Dua peserta bertuah iaitu Wahidan Awang Supain, 42, dan Ezani Farhana Md. Monoto, 26, terpilih dalam siri muktahir Santapan Penamat MasterChef Malaysia sebelum rasmi dinobatkan sebagai juara.
Mereka berdua akan berentap menunjukkan kemahiran memasak dalam ujian tertentu untuk dinilai buat kali terakhir oleh barisan juri profesional.
Debaran tersebut cukup dirasai Wahidan dari Sandakan, Sabah yang tidak pernah bermimpi untuk berada di kedudukan yang menjadi idaman setiap peserta.
“Saya hanya orang kampung yang bekerja di kebun dan bercita-cita membuat perubahan terbaik buat keluarga. Meminati bidang masakan dan menjadikan ia sebagai pembakar semangat untuk meraih kejayaan.
“Alhamdulillah, saya berjaya menempuhi cabaran demi cabaran yang diberikan sepanjang 65 episod sebelum ini,” katanya dalam perbualan malam Khamis lalu.
Bercerita tentang kenangan yang tidak dapat dilupakan, bapa kepada tiga anak ini memberitahu bahawa Manisan Labu Labi banyak membuatkan dirinya tersenyum sendiri.
Menu pemanis mulut tersebut itu telah membuka mata juri tentang potensi dirinya yang cukup sinonim dengan bahan masakan terbabit.
“Satu lagi kenangan manis yang tak dapat saya lupakan sewaktu memasak mi goreng di Pasar Seni (Kuala Lumpur). Tak terasa peluh mengalir sebab getaran lebih kepada mata-mata yang memandang kemahiran memasak saya.
“Setelah semuanya berakhir, barulah saya boleh tersenyum apabila masakan saya itu berjaya memikat pelancong luar negara ketika itu,” sambungnya lagi.
MasterChef Malaysia memulakan siaran pada 22 Oktober 2011 dengan membabitkan 66 episod pada setiap hari Isnin, Selasa, Rabu, Jumaat, Sabtu dan Ahad.
Mengidam RM100,000
Dalam pada itu, doktor gigi Ezani tidak dapat menyembunyikan rasa teruja kerana berjaya melalui fasa terakhir siri program yang punya ramai pengikut ini.
“Jujurnya, saya tak menyangka dapat mara ke peringkat akhir kerana terpaksa menempuhi persaingan sengit memandangkan setiap peserta punya kepakaran masing-masing.
“Tapi, alhamdulillah semua dugaan berjaya ditempuhi atas berkat usaha dan kesabaran,” kata wanita yang pernah memenangi ujian cita rasa menggunakan cous-cous dalam masakan sebagai manisan ini.
Apa yang Ezani akan lakukan andai dia menjadi juara pertama MasterChef Malaysia?
“Hadiah yang ditawarkan pihak Astro memang lumayan dan pemenang cukup bertuah kalau mendapatnya. Dahulu saya pernah bercita untuk punya buku masakan sendiri, kalau impian saya termakbul, alangkah seronoknya.
“Saya juga idam sebuah perniagaan yang terlibat dengan dunia kulinari. Apa pun, semua ini masih dalam rancangan,” harap wanita yang berasal dari Muar, Johor dan menetap di Kajang, Selangor ini.
Juara pertama MasterChef Malaysia bakal menenangi wang tunai sebanyak RM100,000 dan berpeluang memiliki buku resipi masakan sendiri terbitan serta edaran pihak Astro.
Saksikan MasterChef Malaysia: Santapan Penamat, 8 Januari, 9 malam, eksklusif di Astro Ria (104) dan Saluran HD (188)
0 ulasan:
Catat Ulasan