Adik bekas peserta Akademi Fantasia (AF) Musim ke-4, Diddy Hirdy iaitu Nur Khaidir Muhd atau Kay mengikut jejak abangnya apabila turut dipilih sebagai seorang daripada 12 pelajar AF musim kesembilan yang bakal memulakan siarannya 2 April ini.

Kay AF9


Turut tersenarai sebagai pelajar ialah bekas peserta program Mentor iaitu Khairul Najmuddin Abu Samah atau Erul dan dua bekas peserta MyStarz LG, Ahmad Afif Tirmizie (Afif) dan Mohamad Azri Abdullah (Azri).


Senarai penuh pelajar itu diumumkan pengacara AF9, Aznil Nawawi, dalam majlis yang berlangsung di AEON AU2, Setiawangsa, di sini petang semalam. Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi dan Penerbit Eksekutif AF9, Irwan Rauf.

Pada majlis itu, barisan penuh tenaga pengajar AF9 turut didedahkan. Seperti yang pernah dilaporkan Berita Harian sebelum ini, dua bekas pengkritik tetap AF, iaitu Adlin Aman Ramlie dan Ning Baizura ialah antara muka baru yang dilantik sebagai tenaga pengajar musim terbaru itu. Adlin akan bertindak sebagai jurulatih drama manakala Ning sebagai guru vokal persembahan.

Guru lain yang akan menyumbangkan khidmat mereka untuk program realiti yang terakhir ini ialah Fatimah Abu Bakar sebagai Kaunselor Motivasi dan guru bahasa Inggeris, Syafizawati Shariff sebagai guru vokal teknikal dan Aris Kadir sebagai guru tarian dan pereka tari.

Mengulas pemilihan Ning dan Adlin sebagai tenaga pengajar untuk musim ini, Irwan berkata, mereka berdua menepati kriteria yang dikehendaki pihak produksi.

"Selama ini kita hanya mendengar mereka mengkritik dan adalah baik jika kritikan itu kita aplikasikan dalam bentuk pendidikan.

Lagipun, mereka berdua mempunyai banyak pengalaman dan biarlah pengalaman itu dikongsi bersama pelajar berkenaan," kata Irwan.

Sementara itu ketika mengulas apakah benar vokalis Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman bakal memikul tanggungjawab sebagai pengetua, Azlin enggan membuat sebarang pengesahan. Sebaliknya hanya menyatakan perkara itu akan diumumkan serentak dengan konsert pengenalan Tirai AF yang akan disiarkan Sabtu ini.

Sebagai elemen pembaharuan, sebuah rumah kaca dua tingkat dibina di ruang legar pusat beli-belah itu bagi menggantikan akademi lama yang terletak di sebuah gudang di Shah Alam.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top