SEBAIK merancang untuk dihasilkan oleh Pengarah Urusan Penerbitan Jas, Raja Azmi …Dalam Botol sudah dikaitkan dengan pelbagai isu panas. Bermula dengan tajuknya yang pada peringkat awal mahu menggunakan Anu Dalam Botol, ia kemudian berdepan isu kelulusan pihak berkuasa.

Menampilkan isu atau jalan cerita dianggap sensitif, tempias 'panas' dikaitkan dengan …Dalam Botol turut dirasai pelakon utamanya. Masakan tidak, ini kali pertama filem mengisahkan mengenai cinta antara lelaki gay dihasilkan untuk tontonan umum.

Tema diangkat Raja Azmi berdasarkan kehidupan benar seorang kenalannya dianggap tabu dalam masyarakat kerana belum pernah diperkatakan secara terbuka. Apatah lagi wujud juga isu pelakon utamanya, Azharudin Ramli atau Arja Lee sebagai Rubidin/Ruby digambarkan menjalani pembedahan mengubah alat kelamin semata-mata kerana alpa dengan cinta songsangnya bersama Ghaus, lakonan Saiful Redzuan A Bakar atau Wan Raja.

Begitupun menonton keseluruhan filem ini, ternyata pengisiannya bukan mengenai isu 'panas' yang hangat diperkatakan semata-mata, sebaliknya tema ditampilkan disentuh lebih mendalam (dari sudut pergolakan emosi), penuh warna dan menarik untuk ditonton. Mengambil contoh Rubidin bertemu cinta sejati sewaktu bersama Dina, lakonan Diana Danielle.


Sewaktu ditemui dalam sesi fotografi khas bersama Rap baru-baru ini, Wan Raja dan Arja Lee tidak menafikan turut terpalit isu panas ditimbulkan sehinggakan ada ketika mereka terpaksa berdepan dengan situasi kurang menyenangkan.


Berkongsi cerita mengenai�nya, jelas Wan Raja yang mula membabitkan diri dalam dunia lakonan menerusi drama Seteguh Impian, ada antara mereka yang belum menyaksikan filem bakal ditayangkan di pawagam bermula hari ini, cuba mempersoalkan 'kejantanannya'.

"Ada orang yang ditemui bertanya adakah saya seperti Ghaus di luar filem iaitu meminati kaum sejenis. Bagi mereka yang sudah menontonnya pula berkata, lakonan saya 'sesuai' sangat. Saya faham apa yang mereka maksudkan iaitu saya pernah melakukan perkara seperti apa yang digambarkan ….Dalam Botol," katanya
Bercerita lanjut, katanya, dia teringat pertanyaan seorang pelakon senior, Ann Abdullah sewaktu sama-sama menjalani penggambaran drama. Secara terbuka dan nada gurau, Ann bertanyakan adakah dia juga gay atau pernah bercinta dengan mak nyah?

"Jawapan saya kepadanya, walaupun dalam drama yang kami jayakan menggambarkan saya dan dia bercinta, di luar drama perkara itu tidak berlaku. Begitulah juga jawapan saya berikan apabila ada yang berta�nya," katanya lagi.

Melihat kepada jalan cerita, tidak dinafikan kesangsian seperti dijelaskan Wan Raja pasti timbul memandangkan dia pelakon baru dan sebelum ini latar hidupnya tidak diketahui ramai. Malah pada waktu sama, ramai yang bertanya mengapa dia sanggup membintangi …Dalam Botol memandangkan tema ditampilkan pasti mengundang pandangan serong masyarakat yang sebelum ini memang memandang rendah lelaki lembut.

"Pandangan awal saya juga begitu, malah sewaktu jurusolek salah satu produksi drama yang dibintangi menyarankan saya menjalani uji bakat dijalankan Raja Azmi membuatkan saya tergelak. Begitupun, semuanya berlaku secara tidak sengaja apabila seorang rakan juga pelakon meminta saya menemaninya untuk menjalani uji bakat diadakan.

"Di situ juga saya bertemu Raja Azmi. Dia meminta saya mengisi borang dan menjalani uji bakat. Waktu itu saya tidak terfikir langsung dan melakukannya atas dasar mencuba selepas dipelawa. Tidak sangka pula rezeki berpihak kepada saya," katanya.

Persepsi yang timbul dalam diri Wan Raja akhirnya berubah apabila pertama kali membaca skrip dan mengetahui jalan ceritanya. Ternyata ia bukan sebuah filem gay murahan, sebaliknya tema ditampilkan sangat berat dan benar-benar mencabar kredibiliti seorang pelakon. Waktu sama dia terfikir patutlah ramai pelakon berbakat besar turut mahu mencuba nasib membintangi …Dalam Botol.

"Saya bertuah kerana sepanjang menjayakan filem ini banyak diberi bimbi�ngan terutama daripada pelakon senior seperti Fauziah Ahmad Daud (Ogy), Normah Damanhuri dan Jalil Hamid. Waktu sama, pengarahnya, Khir Rahman juga banyak memberi tunjuk ajar. Saya banyak belajar untuk menjadi pelakon yang baik dalam …Dalam Botol," katanya.

