BEGINI…Azrin menunjukkan tempat mangsa diseret kereta terbabit, semalam.
HULU BERNAM: Seorang pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) warga Indonesia dikenali sebagai Istiarsyah, 26, parah selepas dirempuh kereta yang terbabas dan memasuki ruang tamu rumah sewanya, semalam.
Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika mangsa bersiap sebelum keluar dari rumahnya di Jalan Bahtera 5A, di sini, untuk ke kuliah sesi petang.
Mangsa melecur di badan dan kaki serta cedera di muka dan tangan selepas terperosok di bawah Perodua Kancil dipandu seorang pelajar wanita di universiti sama.
Saksi kejadian yang juga jiran mangsa, Mohd Azrin Mat Rais, 32, berkata dia terkejut apabila mendengar dentuman kuat dari rumah berkenaan."Saya bergegas keluar dan melihat sebuah kereta dinaiki lima pelajar wanita berada di dalam rumah selepas merempuh pintu besi dan kaca rumah berkenaan."Lebih mengejutkan apabila melihat seorang lelaki tersepit di bawah kereta terbabit sambil meraung kesakitan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Azrin berkata, ketika kejadian Istiarsyah melangkah keluar di depan pintu rumah untuk ke bilik kuliah.
Bagaimanapun, rempuhan kereta itu menyebabkan mangsa terseret hingga ke dinding dapur rumah dan cedera akibat terkena serpihan kaca dan melecur akibat ditindih badan dan ekzos kereta.
Menurutnya, rakan serumah dan jiran membantu mengeluarkan mangsa sebelum mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Tanjung Malim (KKTM) dan kemudian dirujuk ke Hospital Slim River (HSR).
Katanya, rumah mangsa turut didiami tiga pasangan suami isteri warga Indonesia yang masih belajar di universiti sama.
Sementara itu, pemandu kereta terbabit, Nabilah Izzati Ayub, 20, bersama empat pelajar wanita berkenaan cedera ringan.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu.
Menurutnya, ketika kejadian pemandu kereta terbabit membuat pusingan U di laluan berkenaan, namun tertekan pedal minyak lalu meluru masuk ke dalam rumah mangsa.
"Mangsa dirempuh dan tersepit di bawah kereta. Akibatnya mangsa melecur di perut dan paha.
"Keadaan mangsa dilaporkan stabil," katanya.
# Selingan Berita Hiburan dan Isu Semasa
0 ulasan:
Catat Ulasan