Generasi baru Berklee perlu progresif
Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my
Gambar JAMEELFEERDAUS ZAMZURI dan KADIR CHAN
|
LOQUE kembali ke muzik akar umbi seni dan budaya warisan Melayu menerusi album Halimunan Abad Ke-21. |
TIDAK ramai anak tempatan yang mendalami ilmu muzik di Berklee College of Music di Boston, Amerika Syarikat (AS).
Sejak Tan Sri Ahmad Merican muncul pemuzik tanah air pertama melanjutkan pengajian di kolej muzik terkenal itu pada pertengahan tahun 1950-an, hingga kini bilangannya masih boleh dibilang dengan jari.
Terbaru, Loque iaitu gitaris, vokalis dan keyboardis kumpulan Monoloque merupakan antara generasi baru graduan dari kolej muzik terkemuka tersebut.
Pemegang Ijazah Sarjana Muda Muzik Sintesis dan Komposisi itu boleh berbangga kerana dia adalah graduan Berklee terbaru yang mewakili karyawan-karyawan dalam industri muzik tempatan.
Dengan pengalamannya dalam bidang muzik hampir 15 tahun dan berbekalkan segulung ijazah, peranan dan tanggungjawab pemegang nama sebenar Khairil Ridzwan Annuar ini amat besar.
Apatah lagi, apabila Loque memilih dunia muzik sebagai gelanggang kariernya, dia tentunya mempunyai inspirasi dan aspirasinya yang tersendiri.
Melangkah pulang ke tanah air pada 2009, tekad penyanyi, pemuzik dan komposer generasi baru ini adalah bagi membawa perubahan dalam industri muzik di Malaysia ke suatu tahap yang lebih progresif.
Lambat berganjak dengan cetusan-cetusan nada melodi dan susunan muzik baru yang lebih kemas antara perkara yang menjadi perhatiannya.
Pendekatan Loque itu seolah-olah memberi tamparan hebat buat segelintir karyawan muzik tanah air yang pernah dilahirkan dari Berklee tetapi tidak banyak menyumbang ke arah arah perkembangan lebih progresif.
Jalur muzik tempatan dikatakan tidak banyak berubah dan masih berada di takuk lama daripada segi rentak serta susunan lagu-lagunya.
Karyawan muzik berusia 33 tahun itu dengan tulus mengakui sudah sampai masanya para penggiat dalam bidang itu terutama graduan yang pernah mendapat pendidikan di Berklee membuat perubahan drastik dalam karya-karya mereka.
“Kita semua (karyawan muzik) kena ubah gaya dan trend dalam industri muzik di Malaysia. Perubahan daripada segi gaya gubahan muzik yang mempunyai jati diri bangsa Melayu atau orang Malaysia.
“Sampai bila kita mahu terikat dengan gaya olahan muzik yang kebanyakannya diceduk dari Barat? Kita kena berani dan ‘tebalkan’ telinga. Untuk membuat perubahan bukan senang.
“Perkara-perkara baru dalam muzik biasanya pendengar memang susah hendak terima. Ia perlukan masa dan pemahaman. Sampai bilakah juga kita mahu statik dengan muzik yang ada sedangkan evolusi muzik di dunia berkembang dengan pantas,” katanya kepada Mega sewaktu ditemui di Bsync Studio Production, Kuala Lumpur.
Loque yang akan muncul dengan album sulung bersama Monoloque berjudul Halimunan Abad Ke-21 sebelum hujung tahun ini menambah, dalam usaha memperkembangkan skop lagu-lagu tempatan, elemen-elemen tempatan haruslah diperbanyakkan dalam karya-karya tersebut.
Ujar Loque, pengalamannya melanjutkan pengajian di Berklee dari tahun 2006 hingga 2009 banyak mengajarnya tentang erti jati diri sebagai orang Melayu dalam memperjuangkan karya-karya muzik yang menjadi tinggalan nenek moyang.
Justeru, segala ilmu yang dipelajarinya di negara Uncle Sam itu akan dicurahkannya di negara tercinta ini kerana pengalaman belajar muzik di Berklee menjadikannya ‘celik’ muzik dan menyedarkannya tentang asal usul keturunansebagai anak Melayu.
“Selama ini kita terlalu banyak dijajah melalui muzik. Sudah sampai masanya kita cuba membuat haluan sendiri dalam acuan muzik yang bercirikan budaya bangsa kita.
“Sebab itu saya tubuhkan Monoloque kerana melalui kumpulan ini saya akan mengaplikasikan apa yang saya belajar di sana bagi membawa jati diri orang Melayu dalam lagu-lagu ciptaan kami.
“Contohnya, semua lagu Monoloque dalam bahasa Melayu. Malah, kami cuba menghidupkan bahasabahasa Melayu lama yang semakin dilupakan generasi baru,” ujarnya.
Pendekatan karyawan muzik berasal dari Alor Setar, Kedah itu cukup ketara apabila kebanyakan bahasa yang dilontarkan menerusi lirik-lirik lagu kumpulan lima anggota itu kental dengan seni, budaya dan masyarakat Melayu.
Ia diperdengarkan dalam lagu seperti Kekanda Adinda, Gurindam Hutan Batu dan Tiada Kata Secantik Bahasa.
Tiga lagu itu antara yang akan diselitkan melalui album Halimunan Abad Ke-21 yang akan diterbitkan dalam bentuk trilogi di mana untuk terbitan pertamanya berjudul Jejak Tanah yang kini sedang dalam proses rakaman di Studio Kilang Menjahit Bunyi milik Loque yang terletak di Bangsar, Kuala Lumpur sejak enam bulan lalu.
Lagu-lagu dan lirik-lirik dalam album itu dicipta sendiri oleh Loque di mana ia juga diterbitkan melalui syarikat rakaman miliknya, Penerbitan Panca Sona yang menelan kos sehingga RM50,000.
Selain Loque turut menganggotai Monoloque ialah Kadax selaku bassis, Ijoo (gitaris), Loko (dram) dan Apex (keyboardis dan gitaris).
0 ulasan:
Catat Ulasan