Mereka adalah, Ahmad Afif Tirmizie (Afif), 25, dari Selangor, Mohamad Amirullah Jahari, 19, (Amir/Sarawak), Mohamad Azri Abdullah, 24, (Azri/Selangor), Khairul Najmuddin Abu Samah, 20, (Erul/Kuala Lumpur), Nur Khaidir Muhd, 22, (Kay/Kuala Lumpur) dan Fahrur Raqib Abdul Majid, 21, (Raqib/Melaka).
Peserta wanita pula, Nur Suhada Jebat, 19, (Aida/Melaka), Nur Atiqah Shariffudin, 22, (Eka/Kuala Lumpur), Zulaika Zahari, 22, (Laika/Selangor), Lenaber Haidir, 21, (Lena/Sabah), Roshammizah Rosli, 28, (Miza/Selangor) dan Queennera Francine Francis, 19, (Nera/Sabah).
Sempat memperdengarkan vokal masing-masing pada majlis sidang media memperkenalkan Barisan Pelajar dan Tenaga Pengajar AF9 itu, penerbitan AF9 kali ini dilihat cukup menarik kerana selain terus merahsiakan kerusi Pengetua yang bakal menerajui program berkenaan, nama Adlin Aman Ramli dan Ning Baizura turut diumumkan sebagai tenaga pengajar.
Pernah duduk di bangku pengkritik untuk beberapa musim dan sepanjang menggalas tugas itu kedua-duanya berjaya memberikan pelbagai komentar yang bernas dan positif sehingga menarik minat pihak Astro untuk menyerapkannya sebagai penggerak nadi AF kali ini.
Adlin akan bertindak sebagai guru seni persembahan manakala Ning Baizura (guru vokal persembahan). Sementara tenaga pengajar lain adalah mereka yang berpengalaman dalam program ini iaitu Fatimah Abu Bakar selaku kaunselor motivasi dan guru bahasa Inggeris yang memasuki tahun kelapan bersama AF kecuali AF4, Aris A Kadir (guru tarian) dan Syafizawati Sharif (guru vokal teknikal).
Menerusi temubual dengan Wartawan Hiburan Harian Metro, Norhadiani Baharom (yanie@hmetro.com.my), Ning berkongsi misi dan visinya sempena pelantikan itu.
RAP: Bilakah anda menerima tawaran daripada Astro untuk menjadi salah seorang tenaga pengajar?
Ning Baizura (NB): Lebih kurang dua bulan lalu. Ketika diminta menghadiri perbincangan saya ingat Astro mahukan saya sekali lagi untuk menjadi pengkritik. Saya tak sangka pula mereka menawarkan saya menjadi tenaga pengajar.
RAP: Apa reaksi anda ketika itu?
NB: Pada awalnya pelbagai persoalan bermain di minda saya khususnya soal kemampuan. Bolehkah saya menggalas tugas ini dengan baik.
Namun, selepas berbincang saya nampak jelas misi AF9 kali ini di mana Astro mahukan saya dan Adlin yang dulunya duduk di bangku pengkritik untuk bersama-sama menyertai tenaga pengajar lain membantu pelajar membentuk persembahan yang baik dalam nyanyian mereka.
Saya tidak mengambil masa lama memikirkannya. Selepas dua tiga hari, saya terus menyatakan persetujuan.
RAP: Pernahkah terfikir
untuk menjadi tenaga pengajar AF?
NB: Tidak dinafikan keinginan memang ada kerana saya sendiri pun suka untuk berkongsi ilmu serta pengalaman dengan pendatang baru kerana mereka inilah yang akan menjadi pelapis kepada penghibur sedia ada.
Sebelum ini, saya pernah mengajar vokal dalam rancangan lain tetapi ia lebih kepada kerja di belakang tabir. Berbeza dengan AF9 kerana ia dipertontonkan kepada umum justeru saya melihatnya bukan saja sebagai proses pembelajaran buat pelajar tetapi untuk diri sendiri juga, di mana pasti akan ada teguran daripada pelbagai pihak yang boleh membantu saya memperbaiki kelemahan.
Lebih mengharukan saya, ini adalah AF yang terakhir dan saya terpilih menjadi sebahagian daripada tenaga pengajar dalam program realiti hiburan paling popular ini.
