KUALA LUMPUR: Astro pada Isnin memperkenalkan 12 pelajar Akademi Fantasia kesembilan (AF9) termasuk lima barisan tenaga pengajar termasuk dua muka baru.
Para pelajar pada kali ini ialah Ahmad Afif Tirmizie (Afif), 25, dari Selangor, Mohamad Amirullah Jahari, 19, (Amir – Sarawak), Mohamad Azri Abdullah, 24, (Azri – Selangor), Khairul Najmuddin Abu Samah, 20, (Erul – Kuala Lumpur), Nur Khaidir Muhd, 22, (Kay – Kuala Lumpur) dan Fahrur Raqib Abdul Majid, 21, (Raqib – Melaka).
Turut serta adalah Nur Suhada Jebat, 19, (Aida – Melaka), Nur Atiqah Shariffudin, 22, (Eka – Kuala Lumpur), Zulaika Zahari, 22, (Laika – Selangor), Lenaber Haidir, 21, (Lena – Sabah), Roshammizah Rosli, 28, (Miza – Selangor) dan Queennera Francine Francis, 19, (Nera – Sabah).
Tenaga pengajar baru pula ialah Adlin Aman Ramli sebagai guru seni persembahan dan Ning Baizura (guru vokal persembahan) Sementara tenaga pengajar lain termasuklah Fatimah Abu Bakar (kaunselor motivasi dan guru bahasa Inggeris) yang memasuki tahun ke-8 bersama-sama AF kecuali AF4, Syafizawati Sharif (guru vokal teknikal) dan A. Aris A. Kadir (guru tarian).
Buat pertama kalinya dalam sejarah AF, program Diari AF9 akan dirakamkan dari ruang legar tingkat bawah Jusco AEON, AU2, Setiawangsa.
Diari AF9 akan disiarkan bermula 4 April ini, setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 9 hingga 9.30 malam di Astro Ria (saluran 104).
Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, pemilihan lokasi tersebut dilakukan secara terbuka kerana mahu memberikan peluang peminat menonton sesi pembelajaran 12 pelajar AF9 secara dekat.
Tambahan pula, Jusco AEON Setiawangsa dirasakan sesuai untuk menempatkan pelajar dan tenaga pengajar bermula waktu pagi hingga petang pada setiap Isnin hingga Jumaat dalam rumah lut sinar.
Para pelajar akan ditempatkan di suatu lokasi lain untuk tidur pada waktu malam.
"Kami mencari pendekatan baru untuk penonton untuk penonton menonton Diari AF sambil mereka boleh mengambil gambar secara langsung.
"Bagaimanapun, para pelajar tidak bebas untuk keluar dan masuk dari rumah tersebut kerana sepanjang masa mereka perlu dikurung untuk belajar melainkan boleh keluar untuk solat dan ke tandas.
"Seperti dahulu, jurukamera akan merakam pergerakan pelajar dan tenaga pengajar di dalam rumah tersebut untuk ditonton di Diari AF. Malah penonton juga boleh menonton program itu menerusi laman sesawang rasmi www.akademifantasia.com.my secara langsung," ujar Azlin ketika sidang media AF9 di Restoran Sakura, Jusco AEON Setiawangsa, Isnin.
Juara AF9 bakal membawa pulang wang tunai RM200,000 serta hadiah sampingan yang akan diumumkan kemudian.
Selain itu, musim terakhir ini juga bakal menyaksikan kepulangan pengacara tersohor yang begitu sinonim dengan keluarga AF iaitu Aznil Nawawi untuk mengendalikan Tirai AF, Kenangan Afnil, Diari AF dan Konsert AF.
Pengumuman pengetua AF9 bakal diumumkan di Tirai AF pada 2 April ini, secara langsung pukul 9 malam dari Jusco AEON Setiawangsa, Konsert AF (setiap Sabtu, pukul 9 malam mulai 9 April) dan Kenangan Afnil (setiap Sabtu, pukul 8.30 malam bermula 2 April ini).
Kenangan Afnil merupakan gabungan antara akronim AF dan nama Aznil di mana Afnil akan mengimbas kembali detik-detik kenangan AF dari musim pertama hingga musim ke-8.
0 ulasan:
Catat Ulasan