Far East Movement penuh tenaga
Oleh AQMAR ALLADAD
aqmar.alladad@kosmo.com.my
KUMPULAN empat anak muda berimej urban ini sedang popular dengan lagu Like A G6.
SESUAI dengan nama pilihan untuk dikenali iaitu Far East Movement, sesungguhnya lagu-lagu yang diperkenalkan oleh kumpulan yang terdiri daripada empat jejaka tampan dari Los Angeles, Amerika Syarikat itu memuatkan elemen energetik.
Setiap kali karyanya diperdengarkan, pasti ada yang seolah-olah ingin bangun menari mengikut rentak yang rancak itu. Kehangatan lagu Far East Movement yang berentak elektro dan hip hop ternyata bagaikan magnet yang mampu menarik minat golongan muda.
Antara lagu hit yang membuatkan nama kumpulan itu sekali lagi melonjak terkenal di kalangan peminatnya ialah Like A G6 dan Rocketeer.
“Kami tidak menyangka lagu Like A G6 mampu memberi kesan yang mendalam. Mulanya, kami pergi ke studio seperti biasa sekadar untuk suka-suka. Tetapi kami mahukan muzik itu seperti mana ketika kami meluangkan masa di pusat hiburan.
“Setelah lagu yang dicipta itu mendapat rentak yang kami mahukan, sekali lagi kami masuk studio. Disebabkan kesemua di antara kami mempunyai masa terluang bersama, kami memuat turun lagu itu di Internet. Selepas tiga bulan memang keputusan penerimaan di luar jangkaan apabila ia mencecah jutaan penonton,” beritahu salah seorang anggotanya, Kev Nish.
Kosmo! menemubual anggota lain Far East Movement iaitu Prohgress, J-Splif dan DJ Virman sempena Free Wired Tour ke Singapura pada 17 Mac lalu.
Sebelum itu, Far East Movement telah pun menggegarkan peminatnya di beberapa destinasi antaranya Hong Kong, Macau, Korea dan Indonesia.
Kebangkitan kumpulan yang ditubuhkan pada tahun 2003 ternyata sungguh berkesan apabila lagu miliknya kian dimainkan di corong-corong radio.
Apatah lagi, di pusat-pusat hiburan yang sememangnya mengutamakan genre muzik yang dipertengahkan oleh kumpulan itu.
“Kami akan pergi sendiri ke pusat hiburan untuk melihat sejauh mana penerimaan orang ramai terhadap hasil muzik Far East Movement.
“Ini adalah perkara yang paling penting dipersembahkan kepada orang ramai mengenai keseluruhan album kami,” ujar Kev Nish lagi.
Justeru, keberkesanan Far East Movement begitu memuaskan halwa telinga peminatnya. Mereka tidak malu untuk turun ke padang melihat reaksi orang ramai apabila DJ mula memutarkan lagu-lagunya.
Tambah Kev Nash, lagu Like A G6 juga merupakan salah satu eksperimen untuk memperbanyakkan lagi lagu-lagu dengan sentuhan kreatif dan bertenaga apabila didendangkan.
“Inilah yang diimpikan oleh Far East Movement. Idea DJ VerMan dan Martin Kierszenbaum yang mahukan konsep lagu seperti berparti ternyata sungguh berkesan.
“Ketika sesi jelajah, kami dapat lihat lagu itu berada di carta nombor satu Billboard. Tidak pernah terfikir sebelum ini kami mampu mencapai kejayaan sehingga tersenarai dalam carta Billboard,” jelasnya.
Penonton histeria
Dari awal lagi sudah dapat dijangkakan bahawa Far East Movement bakal menggegarkan seluruh pelosok Wave House, Singapura.
Tekaan itu benar sama sekali apabila seluruh peminat kumpulan itu tiba lebih awal di lokasi konsert untuk mempersiapkan diri berhibur dengan penuh tenaga.
Ruang pentas konsert mulanya kurang mendapat sambutan kerana para penonton memilih untuk melakukan aktiviti tersendiri.
Namun, sejurus sahaja nama Far East Movement dilaungkan sekitar pukul 9 malam, orang ramai mula berpusu-pusu memenuhi ruang depan pentas.
Hadir dengan penuh semangat, penonton bagaikan dirasuk setelah tidak henti-henti menjerit memanggil nama setiap ahli kumpulan yang digilai masing-masing.
Tidak kira sama ada lelaki atau perempuan, nampaknya kumpulan itu mampu membangkitkan seluruh penonton yang berkunjung.
Dengan penataan cahaya yang menarik mengikut rentak muzik yang dimainkan, ternyata Far East Movement mempunyai personaliti tersendiri di dalam arus muzik mereka.
Ini kerana keempat-empat mereka cukup bijak memegang tanggungjawab masing-masing. Meskipun turut bermain instrumen seperti gitar dan keyboard, mereka tidak sesekali meninggalkan audiens di hadapan bersendirian.
Sebaliknya, mereka turut meletakkan diri masing-masing seperti seorang peminat yang berada di hadapan selebriti pujaan dengan berdansa penuh tenaga.
Menggunakan seluruh ruang pentas sebaik mungkin, itu yang membuatkan peminat bertambah agresif dan menari tanpa henti.
Lagu-lagu yang menghangatkan pesisir pantai pada malam itu ialah Girls on the Dance Floor, If I Was You, Fetish, G6, Go Ape, Rocketeer, So What, Dont Look Now, 2gether, I Party, Fighting for Air dan White Flag.
Sebenarnya, lagu-lagu yang dipersembahkan sudah pun memadai. Bagaimanapun, penonton seolah-olah masih tidak puas dan tidak mahu berganjak pulang.
Kononnya mereka menyangka lampu pentas yang ditutup sekadar gimik semata-mata. Sedangkan konsert itu sememangnya sudah tamat selepas Far East Movement mendendangkan 12 buah lagu yang penuh impak itu.
0 ulasan:
Catat Ulasan