Di situlah juga mereka akan belajar menyanyi, menari, berlakon, mendapatkan khidmat nasihat serta bergurau sesama sendiri dan paling penting di situlah juga kekuatan fizikal dan mental mereka bakal dicabar. Dikurung bagaikan dalam penjara serta dijadikan bahan pameran untuk khalayak yang datang membeli-belah di situ pastinya memberi pengalaman baru kepada pelajar berkenaan.
Jika selama ini segala gerakgeri pelajar di dalam akademi hanya dapat dilihat menerusi program Diari AF, kini semua perlakuan mereka boleh disaksikan secara langsung oleh pengunjung. Sejauh manakah pelajar berkenaan mampu menyembunyikan sifat sebenar mereka? Bayangkan juga bagaimana perasaan mereka apabila bukan saja dijadikan bahan pameran, tetapi juga keperibadian mereka juga dinilai oleh khalayak yang tidak mengenali mereka secara mendalam.
Jika publisiti yang diharapkan, mungkin objektif itu sudah tercapai kerana pembaharuan itu pasti menjadi bualan. Cuma di manakah letaknya privasi seseorang insan apabila semua perbuatan menjadi bahan tontonan.
Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi, berkata, selain memberi kelainan kepada program itu sendiri, ia juga menjadi saluran untuk menguji ketahanan mental pelajar AF9.
"Akan ada tekanan apabila mereka berdepan dengan situasi seperti terpaksa fokus dengan pelajaran yang diajar guru dan pada masa yang sama berdepan dengan situasi terlalu banyak mata yang memandang ke arah mereka. Di sinilah terletaknya cabaran bagaimana mereka perlu lebih fokus tanpa menghiraukan apa yang berlaku di sekeliling mereka," katanya pada sidang media memperkenalkan 12 pelajar AF9 serta barisan tenaga pengajar di Setiawangsa di pinggir Kuala Lumpur, petang Isnin lalu.
Walaupun tujuannya baik tetapi dikhuatiri jika ada pengunjung yang bertindak di luar batasan sehingga mengganggu tumpuan pelajar AF9 untuk memberikan tumpuan terhadap pembelajaran.
"Seperti yang kami katakan tadi, sebagai sebuah program realiti, pastinya mereka akan berdepan dengan pelbagai kejadian yang tidak disangkasangka. Namun kita ada pengawal keselamatan yang akan menjaga mereka ini," kata Azlin.
Sementara itu, 12 pelajar bagi musim AF9 ialah Ahmad Afif Tirmizie (Afif), Mohamad Amirullah Jahari (Amir), Mohamad Azri Abdullah (Azri), Khairul Najmuddin Abu Samah (Erul), Nur Khaidir Muhd (Kay), dan Fahrur Raqib Abdul Majid (Raqib).
Pelajar perempuan pula ialah Nur Suhada Jebat (Aida), Nur Atiqah Shariffudin (Eka), Zulaika Zahari (Laika), Lenaber Haidir (Lena), Roshammizah Rosli (Miza) dan dan Queennera Francine Francis (Nera).
Curah ilmu berdasarkan pengalaman
SEPERTI yang pernah dilaporkan Berita Harian sebelum ini, pelakon dan pengarah iaitu Adlin Aman Ramli dan penyanyi terkenal, Ning Baizura kekal sebagai tenaga pengajar.
Turut diumumkan sebagai tenaga pengajar AF9 oleh Aznil Nawawi ialah Fatimah Abu Bakar sebagai guru bahasa Inggeris dan kaunselor, Syafizawati Sharif sebagai guru vokal teknikal dan Aris Kadir sebagai guru tari dan pereka tari.
Mereka dipilih kerana semua orang tahu bahawa mereka berdua memang kaya dari segi pengalaman.
Perkara ini diakui oleh Penerbit Eksekutif, Irwan Rauf, yang mahu menggunakan pengalaman mereka itu mendidik bakat baru ini.
"Sewaktu menjadi pengkritik tetap sebelum ini, banyak idea mereka lontarkan. Jadi apa salahnya jika idea itu kita kongsi bersama," katanya.
Bagaimanapun, pada majlis itu hanya Ning Baizura saja kelihatan manakala Adlin tidak dapat hadir kerana mempunyai komitmen lain.
Ning berkata tawaran itu mengubah pandangannya bahawa berada di tempat tenaga pengajar bukanlah mudah.
"Baru saya tahu bahawa menjadi pengkritik dan melontarkan kritikan terhadap persembahan adalah berbeza apabila kita sendiri berada di belakang tabir. Sebagai Guru Persembahan Vokal, saya akan ajar mereka apa yang tidak terdapat dalam buku.
"Perkara pertama yang akan saya ajar adalah bagaimana mahu memegang mikrofon dengan betul. Selain itu, saya juga memulakan kelas saya dengan menyentuh emosi mereka menerusi cerita sedih yang saya alami sebelum saya berada di kedudukan sekarang," terangnya yang mengaku mendapat tawaran itu sekitar dua bulan lalu.
0 ulasan:
Catat Ulasan