri untuk memilih peserta yang berkelayakan ke pusingan seterusnya di mana peserta yang terpilih ini kemudiannya akan dinilai oleh keenam-enam sifu untuk memilih anak didik di bawah mereka.    

Sesi ujibakat terbuka kepada warganegara Malaysia berusia 18 hingga 28 tahun, lelaki atau perempuan, solo atau berkumpulan tidak melebihi dua orang serta memiliki bakat untuk bersketsa komedi dan boleh menyanyi. Peserta perlu membawa kad pengenalan, gambar berukuran pasport dan 4R serta membawa minus one lagu-lagu yang bakal dipersembahkan untuk penilaian juri.

Mereka yang berminat boleh menghadiri sesi uji bakat yang bakal diadakan di AEON Seberang Perai City, Pulau Pinang (19 & 20 Jan 2013), Centrepoint Kota Knabalu, Sabah (26 & 27 Jan), Boulevard Kuching, Sarawak (2 & 3 Feb), Kota Bharu Trade Centre, Kelantan (8 & 9 Feb), Plaza Angsana, Johor Bahru (16 & 17 Feb) dan AEON AU2 Setiawangsa, Kuala Lumpur (23 & 24 Feb).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top