Sinopsis Ampunkan Dosaku

Ampunkan Dosaku menceritakan hidup Hassan (Shahrol Nizam) yang tidak henti-henti diuji dengan pelbagai dugaan dan kesulitan hidup, dia selalu sahaja menjadi mangsa Fatimah (Wan Maimunah) disebabkan dendam lama yang masih tersemat di dalam hatinya walaupun ibu Hassan telah lama meninggal dunia. Sebagai ibu tiri Hassan, Fatimah masih tidak dapat menerima kehadiran Hassan di dalam rumahtangganya. Seribu satu fitnah dilontarkan terhadap Hassan, seorang remaja naif yang dahagakan kasih sayang seorang ibu. Kebencian Fatimah terhadap Hassan membuat dia nekad meletak racun di dalam makanan Hassan, namun mujur Hassan selamat untuk kali ini.

Suatu hari, Fatimah berjaya juga mengenakan Hassan apabila dia diusir oleh bapanya iaitu Osman (Raisudin Hamzah) atas kesalahan yang tidak dilakukannya. Sejak itu, Hassan hidup merempat, bawah jambatan dan kaki lima adalah rumahnya sehinggalah dia bertemu dengan Sulaiman (Arash Mohd) dan isteri yang baru sahaja kematian anak mereka. Walaupun begitu, Fatimah yang masih tidak puas hati dengan Hassan telah mengupah orang untuk memukul Hassan. Hassan membuat keputusan membawa diri ke bandar bagi memulakan hidup baru.

Beberapa tahun kemudian, Hassan yang telah berkahwin dengan Sarimah menjalani hidup yang lebih baik bekerja di kilang dan mula berjinak-jinak menjadi penggubah lagu. Sarimah yang sarat mengandung sebenarnya sedang bertarung dengan nyawa, dia merahsiakan penyakitnya dari pengetahuan Hassan yang menjaganya seperti menatang minyak yang penuh. Sarimah meninggal dunia sebaik sahaja melahirkan anak lelaki mereka. Hassan yang masih sebak dengan pemergian isterinya berjanji akan menjaga anak lelaki mereka yang diberi nama Sazali (Zul Huzaimy) dengan penuh kasih sayang dan akan mengotakan apa sahaja yang dipinta oleh Sazali.

Kini, Hassan semakin senang. Dia telah membeli kilang di mana dia bekerja selama ini dan sebuah rumah besar untuk keselesaan Sazali. Namun, seperkara yang Hassan tidak tahu, Sazali baik di matanya tetapi di luar, Sazali merompak, terlibat dengan kumpulan samseng dan mempermainkan wanita sebagai pemuas nafsunya. Rokiah (Sharifah Amani), anak gadis Kassim (Zamarul Hisham) dan Suminah (Emelda Rosmila) yang baru pulang dari luar negeri. Sazali terpikat dengan Rokiah tetapi tidak mencintainya, dia hanya ingin memuaskan nafsu binatangnya.

Poster drama Ampunkan Dosaku

Selama ini, Rokiah menganggap Sazali lelaki yang sempurna dan terbaik untuknya. Ternyata pandangan Rokiah meleset. Dia telah kehilangan sesuatu yang berharga di dalam hidupnya. Rokiah sedih tetapi terpaksa menerima hakikat itu dan menguatkan diri untuk menceritakan perkara sebenar kepada Hassan. Hassan sukar untuk menerima realiti anak yang ditatangnya selama ini lebih kejam daripada ibu tirinya, Fatimah. Hassan tidak mahu mengaku Sazali sebagai anaknya. Sazali dihalau daripada rumah tanpa sesen wang. Sazali yang hidup sebatang kara menyesali segala dosa yang pernah dilakukannya. Dia disahkan menghidap HIV dan keadaannya semakin nazak. Apakah yang bakal berlaku seterusnya selepas Rokiah dan Hassan mengetahui keadaan sebenar Sazali? Masih adakah timbang rasa di dalam hati mereka berdua untuk memaafkan segala dosa Sazali sebelum dia menghembuskan nafas terakhir?

Pelakon Ampunkan Dosaku: Zul Huzaimy, Shahrol Nizam, Sharifah Amani, Zamarul Hisham, Emelda Rosmila, Melissa Saila, Rozita Che Wan, Fimie Don. Saksikan drama ‘Ampunkan Dosaku’, slot Azalea TV3 setiap hari Isnin hingga Khamis jam 4.00ptg bermula 2 Januari 2012.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top