TV AlHijrah mula bersiaran pada 1 November tahun lalu, stesen televisyen Islam pertama negara, TV AlHijrah dilihat semakin mengembangkan sasaran para penonton yang semakin menunjukkan kematangan.

Bahkan, selaras dengan perkembangan teknologi yang semakin pesat, TV AlHijrah turut diumumkan sebagai stesen televisyen pertama yang mengaplikasikan penggunaan teknologi berdefinisi tinggi (HD).

Sememangnya stesen TV Astro turut menayangkan program-program yang dihasilkan menerusi teknologi HD tetapi ia merupakan program-program yang diimport dari negara luar dan Astro tidak menerbitkan sendiri program-program berteknologi HD itu.

Sebaliknya, TV AlHijrah menghasilkan sendiri program-program tempatan berteknologi HD.

Perkara itu cukup membanggakan stesen TV yang mula bersiaran dengan 60 peratus daripada kandungannya adalah terbitan tempatan dan 40 peratus adalah kandungan asing, dengan 30 peratus daripada keseluruhan penerbitan tempatan diterbitkan sendiri oleh TV AlHijrah.

Menurut Pengurus Penerbitan Teknikal, Suffian Yahya, aspek penerbitan menggunakan teknologi HD jauh berbeza terutama dari segi penggunaan kamera mahupun dekoder.

“Segala-galanya kita menggunakan teknologi yang menggunakan format HD. Anjakan teknologi yang digunapakai sesuai dengan peredaran zaman apabila kita tidak lagi menggunakan pita rakaman untuk merakamkan sesuatu bahan.

“Apabila tidak guna pita rakaman, salinan fail yang dirakam secara automatik akan tersimpan di dalam sistem yang khaskan,” katanya ketika ditemui di stesen televisyen AlHijrah di Kompleks Pusat Islam, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menariknya, penggunaan teknologi terbabit tidak akan menyebabkan anda berasa panas akibat pancaran cahaya semasa menjalani penggambaran.

Ini kerana teknologi HD mengaplikasikan cahaya lampu yang tidak terang. Selain itu, sokongan cahaya juga tidak diperlukan dengan terlalu banyak.

Justeru, mereka yang berada di studio penggambaran terutamanya tidak akan berasa panas.

Daripada segi susun atur studio pula, TV AlHijrah mempunyai tiga set rancangan yang berbeza-beza.

Sesi rakaman pula tidak akan dijalankan serentak kerana ia akan mengganggu antara satu sama lain.

“Lensa kamera berformat HD sangat tajam. Apa sahaja bahan yang dirakam akan kelihatan sangat jelas.

“Jadi peranan penataan cahaya amat penting sebagai alat kawalan keseluruhan visual,” jelasnya.

Kecanggihan studio HD TV AlHijrah juga diperkukuhkan dengan penggunaan teknologi yang dipanggil chromarkey.

Ia dapat digunakan bagi rakaman rancangan tanpa memerlukan sesi penggambaran di luar studio.

Namun, idea yang ingin dipaparkan memerlukan visual sebagai latar belakang yang bersesuaian dengan rancangan diterbitkan.

Maka, kelebihan Chromarkey adalah ia boleh diguna pakai dengan cukup senang.

Bagaimanapun, asas latar belakang yang harus dititikberatkan ialah set yang berwarna hijau dan biru sahaja.

“Kita boleh lakukan sesi penggambaran di dalam studio sahaja.

“Namun, mahukan visual menarik di belakang tanpa rakaman di luar studio. Chromarkey dapat mengatasi masalah itu.

“Caranya mudah, kita hanya perlu memasukkan sahaja visual yang berkualiti HD.

“Boleh guna gambar yang tidak berteknologi HD tetapi ia akan nampak tidak semula jadi,” jelas Penerbit Kanan Teknikal, Yusof Bahari.


KECANGGIHAN studio berdefinisi tinggi (HD) stesen televisyen AlHijrah dibina oleh teknologi Chromarkey.

Jimat tenaga kerja

Biasanya stesen televisyen yang masih mengamalkan teknologi standard definition (SD) akan mengambil masa yang agak lama untuk menyiapkan sesuatu bahan sepenuhnya.

Tidak seperti TV AlHijrah kelebihan teknologi HD yang diaplikasikan sebenar mampu menjimatkan masa.

Misalnya, setiap wartawan yang pulang membuat liputan tidak perlu mengikut beberapa langkah yang banyak.

“Proses yang dijalankan berlaku dengan pantas. Hanya menggunakan satu mesin visual tersebut sudah siap melalui langkah-langkah yang wajib.

“Kalau kita tengok cara lama, anda memerlukan pita rakaman yang dimasukkan ke dalam mesin.

“Kemudian masa pula perlu dicatat satu persatu dengan cara mempercepat dan melambatkan.

“Sedangkan teknologi HD hanya perlu menarik sahaja ikon (imej) yang terpapar di skrin,” terang Jurutera Penyiaran, Wan Khairul Nizam Wan Hussin.

Jangka masa siap sepenuhnya hanya mengambil masa selama sejam bagi bahan yang berdurasi 30 minit.

Namun, kos bagi setiap penggunaan kad amat tinggi nilainya iaitu RM2,000 manakala setiap satu pita rakaman pula berharga RM30.

“Itulah perbezaannya tetapi sekarang kita mahukan kelancaran kerja yang pantas sekali gus dapat jimatkan tenaga kerja,” tambahnya.

Tambahan pemancar siaran

Mengambil masa yang agak singkat iaitu empat bulan untuk mengubah keseluruhan konti Pusat Penyiaran TV Al Hijrah dengan memuatkan segala kemudahan operasi yang diperlukan oleh sesebuah stesen TV.

Reka bentuk dalaman pejabat itu cukup bijak kerana studio diletakkan di bahagian tengah dengan struktur dindingnya berkaca.

Disebabkan mendapat permintaan yang tinggi sepanjang bersiaran, TV AlHijrah sebenarnya dalam proses permohonan penambahan 10 lokasi pemancar.

Pemilihan lokasi pastinya yang strategik dengan tarikan penonton iaitu di Kelantan, Kedah, Perlis, Perak, Melaka dan Negeri Sembilan.

Isi kandungan rancangan TV AlHijrah adalah berbahasa Melayu.

Justeru, kawasan terbabit merupakan kelompok lokasi yang mendapat permintaan tinggi.

TV AlHijrah boleh diikuti siarannya di Lembah Klang melalui saluran UHF CH55 frekuensi MHz 743.25, Terengganu UHF CH41 (631.25 MHz), Johor UHF CH40 (623.25 MHz), Sarawak UHF CH37 (599.25 MHz) dan Sabah UHF CH37 (599.25 MHz).

Menggunakan slogan Segalanya Bermula Di Sini, ia merupakan stesen televisyen milik kerajaan yang memberi tumpuan kepada program keagamaan.

Program terbitan TV Alhijrah juga dijangka dapat ditonton di seluruh negara pada penghujung April ini apabila ia menjadi satu daripada saluran stesen televisyen berbayar Astro.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top