RAP: Mengkritik dan mengajar dua tanggungjawab berbeza. Justeru bagaimana anda melihat cabaran sebagai tenaga pengajar?
NB: Sebagai pengkritik saya memberi komen berdasarkan persembahan keseluruhan pelajar dengan menyentuh soal 'picthing' suara dan penghayatan dalam nyanyian.
Tetapi tugas tenaga pengajar lain. Saya perlu membimbing mereka dan ternyata untuk melahirkan penyanyi yang baik dalam tempoh tiga bulan agak sukar dilakukan tetapi itulah cabarannya apabila menyebut mengenai program AF ini. Perkara pertama yang saya lakukan, adalah dengan mendekati peserta mencari kelebihan dan kekurangan mereka supaya dapat membantu mereka mengenai apa yang patut mereka kekalkan dan tingkatkan. Saya mahu mereka menerima saya sebagai guru dan bukannya penyanyi.
RAP: Lantang memberikan kritikan sebelum ini, apakah anda sudah bersedia dikritik penonton selepas ini?
NB: Saya baru saja membincangkan hal ini dengan Kak Faty (Fatimah Abu Bakar) tetapi saya berani katakan jika tidak bersedia tak mungkin saya menerima tawaran ini. Konsert Tirai AF yang bermula pada 2 April ini adalah permulaannya dan saya sedia menerima teguran positif demi kebaikan pelajar dan diri sendiri.
RAP: Pendapat anda mengenai 12 calon pelajar yang dipilih?
NB: Mereka semua boleh menyanyi dan ada gaya tersendiri. Miza misalnya, nada suaranya seperti Aretha Franklin. Saya lihat rata-rata pelajar AF9 mempunyai nada suara yang besar tetapi belum pandai mengawal dan menggunakannya dengan betul. Saya percaya selepas diberikan tunjuk ajar mereka akan menjadi penyanyi yang baik.
RAP: Pendekatan anda dalam membimbing pelajar?
NB: Saya tidak akan mengajar mereka dari segi teori kerana tugas itu akan dilakukan cikgu Syafi.
Kelas di bawah kendalian saya lebih kepada praktikal dan saya akan berkongsi sebanyak mana pengalaman yang ada. Saya akan mengajar mereka perkara asas, contohnya sewaktu sidang media tadi saya lihat cara mereka pegang mikrofon pun salah.
Saya akan memberitahu mereka, kesan di sebalik kesalahan kecil yang mungkin orang tidak pernah sedar sebelum ini. Saya akan berkongsi tips dengan mereka menghilangkan rasa gemuruh.
Termasuk cara berdiri dengan betul ketika membuat persembahan, penghayatan serta memahami maksud lagu yang disampaikan. Saya juga akan berkongsi serba-sedikit pengalaman bagaimana untuk mereka berhadapan dengan dunia luar selepas tamatnya program ini nanti.
Banyak perkara sudah saya rangkakan untuk pelajar ini dan jika ingin mengetahuinya jangan lupa menonton Diari AF9 yang disiarkan dimulai 4 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat, jam 9 hingga 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
RAP: Bagaimana reaksi suami anda mengenai hal ini (tenaga pengajar) memandangkan pembabitan dalam AF9 ini menuntut komitmen yang tinggi?
NB: Suami sangat menyokong dan ketika berbincang dengannya, ucapnya pada saya, 'good luck' sambil menepuk bahu. Sepanjang ketiadaan pengurus, suami banyak membantu saya.
Pada 1 April ini, secara rasminya dia menguruskan karier seni saya. Rasanya lebih mudah bekerja dengan suami kerana dia lebih memahami saya.
RAP: Apalah impian Ning apabila terbabit dalam AF9?
NB: Saya tidak menjanjikan pelajar akan menjadi 'superstars' kerana untuk sampai ke tahap itu perlu berusaha keras selain hanya boleh dicapai melalui proses yang dinamakan pengalaman. Sasaran saya untuk menjadikan mereka penyanyi yang baik dan jujur dalam persembahan mereka juga dengan kerjaya yang mereka lakukan.
RAP: Perkembangan terbaru anda sekarang?
NB: Selain AF9, saya sedang dalam perancangan mengadakan konsert di Life Centre, Kuala Lumpur anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara. Bagaimanapun, persiapan secara terperinci akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi.
0 ulasan:
Catat Ulasan