Bagi Arja Lee, 27, dia perlu berdepan dengan dugaan paling besar apabila kenyataannya membabitkan babak bogel sewaktu mandi menjadi kontroversi. Lebih daripada itu, ia turut membabitkan nama universiti tempat dia mengikuti pengajian dalam bidang seni persembahan.

"Mujur mereka memahami. Hendak diikutkan waktu itu memang saya rasa tertekan, tetapi keluarga banyak memberikan kata semangat. Fakulti pengajian saya termasuk pensyarah memberikan perangsang dengan berkata itu perkara biasa. Mereka memandang jauh dan menjelaskan tidak semua orang faham mengenai dunia seni. Saya pula menganggap sebagai pelakon ini, antara cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi," katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, jelas Arja, babak yang didakwa dia mandi tanpa seurat benang sebenarnya membawa makna perubahan Ruby kembali kepada Rubidin. Apatah lagi sebelum itu ayahnya meninggalkan wasiat yang mahu Rubidin memandikan jenazahnya. Bagi orang beragama Islam, babak itu amat bermakna dan itulah yang menjadi titik permulaan kepada segala penyesalan yang dihadapi watak utama filem …Dalam Botol.

Menjayakan watak Rubidin/Ruby dan bercumbuan dengan Wan Raja bagi menjayakan filem …Dalam Botol tidak mudah. Apatah lagi adegan mesra dan pergolakan dilalui sewaktu diting�galkan lelaki disayangi benar-benar mencabar kemampuan. Apatah lagi ini filem pertama Arja Lee dan memegang peranan besar.

"Saya tahu sebagai mak nyah, saya tidak mempunyai bentuk tubuh sesuai, apatah lagi raut wajah saya agak kasar. Hendak jadi mak nyah dalam filem itu sangat susah. Kening saya dicabut sampai sekarang susah hendak tumbuh balik, itu belum masuk kaki terpaksa dicukur kerap. Saya juga tidak terlalu lembut kerana perlu beraksi berdasarkan pembangunan watak dalam filem itu. Selaku pengarah, Khir Rahman sendiri tidak mahu saya nampak cantik dan sempurna," katanya.

Bercerita mengenai keserasian dalam melakonkan watak panas antara dia dan Wan Raja,

jelas Arja, dia bertuah kerana selaku penerbit, Raja Azmi memberikan segala ruang untuk kedua-dua pelakon utama itu mengenali antara satu sama lain sebelum penggambaran dimulakan agar apabila beraksi di lokasi tidak wujud perasaan kekok.

"Bayangkan Raja Azmi sanggup membawa Khir Rahman, Wan Raja dan Rosnan yang turut membintangi filem ini ke Pulau Pinang untuk mengenal karakter masing-masing selama seminggu di sana memandang�kan waktu itu saya baru saja mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM). Sewaktu penggambaran juga, kami turut diberi pendedahan awal.

"Memang watak mak nyah dan lelaki lembut juga bukanlah satu masalah bagi saya kerana sepanjang membabitkan diri dalam bidang seni, saya dikelilingi rakan yang begitu. Maklumlah sebelum ini saya turut menjadi penari dan penyanyi, jadi mereka ada di sekeliling saya. Apabila membintangi …Dalam Botol saya mengambil satu karakter yang hendak dimainkan. Waktu sama, Khir turut memberikan kebebasan untuk pelakonnya bermain dengan watak tapi tidak terkeluar dari ruang yang dibina," katanya.

PROFIL

Nama penuh: Azharudin Ramli
Panggilan: Arja Lee
Tarikh lahir: 8 September 1983
Asal: Kuala Lumpur
Umur: 27 Tahun
Pendidikan: Sedang mengikuti Ijazah Sarjana Muda Seni Persembahan, Universiti Sains Malaysia (USM)
Hobi: Melancong, melukis dan bersukan
Teater: Puteri Gunung Ledang, Mahsuri dan Kaki Blues
Drama: Alahai Anak Omak dan Ku Lagu Cinta Bisu
Filem:…Dalam Botol

PROFIL

Nama penuh: Saiful Redzuan A Bakar
Panggilan: Wan Raja
Tarikh lahir: 12 Februari 1978
Asal: Georgetown, Pulau Pinang
Umur: 33 tahun
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Seni Lukis, Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Hobi: Menonton filem, melukis dan bersukan
Teater: Jebat, Puteri Saadong, Devian Dogma, Radin Mas, Tengku Putri Salasiah, Waktu Sesudah Itu dan Mayat
Drama: Anak Mamak Menantu Mami, Kasih, Dislexia, Waris Songsang, Bisikan Arwah, Spa Qistina, Dalca Mami Georgetown, Metafora, Berek, Kelab Jeng Jeng, Mat Jaja, Seteguh Impian, Matahari dan Rias Mutiara
Filem: Sifu & Tongga, 2 Jiwa 1 Hati dan …Dalam Botol






0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top