Sepanjang sembilan tahun penglibatannya dalam industri hiburan tanah air, pelbagai anugerah telah diraih oleh pemilik nama Samihah atau Aisah Binti Omar ini. Namun, di sebalik kejayaan yang ditempa, pelantun lagu 'Bunga-Bunga Cinta' ini masih merasakan dirinya kurang bertuah.
Berpeluang menemui Misha pada sidang media majlis pelancaran dan showcase album "Dia…Misha" di Celebrities Club, Solaris Mont Kiara, petang semalam merungkap isi hati penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini.
"Saya boleh dilabelkan sebagai artis kurang bertuah di mana di sebalik bakat yang dikenali, saya juga turut dikenali dengan gosip-gosip yang tak betul. Dalam orang hebat memperkatakan tentang kehebatan saya beraksi, berlakon teater, mengacara dan sebagainya, ada sisi yang kurang bertuah apabila isu berkahwin menjadi satu perkara yang besar dalam kerjaya saya.
"Ia merupakan sisi yang kurang disenangi sejak 9 tahun saya menjadi penyanyi. Sudah hampir satu setengah tahun perkara ini membelenggu hidup saya. Kalian semua tentu tahu isu itu bertiup kencang sekarang di mana ia semakin membesar dan menular. Ia telah menyasar dalam bidang saya, tapi syukur kerana saya masih dihargai oleh pihak Sony Music,"ujar penyanyi berusia 29 tahun ini.
"Sejujurnya saya semakin dewasa. Saya akui saya menikmati kehidupan dengan tenang, walau bagaimanapun, ada tikanya saya goyah. Sesungguhnya saya tak salahkan pihak media kerana apa saja bentuk penulisan anda, saya ucapkan terima kasih. Namun, saya pasti, orang media tahu perkara ini tidak benar.
"Bagi saya, ia satu provokasi untuk mendesak saya mengaku benda yang saya tak lakukan, walaubagaimanapun, Alhamdulillah, saya tenang saja. Saya tak akan hiraukan lagi segala bentuk provokasi selepas ini. Saya tak mahu komen lagi jika orang bertanya kerana lagi saya komen, lagi orang akan terus menambah-nambah apa yang saya cakap."
Apabila ditanya adakah benar dia sudah menjadi isteri orang seperti yang diuar-uarkan sejak kebelakangan ini, tanpa berselindung Misha memberitahu, "Saya belum bergelar isteri, namun saya mengakui sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang yang bergelar kekasih.
"Orang yang dimaksudkan itu memang saya kenali malah saya rapat juga dengan keluarga orang yang dimaksudkan itu," jelas Misha yang enggan memberitahu siapakah gerangan kekasihnya itu.
Dalam pada pelantun lagu "Cinta Adam Dan Hawa" ini sedang bahagia diulit cinta, penyanyi ini turut dilemparkan dengan gosip yang tidak enak kononnya kekasihnya itu adalah suami orang.
"Agak sukar untuk menjelaskan kebahagian itu. Ia merupakan misteri yang belum terjawab dalam hidup saya. Banyak sangat persepsi yang melumpuhkan semangat saya sehingga terdetik di hati saya, salah ke bidang yang saya ceburi ini. Saya hanya masuk ke bidang ini kerana hendak mencari rezeki, itu saja,"ujarnya mengakui tertekan dengan isu yang timbul.
"Memang satu tekanan kerana rezeki dan seru belum datang. Saya terus memerhati dan mencari, namun masih belum sampai waktunya. Saya sendiri akui sudah bersedia untuk melangkah ke alam rumahtangga, namun saya bimbang kerana saya seorang perempuan, jadi bahaya untuk bercakap lebih-lebih.
"Saya hanya berserah dan tunggu. Saya pernah melalui episod yang gagal sebelum ini Jadi, saya tak mahu bercerita apa-apa lagi sebab tak nak nanti saya susah di kemudian hari. Biarlah cerita ini habis dan tergantung macam itu saja.
"Saya sentiasa berjanji, bila detik itu datang, saya akan beritahu kepada semua. Apa yang berlaku dalam hidup saya, saya akan kongsi dengan anda," ujarnya mengakhiri perbualan.
0 ulasan:
Catat Ulasan