Drama muzikal terbaru, Kampus yang bakal disiarkan mulai Sabtu menerusi saluran iTV (Astro 180) dari idea siri popular Amerika Syarikat, Glee.

Kampus bakal menampilkan Diddy Hirdy, Faralyna Idris, Aishah Hoo, Shark Radzuan, Najua P. Ramlee, Atie Abu Bakar dan Azhar Sulaiman.

Pengarahnya, Yusmal Ghazali berkata, dia mendapat ilham untuk menerbitkan drama berkenaan selepas menyaksikan siri itu dua tahun lalu.

"Saya tergerak hati untuk menerbitkan siri ini apabila menonton Glee bersama isteri dan kami mula menghasilkan sinopsis sebelum menghantarnya ke RTM untuk diteliti.

"Alhamdulillah RTM suka dengan idea kami yang berbeza daripada Glee dan kami diarahkan supaya menghasilkan sebanyak 26 episod untuk siaran di iTV," ujarnya ketika ditemui pada sidang media pelancaran drama tersebut di sini, pada Khamis.

Yusmal berkata, walaupun idea asal dicedok daripada siri popular Amerika Syarikat itu, namun banyak perubahan telah dilakukan mengikut kesesuaian dan cita rasa penonton tempatan.

Ujarnya, Kampus yang menjalani penggambaran di Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) itu mengupas kehidupan penuntut kolej dengan memasukkan elemen kehidupan seharian mereka sebagai latar utama.

"Ini adalah salah satu cabaran kepada saya untuk memastikan latar dan tema Kampus adalah berbeza daripada Glee.

"Atas dasar itu juga saya mengambil latar kolej dan jalan cerita yang lebih dekat dengan kehidupan seharian penuntut kolej," ujarnya.

Bagaimanapun Yusmal berkata, dia sudah sedia menerima kritikan daripada penonton yang akan membandingkan hasil kerjanya dengan drama muzikal lain.

Sementara itu, Yusmal memberitahu, Kampus bakal menampilkan 68 buah lagu sepanjang 26 episod siarannya dan pemilihan lagu adalah cabaran terbesar buatnya.

Selain lagu yang sedang popular di kalangan anak muda, lagu-lagu lama yang bersifat “evergreen” juga turut diselitkan.
Barisan pelakon yang menjayakan drama muzikal Kampus.

"Bukan senang untuk memilih lagu kerana skrip perlu disiapkan terlebih dahulu sebelum dapat memutuskan lagu apa yang sesuai.

Bagaimanapun pelbagai perbincangan telah dibuat dan kami yakin 68 buah lagu itu akan disukai oleh penonton.

Antara lagu yang menjadi pilihan adalah seperti Seksis (Anita Sarawak), Bila Cinta (Mila), Layar Impian (Ella), Bebas (Kool) dan Gemilang(Jaclyn Victor)

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top