Erra idam anak kedua
Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL
shazryn.faizal@utusan.com.my
Gambar AMIN FARIJ HASAN
|
PRIMADONA filem Melayu ini mengakui masih belum puas dengan kariernya. |
SATU persatu kisah rumah tangga Erra Fazira cuba ditelanjangkan dan entah mengapa sejak dia mendirikan berumah tangga untuk kali kedua, cerita peribadinya tidak habis diperkatakan masyarakat.
Dulu, suaminya, Engku Emran Engku Zainal Abidin dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan teman sepejabat.
Sekarang timbul pula cerita mengatakan Erra dan suaminya tidak lagi tinggal sebumbung. Lebih menggemparkan apabila bekas Ratu Cantik Malaysia itu didakwa sudah dimadukan oleh Engku Emran.
Kadang-kala dia sendiri berasa pelik dan hairan bagaimana orang luar lebih tahu tentang alam rumah tangganya berbanding dirinya sendiri.
Bagi tuan empunya diri, dia hanya menganggap kisah yang bertebaran itu sebagai sebuah cerita lucu yang tidak perlu diambil serius.
“Saya hanya mampu tersenyum dan ketawa sendirian apabila mendapat tahu pelbagai kisah rumah tangga saya asyik diperkatakan ramai.
“Sedikit pun saya tidak melatah mahupun melenting kerana saya tahu semua cerita itu tidak benar sama sekali. Saya memang bersedia untuk berdepan dengan cerita sebegini sebaik sahaja saya membuat keputusan untuk bergelar seorang isteri.
“Kalau diperhatikan, ia sebenarnya satu kitaran dalam hidup seseorang artis. Jika masih bujang, orang akan bertanya bila kita akan berkahwin. Bila sudah menjadi isteri, persoalan tentang anak pula akan timbul.
“Apabila terjadinya perkara sebegini kepada saya, semuanya saya anggap sebagai sesuatu yang normal. Apa yang boleh saya katakan apa saja cerita yang menjadi perbualan kini adalah tidak benar sama sekali,” jelas Erra dalam nada tenang.
Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek berkata demikian pada majlis pelancaran koleksi terbaru Rafflesia The Pearl Centre yang diberi nama Primadona Classic di ibu negara, baru-baru ini.
Sesuai dengan statusnya sebagai seorang bintang ternama, Erra yang cukup anggun menyarungkan busana rekaan Riffai pada petang itu telah diberi penghormatan menggayakan rantai dan gelang tangan mutiara bernilai RM180,000.
Erra dan Engku Emran yang juga Ketua Pegawai Eksekutif saluran berita di Bernama TV itu mendirikan rumah tangga pada 25 Oktober 2007.
Hasil perkahwinan mereka telah dikurniakan dengan seorang anak perempuan, Engku Aleesya yang akan berusia dua tahun pada 30 Mac ini.
Erra juga menjelaskan dia sendiri tidak mahu menekan suaminya dengan bertanyakan soalan-soalan yang tidak munasabah sedangkan mereka berdua tahu setiap berita yang tersebar tidak benar sama sekali.
Apabila ditanya adakah dia menjadi mangsa segelintir pihak yang mungkin menyimpan dendam mahupun iri hati kepadanya, Erra yang berusia 37 tahun itu hanya mahu berfikiran positif.
“Apa yang berlaku kepada saya merupakan perkara normal yang pasti akan dihadapi oleh artis. Sebelum ini, Ziana Zain dan Datuk Siti Nurhaliza pernah berdepan dengan masalah yang sama.
“Jadi, saya tidak mahu memeningkan kepala saya dengan terlalu memikirkan soal ini. Lebih baik saya fokus kepada kerja dan juga keluarga saya,” katanya tanpa selindung.
Wanita yang dilahirkan pada 9 Februari 1974 ini juga dengan penuh terbuka memberitahu, dia sudah bersedia untuk menimang cahaya mata kedua.
Ujarnya, memang dia dan Engku Emran telah merancang untuk memiliki anak kedua selepas Engku Aleesya berusia dua tahun.
Belum puas
Walaupun sudah membintangi lebih 30 buah filem dan diiktiraf dengan gelaran Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) sebanyak dua kali, bagi Erra, dia belum merasakan kerjayanya sebagai seorang pelakon sudah berada di puncak.
Bukan hanya Erra tetapi mana-mana anak seni yang memiliki cinta sejati dalam dunia seni tidak akan pernah berasa puas dengan apa yang mereka telah lakukan.
Selama 18 tahun mengabdikan diri sebagai seorang artis, Erra menggambarkan perjalanannya penuh dengan warna-warni dan perlu menempuhi cabaran yang bukan calang-calang.
“Sukar bagi saya sebenarnya untuk menyakinkan masyarakat dengan bakat saya kerana mereka melihat seorang Ratu Cantik Malaysia hanya mempertaruhkan kecantikan berbanding bakat yang ada.
“Percaya atau tidak, saya boleh katakan hanya selepas 10 tahun bergelar seorang aktres, barulah kehadiran saya memberi impak yang besar.
“Sehingga kini pun, saya masih lagi mencari watak-watak yang mampu mencabar kewibawaan saya sebagai seorang aktres kerana saya mahu lakonan saya itu dapat meninggalkan kesan,” kata Erra yang kali terakhir muncul menerusi filem Andartu Terlampau dan 21 Hari Mencari Suami tahun lalu.
Erra juga kini sibuk di lokasi penggambaran telemovie, Sanggul Beracun arahan Sabri Yunus.
0 ulasan:
Catat Ulasan