SEPUTAR daripada 360 darjah sudut hidupnya, Erra Fazira barangkali masih berbaki satu pertiga nafas lelah yang harus ditelan. Banyak yang telah dimuntahkan dan diperdagangkan sebagai publisiti mahupun promosi dan ketika bidang seni sudah satu kesinambungan buatnya, dia masih berdepan getir yang cukup hebat.
Mendapat jolokan primadona filem Melayu, bukan lagi soal kredibiliti kerjanya yang mahu diselongkar sebaliknya, wanita berstatus ibu dan isteri berusia 37 tahun harus gagah mempertahankan taufan sensasi yang bergulung tanpa henti ke pintu mahligainya.
Perkahwinan kedua bersama Engku Emran Engku Zainal Abidin membenihkan Engku Aleesya. Mahligai mereka tidak henti-henti dibidik kontroversi. Pernah dikhabarkan goyah ekoran orang ketiga, baru-baru ini Erra sekali lagi dicucuk selumbar berbisa berikutan timbul pula khabar angin yang lebih dahsyat. Kali ini bukan ‘main-main cinta’ lagi tetapi suami yang dinikahi pada Oktober 2007 itu didakwa sudah mengahwini seorang lagi wanita.
Sensasi Bintang: Pernah merasa kecewa gara-gara rumah tangga asyik menjadi bahan sensasi?
ERRA FAZIRA: Saya sedikitpun tidak tergugat kerana saya tahu dakwaan itu tidak berasas. Saya rentan kerana terpaksa menjawab pertanyaan semua dan berdepan ucapan tahniah atas salah interpretasi sebuah artikel mengatakan bahawa saya hamil anak kedua. Mana-mana saya pergi soalan itu yang ditanyakan, masing-masing sibuk mengucapkan tahniah padahal saya tidak hamil. Saya cuma bersedia untuk hamil.
Khabar angin mendakwa Emran sudah bernikah lain tetapi kalau tiada angin bagaimana pokok bergoyang?
Dalam mana-mana rumah tangga pun mesti ada salah faham, itu bukan perkara mustahil dan perkara begitu juga berlaku dalam rumah tangga rakan-rakan artis. Mungkin orang boleh kata, saya mungkin tak tahu sebab suami kahwin sembunyi-sembunyi, tapi saya yang hari-hari tengok muka suami dan hari-hari juga dia pulang ke rumah, bila masa dia kahwin. Mungkinlah dia ada bergaul dengan kakitangan wanita di pejabat dan perkara itu disalah erti oleh mata-mata yang memandang.
Pernah menangis akibat isu yang tak sudah-sudah?
Tak pernah, buat apa nak membazirkan tenaga menangis tentang perkara yang tidak betul. Mungkin saya masih kuat berdepan semua ini dan saya belum merasa kesakitan yang digembar-gemburkan itu.
Perlukah Erra meyakinkan umum tentang kebahagiaan yang sedang dikecapi bersama Emran sekarang?
Rasanya tak perlu tapi respons yang saya terima kata, saya perlu berbuat begitu. Saya tetap percaya bahawa suatu hari nanti kebenaran akan disedari semua.
Apa reaksi Emran apabila didakwa sudah bernikah lain?
Sebenarnya, saya yang jadi penyampai berita kepadanya apabila ada gosip-gosip yang ditanyakan kepada saya. Kami tidak pernah ambil serius perkara itu, bercakap pun dalam nada berjenaka dan bergelak ketawa sahaja. Saya pernah usik Emran, ‘kalau dia dah kahwin, saya akan dapat madu’ dan Emran ketawa.
Merujuk kes fotografi sebuah majalah hiburan membabitkan Ziana Zain dan Ning Baizura yang dikecam hebat oleh editor majalah berkenaan. Kalian dilihat sebagai ‘diva’ yang tidak boleh menerima pendapat orang. Siapa bersalah dan Erra di pihak mana?
Saya yang berada di tempat kejadian dan situasi itu berlaku depan mata saya. Saya tidak boleh kata siapa betul atau siapa salah tapi moralnya, semua orang sama ada artis atau media, masing-masing kena hormat kerja masing-masing. Mustahil kami nak tabur pasir dalam periuk nasi sendiri dan itu bukan pertama kali kami buat fotografi.
Ada sebab kenapa Ziana tinggalkan studio fotografi tempoh hari, kalau dia tidak setuju dengan konsep fotografi itu, awal-awal lagi dia tolak ajakan itu. Saya dan Ning yang habiskan fotografi itu juga kena kutuk sampa tiga muka surat. Artikel itu sangat berat sebelah dan kami tidak dipanggil atau diajak berbincang. Nampak sangat apa yang tertulis adalah permainan emosi penulis berkenaan.
Tapi, sampai sekarang kami tidak tergugat, buat apa nak buat sidang media atau saman-menyaman, industri ini kecil. Perkara itu harus dilihat secara matang.
Penyakit selebriti dikatakan menyerang artis yang berstatus ‘diva’, komen Erra?
‘Diva’ ada dua maksud, ‘diva’ daripada pencapaian yang positif dan ‘diva’ yang dilihat dari sudut negatif. Ikut pengalaman saya, semakin tinggi pencapaian seseorang artis itu, semakin dia merendah diri dan semakin dia tahu menyayangi pencapaian yang dibina berbelas tahun yang sudah. Ada masanya artis yang baru melonjak naik yang lebih ‘diva’ perangainya berbanding artis yang sudah sukses. Artis yang terkena ‘penyakit selebriti’ mungkin ada tapi jangan cepat pukul rata, bagi saya itu justifikasi yang silap. Dan jangan salah guna perkataan ‘diva’ itu sesuka hati.
Bagaimana dengan kepanasan persaingan dalam Mentor?
Sekarang baru saya tahu, betapa sengitnya persaingan dalaman dalam program itu, ingatkan secara luaran sahaja.
0 ulasan:
Catat Ulasan