pelakon filem Sumpahan Kum Kum
Selepas mencipta rekod luar biasa menerusi filem komedi seram, Ngangkung yang berjaya mengaut keuntungan sebanyak RM8.45 juta, Ismail Bob Hasim atau Bob beralih selera kepada filem bergenre seram untuk filem kelimanya, Sumpahan Kum Kum.

Tidak keterlaluan jika dikatakan Bob sebagai seorang pengarah muda telah berjaya meletakkan satu penanda aras untuk pengkarya-pengkarya filem bagi menerbitkan filem yang pecah panggung yang menepati selera penonton.

"Rekod kutipan filem di negara ini ada turun dan naiknya. Namun, saya tidak mahu terlalu tertekan memikirkan tentang kutipan dan kini saya hanya mahu fokus terhadap penggambarannya sahaja," katanya.

Bercerita tentang pengarahan filem seram pertamanya itu, Bob tanpa berselindung mendedahkan dia tidak mampu untuk mengelak sekiranya terdapat antara babak filem tersebut yang berkemungkinan boleh bertukar menjadi bahan ketawa penonton.

"Saya buat filem lebih buat tontonan seorang penonton dan saya mahu ia jujur, selain mempunyai unsur ketakutan.

"Saya juga tidak menolak kemungkina akan ada babak yang mampu menimbulkan rasa geli hati kepada penonton meskipun ia merupakan filem seram. Namun, sudah pasti ia tidak akan berlaku kepada keseluruhan filem," ujarnya.

Sumpahan Kum Kum telah mula menjalani penggambaran bermula 23 Mac lalu di sekitar Ijok serta Kuala Selangor dan dijangka akan selesai dalam masa 24 hari.

Pemilihan lokasi dibuat berdasarkan konsep penceritaan dan latar cerita yang berbalik kepada era 90-an dan menurut Bob lagi, pemilihan lokasi amat penting kerana ia mampu membantu dalam memberi kesan serta mood lakonan kepada para pelakonnya.

Antara pelakon yang terlibat ialah Fezrul Khan, Putri Mardiana, Farisya Fatin, Lydiawati, Kaza dan dua pendatang baru iaitu Shima Anuar dan Wawa Zainal..

Sinopsis Filem Sumpahan Kum Kum

Sumpahan Kum Kum mengisahkan Mila yang memiliki wajah berjerawat, malu dengan keadaan rupanya lalu berjumpa dengan seorang dukun bagi mendapatkan rawatan susuk. Pantang laranganya adalah Mila tidak boleh melihat cermin selama 44 hari. Di tempat kerjanya, Mila yang dahulunya langsung tidak dipandang oleh lelaki, mula menjadi siulan ramai. Mila tidak sabar untuk melihat wajah barunya dan dia melihat cermin. Wajah Mila bertukar menjadi hodoh dan Mila pergi berjumpa dukun yang sama untuk memulihkan wajahnya.

Setelah dipujuk dan dirayu, akhirnya dukun iaitu Mak Tom, memberitahu Mila bahawa satu-satunya cara untuk memulihkan wajahnya adalah dengan meminum darah 9 gadis sunti. Mila mengekori Shima ke tandas dan membunuhnya serta meminum darahnya. Shima adalah anak kepada Mak Tom. Mak Tom bertekad untuk membalas dendam terhadap kematian anaknya dan memanggil Mila dengan mengatakan kononnya ada cara lain untuk mencantikkan kembali wajahnya. Mak Tom melibas Mila dengan cangkul dan memasukkan tubuh Mila yang nyawa-nyawa ikan ke dalam lubang yang telah digalinya. Sebelum ditimbus, Mila sempat menyumpah yang dia akan membunuh anak-anak sunti keturunan Mak Tom. Mak Tom mempunyai seorang cucu, Tini dan Mak Tom bimbang Tini akan menjadi mangsa dendam Mila maka Mak Tom sentiasa bersikap dingin terhadap Tini. Hantu Mila(hantu kum-kum) sering merayau dan menggangu orang kampung.

Pada suatu hari, Mak Tom meninggal dan wajahnya berulat dan dipenuhi lipas dan serangga. Rahsia Mak Tom terbongkar apabila Adi, anak lelaki Mak Tom pergi berjumpa Mak Leh, ibu saudaranya, untuk mendapatkan penjelasan tentang hantu Mak Tom dan hantu Shima yang menganggunya. Adi menyuruh isterinya, Nurul, membawa anak mereka pulang ke KL. Di KL, hantu Mila mengekori Tini dan Nurul sehingga dirumah. Nurul mendapat panggilan dari Adi menyuruhnya mengunci semua pintu dan tingkap. Malangnya, Mila sudah berada didalam rumah dan sedang bermain dengan Tini. Nurul mengunci dirinya dan Tini di dalam bilik.

Di kampung, orang kampung sedang mengadakan upacara pengebumian mayat Mila. Adi bergegas pulang ke rumahnya di KL dan ketika tiba, Adi mendapati Tini berada di dalam bilik bersama hantu Mila dan sedang menjerit ketakutan. Adi berjaya membuka pintu dan mendapati hantu Mila sedang mengendong anaknya yang pengsan. Sebelum sempat hantu Mila menggigit leher Tini, hantu Mila menggelupur kerana pada ketika itu, di kampung, orang ramai sudah selesai mengebumikan mayat Mila dan sedang membaca Yassin. Di kubur Mila, kelihatan sorang wanita berjubah dan berhijab sedang berdiri tunduk melihat batu nisan.

Pelakon Sumpahan Kum Kum
Feroz : Adi (Pelakon Utama)
Putri Mardiana : Nurul (Pelakon Utama)
Lydiawati : Mak Tom (Pelakon Pembantu)
Echa : Tini (Pelakon Pembantu)
Maimon Mutalib : Mak Leha (Pelakon Pembantu)
Kazaar Saisi : Pak Nuar (Pelakon Pembantu)
Abdul Razak Ahmad : Imam (Pelakon Pembantu)

Video Trailer Sumpahan Kum Kum


Poster Filem Sumpahan Kum Kum
Poster Filem Sumpahan Kum Kum

2 ulasan:

  1. wah,. entri bulan mac tahun 2011 ni. hebatnya =)

    jemput singgah ke entry saya , review filem ni dari aspek ilmu pulak, mudah2an ada manfaatnya =)

    fahmimahat.blogspot.com/2012/01/review-filemsumpahan-kum-kum-mig-online.html

    BalasPadam
  2. ngangkung adalah foul dan kureng....tapi Kum Kum ni memang logik jalan cite dia dan best..

    jemput baca review di Kakiwayang.com ..=)

    BalasPadam

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top