"IA berlaku begitu saja". Itulah jawapan seorang remaja perempuan yang bercerita mengenai pengalaman hubungan seks pertama, yang selalunya mengakibatkan mereka terjebak ke dalam kancah maksiat dan keruntuhan akhlak.

Kajian juga mendapati hubungan seks itu biasanya dilakukan bersama teman lelaki dalam keadaan tidak dirancang dan memburukkan keadaan, mereka langsung tidak mempunyai pengetahuan mengenai akibatnya yang memusnahkan masa depan.

Pengarah Bahagian Reproduksi Manusia Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Norliza Ahmad, berkata kesedaran mengenai hubungan seks adalah antara perkara yang ditekankan pihaknya dalam Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS), yang akan diperkenalkan pada pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi pengambilan 2/2011 Mei depan.

Katanya, hubungan seks tidak terjadi begitu saja antara wanita dan lelaki seperti diberitahu kebanyakan remaja yang terjebak, sebaliknya ia adalah rentetan daripada beberapa perbuatan yang tidak mereka sedari kerana tidak pernah diberitahu.

"Jadi dalam PKRS, perkara inilah antara yang kita dedahkan dan latih mereka supaya mereka sentiasa menyedari apa yang berlaku dalam perhubungan antara mereka dan kawan lelaki, sekali gus mengelakkan mereka kecundang mengikut hawa nafsu.

"Sebagai contoh, kita memberi nama kepada setiap keadaan atau simulasi hubungan harian remaja perempuan dan lelaki. Ajakan ke tempat yang mendorong perbuatan maksiat kita gelarkan 'amaran kuning' dan ajakan hubungan seks atau perbuatan seumpamanya pula 'amaran merah'.
"Jadi, melalui latihan, mereka akan tahu di mana kedudukan mereka apabila berada dalam situasi demikian ketika bersama rakan lelaki dalam kehidupan sebenar, sekali gus dapat mengelakkannya dengan mengatakan tidak," katanya.

Bercerita mengenai modul PKRS yang mengambil masa lebih dua tahun kajian pakar, Norliza berkata, objektifnya adalah untuk membentuk remaja sihat, berdaya tahan, berakhlak, bertanggungjawab serta berupaya menghadapi cabaran perubahan hidup masa kini.

Selain itu, ia bagi mengukuhkan jati diri remaja melalui penerapan nilai murni, pembentukan karakter, pembangunan komunikasi berkesan dan kemahiran yang membolehkan mereka menjalani kehidupan sihat.

Elemen pengajarannya pula membabitkan Jantina dan Gender; Kekeluargaan; Pembangunan Kemahiran; Hidup Tanpa Keganasan dan disusuli pelan tindakan, supaya pelatih memahami serta bersedia mempraktikkan apa yang dipelajari.

Elemen Jantina dan Gender mengajar pelatih mengenai tajuk Definisi dan Konsep Gender serta Jantina; Perlembagaan Persekutuan; Konvensyen dan Perjanjian Antarabangsa serta Hak dan Diskriminasi.

Elemen Kekeluargaan membabitkan tajuk Keluargaku Sayang; Seksualiti: Nilai dan Tanggungjawab; Tanggungjawab Seksualiti; Sudahkah Anda Bersedia; Bukan Saya dan Bukan Sekarang.

Elemen Pembangunan Kemahiran membabitkan tajuk Menghindari Situasi Berisiko Tinggi; Kemahiran Teknik Penangguhan dan Kemahiran Teknik Penolakan manakala elemen Hidup Tanpa Keganasan membabitkan tajuk Definisi dan Konsep Keganasan; Gangguan Seksual dan Rogol.

Semua sesi pengajaran dan pembelajaran disusun secara interaktif membabitkan kuliah mini, kuiz, kajian kes, main peranan dan perbincangan kumpulan bagi menarik minat pelatih untuk mendalami program berkenaan.

Sementara itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata PKRS bukan semata-mata mengajar pendidikan seks seperti disalah anggap sesetengah pihak, sebaliknya menumpu kepada aspek kehidupan sihat dan kaedah mengelak gejala sosial.

"Ia bukan soal pendidikan seks, tetapi adalah modul untuk mendedahkan pelatih dengan permasalahan yang sering berlaku di kalangan masyarakat, terutama membabitkan remaja," katanya yang turut menekankan cara pengajaran oleh jurulatih dan fasilitator yang dikehendaki menyampaikannya dalam cara berhemah dan terhormat.

Sementara itu, kebanyakan pelatih wanita Kem Sri Perkasa, Mantin di Negeri Sembilan yang tidak berpeluang mengikuti PKRS yang hanya akan dimulakan Mei depan, mengakui program itu memang penting dan pasti akan memberi manfaat kepada remaja, khususnya.

Siti Zulaiha Darmawan, 18, dari Kuala Pilah, Negeri Sembilan, berkata penerapan pengetahuan mengenai kesihatan reproduktif dan sosial membolehkan remaja mengetahui dengan jelas dan secara positif mengenai perkara yang sebelum ini dianggap taboo.

"Kebanyakan masalah sosial termasuk pembuangan bayi berpunca akibat kurang pengetahuan serta kesedaran mengenai hubungan seks.

"Jadi, saya rasa apabila kita tidak tahu apa itu seks, bagaimana ia berlaku secara haram atau negatif, kita tidak berusaha mengelakkannya," katanya.

P Praghaladewi, 18, dari Seremban, Negeri Sembilan pula berkata, penyampaian pengajaran dalam bentuk yang teratur dan positif membantu remaja memahami hakikat cabaran dialami di alam remaja.

"Isu berkaitan seks dianggap sensitif oleh ibu bapa dan tidak semua mereka dapat berbincang secara terbuka dengan anak-anak. Jadi, dengan pengenalan PKRS, ia membantu ibu bapa menghadapi 'masa janggal' dengan anak membincangkan perkara itu," katanya.

Oleh Ifwan Tun Tuah

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top