PETALING JAYA: Pelakon Zed Zaidi (gambar) memberi amaran kepada artis muda di bawah Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) supaya menyertai setiap acara yang dianjurkan oleh persatuan tersebut.

Ini kerana antara 1,000 artis muda yang berdaftar, hanya dia dan pelakon Jehan Miskin menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Seniman pada Sabtu lalu di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Zed merupakan pemangku Timbalan Presiden dan Ketua Biro Seniman Muda.

Sementara 43 artis lain yang hadir ke mesyuarat tersebut adalah di kalangan artis veteran.

"Saya agak kecewa dengan sikap artis muda yang tidak hadir ke mesyuarat agung baru-baru ini. Sepatutnya mereka perlu hadir untuk membincangkan isu-isu yang berlaku dalam industri hiburan.

"Jangan bila sudah terkena sesuatu perkara buruk, baru mereka hendak berjumpa dengan Seniman," kata Zed yang sedang sibuk dengan penggambaran drama Cuci Cuci Services musim kedua.

Sebelum ini, Zed pernah mengendalikan beberapa isu melibatkan artis muda seperti Rafie Hussein yang melecur di badan, tangan dan hidung sewaktu menjalani penggambaran filem Bara Jiwa.

Selain itu, kes Johan Raja Lawak dibaling gelas sehingga cedera dan Ammar Alfian dikecam kerana keberaniannya melemparkan kata-kata kesat dan ugutan bunuh kepada wartawan hiburan Malaysia di Facebook.

"Sekiranya artis-artis muda tidak aktif dengan persatuan, kami akan menarik semua keistimewaan yang diberikan seperti menjaga kebajikan, insurans dan nombor ahli untuk kebenaran mereka berlakon di bawah Finas," jelasnya lagi.



0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top