Krisis antara pelakon, Shah Iskandar dengan Persatuan Seniman selesai apabila pelakon Runtun Qalbu itu meminta maaf kepada Seniman, semalam.

Perkara itu disahkan oleh Zed Zaidi selaku Presiden Seniman ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pelakon kelahiran Singapura itu sudah meminta maaf atas kenyataan yang dibuatnya dalam sebuah akhbar tempatan itu.

“Dia (Shah) sudah jumpa saya semalam untuk menjelaskan semua yang berlaku... dia juga ada menghantar e-mel pada Seniman untuk meminta maaf.

Jadi, sekarang saya dah fahamlah... semuanya sudah selesai,” katanya kepada Sinar Harian Online.

Dalam kenyataan Ahad lalu, Shah mengaku kecil hati dengan isu dibangkitkan Seniman yang membantah kebanjiran artis luar selain keliru mengapa isu itu dibangkitkan.

Shah juga mengatakan tindakan Seniman itu menyekat rezeki mereka sedangkan mereka turut membayar cukai dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Ekoran kenyataannya itu, Shah dibidas Zed Zaidi yang mengingatkan pelakon itu agar tidak mempertikaikan tindakan Seniman.

Ketika dihubungi sebentar tadi, Shah mengakui lega apabila isu tersebut sudah selesai.

“Saya diberitahu jika ada apa-apa (kekeliruan pada masa akan datang) rujuk pada dia (Zed Zaidi).

“Sudah selesai, sudah tentu saya rasa lega,” katanya.

Sementara itu, mengulas lanjut isu terbabit, Zed Zaidi berharap perkara tersebut menjadi pengajaran kepada artis lain supaya jangan mempertikai tindakan Seniman.

“Apa yang Seniman buat untuk kebaikan ahlinya..jika mereka mempertikai secara terbuka, ia seolah-olah menentang persatuan.


“Sebagai ahli, mereka tak ada hak untuk memberi kenyataan media... hanya setiausaha agung dan presiden saja yang boleh beri kenyataan. Ahli hanya boleh beri pandangan saja... tak boleh pertikai,” katanya.

Zed Zaidi juga menasihatkan agar ahlinya memaklumkan sebarang kemusykilan atau sebarang rasa tidak puas hati dalam Mesyuarat Agung Seniman.

“Dalam Perlembagaan Seniman, ahli yang menentang atau cuba menjatuhkan persatuan boleh diambil tindakan.

“Nak pertikai bukan melalui media tetapi melalui mesyuarat agung. Di situ mereka boleh suarakan segala rasa tak puas hati,” katanya yang sudah menjelaskan perkara tersebut kepada Shah dalam pertemuan semalam.

Sementara itu, Zed Zaidi memberitahu persatuan bakal mengadakan kursus sehari dalam masa terdekat bagi semua ahli baru.

“Kami akan buat satu kursus untuk semua ahli baru dalam masa terdekat. Ia sebagai pendedahan awal untuk mendidik mereka terhadap peranan Seniman.

“Persatuan juga akan selitkan program berkaitan komunikasi dan penjelasan tentang dadah dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan,” katanya. ~ SH

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top