Setiap wanita yang mendengar nyanyian Sohaimi Mior Hassan pasti akan cair dan terpaku dengan alunan suara 'jantan' nya. Terkenal dengan lagu 'Epilog Cinta Dari Bromley' pada awal tahun 80-an, anak jati Perak ini kini kembali popular dengan lagu duetnya bersama Ana Raffali dan Altimet berjudul, 'Kalau Berpacaran'.
Sejak lagu tersebut mula diputarkan di corong-corong radio, nama Sohaimi kembali melonjak naik dan menjadi siulan ramai. Ke mana saja pelantun lagu 'Ros' ini pergi, pasti mendapat perhatian tidak kira sama ada peminatnya dari era 80-an mahupun generasi baru. Menyedari demam glamor yang melanda, Sohaimi secara jujur mengakui tidak selesa dengan keadaan sebegitu.
"Saya merupakan penyanyi yang 'low profile'. Bila jadi glamour macam ini, saya rasa tak selesa. Pernah satu ketika, saya membuat persembahan di program Muzik-Muzik dan video itu telah dimuat turun di sebuah laman sosial.
"Saya rasa tak seronok sebab ada yang komen tentang persembahan saya. Mereka cakap saya macam orang tua gatal. Saya juga sebenarnya tidak selesa menyanyi di khalayak ramai dalam usia sebegini,"kata Sohaimi ketika ditemui pada majlis pelancaran album terbarunya di Redbox, The Gardens Mall, petang semalam.
"Kalau Berpacaran The Album merupakan album kelima saya. Album ini mula dihasilkan sejak tahun 2008 lagi. Semuanya saya buat sendiri termasuklah kos berjumlah RM30,000 yang juga merupakan duit saya sendiri."
'Kalau Berpacaran The Album' merupakan terbitan Tele-infra Teknologi Sdn Bhd dan diedarkan oleh Warner Music. Album ini memiliki 13 buah lagu antaranya Epilog Cinta, Ros, Cinta Pertama, Apabila Cinta Menjadi Nafsu, Hikayat Negeri Antah Berantah, Surat Dari Seberang, Cinta, Seru (duet dengan Mus May) dan Demokrasi.
Selain itu, album ini turut menampilkan lagu hits terbaru beliau, Kalau Berpacaran dalam tiga versi iaitu versi asal, versi duet bersama Altimet dan Ana Raffali serta versi minus one.
"Kalau Berpacaran sangat bermakna buat saya. Ia merupakan lagu paling laju yang pernah saya cipta. Saya dapat ilham untuk cipta lagu ini masa dalam kereta. Bila dah siap, tak sangka ia akan mendapat sambutan serta diterima baik oleh peminat lama dan baru. Ia merupakan satu kejutan buat saya apabila lagu ini diterima ramai kerana masa awal-awal tu saya tak nampak potensi lagu ini boleh popular.
"InsyaAllah, akan ada sambungan untuk lagu ini. Saya kini dalam perancangan untuk berduet dengan Erra Fazira menerusi lagu 'Dalam Rumahtangga'. Saya pilih Erra sebab saya rasa dia yang paling sesuai. Ini kerana dia memiliki suara yang manja. Setakat ini melalui persetujuan verbal, dia sudah setuju. Saya juga ada perancangan untuk berduet dengan Ziana Zain. Persetujuan sudah dapat, cuma sekarang ni nak mencari lagu yang sesuai saja."
Apabila ditanya mengenai konflik yang timbul antara beliau dan Ana berkaitan isu 'Lagu Berpacaran', Sohaimi menjawab, "Sebenarnya tak ada pun konflik antara saya dan Ana. Cuma masalahnya sekarang ialah apabila saya minta kontrak dari Universal Music sejak Julai lalu, mereka tak bagi apa-apa respon. Mungkin sebab tak ada masa kot. Namun, bila saya minta Warner Music edarkan, terus pihak dari sana melompat.
"Jadi, sebenarnya memang tak timbul isu konflik antara saya dan Ana, tapi pihak pengurusan itu sendiri. Saya tak nak benda ini jadi isu sebab industri kita pun kecil. Nak bertelagah pun 'no point'. Walaubagaimanapun, jika ada persembahan, kami masih lagi buat bersama."
Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan album terbaru Sohaimi Mior Hassan berjudul Kalau Berpacaran The Album di pasaran sekarang. Album ini boleh didapati dalam bentuk cakera padat dengan harga RM27.90 seunit.
Anda juga boleh memuat turun lagu 'Kalau Berpacaran' sebagai nada dering anda. Bagi Maxis Caller Ringtones, sila tekan *131*180865# dan tekan call/send, bagi Celcom Call Me Tones pula, tekan *118*85663# dan tekan call/send.
Bagi Digi Caller Tunes, tekan CT0089558 dan hantar ke 2000 manakala bagi U Mobile Colour Tones, sila tekan *118*5*2*231270# dan tekan call/send. Anda juga boleh melayari laman web Nokia CWM di http://music.ovi.com/my untuk memuat turun lagu ini.
0 ulasan:
Catat Ulasan