Tiada lagi teka-teki berhubung pengetua Akademi Fantasia musim kesembilan (AF9) apabila Astro dikatakan sudah bersedia untuk mengumumkan vokalis Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman, 53, menduduki kerusi panas itu, tidak lama lagi.

Bagaimanapun, sebelum nama pengetua didedahkan kepada umum, pihak berkenaan terlebih dulu mengumumkan Aznil Nawawi kembali sebagai pengacara konsert mingguan program itu baru-baru ini, disusuli pengumuman senarai tenaga pengajar serta barisan pelajar, di Setiawangsa, hari ini.

Sumber memaklumkan, pihak Astro sengaja memilih waktu yang dikira tepat untuk membuat pengumuman pengetua AF9 apabila sebelum ini timbul kontroversi sebaik nama vokalis Dewa, Ahmad Dhani disebut-sebut menyandang jawatan berkenaan.

"Amy Search menjadi calon utama pengetua AF9 namun sebagai strategi, Astro sengaja mengumumkannya pada sidang media terakhir walaupun pada musim AF terdahulu, majlis sidang media pengumuman barisan pelajar yang diadakan paling akhir.

"Dalam tempoh terdekat ini juga berlangsungnya Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2010, jadi pihak terbabit mengumumkan dulu senarai tenaga pengajar dan pelajar, manakala pengumuman nama pengetua pula pada awal April ini, selepas acara kemuncak anugerah itu selesai diadakan" katanya.

Dua bekas pengkritik tetap AF musim terdahulu, Adlin Aman Ramlie dan Ning Baizura antara muka baru yang diserapkan sebagai tenaga pengajar bagi musim terakhir rancangan realiti terbabit, dengan Adlin selaku jurulatih drama manakala Ning sebagai guru vokal persembahan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top