AlHijrah bersiaran 18 jam sehari
Mulai 1 Januari ini, stesen TV AlHijrah akan memulakan siaran awal pagi dengan menambahkan siaran dari 12 jam sehari kepada 18 jam sehari. Ini sekali gus menandakan siaran TV AlHijrah boleh diikuti mulai 6 pagi hingga 12 tengah malam setiap hari.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Bukhari Che Muda, berkata penambahan siaran ini adalah bagi memenuhi permintaan penonton yang sudah mula mengikuti program TV AlHijrah sejak dilancarkan setahun lalu.

"Melalui siaran awal pagi, penonton dapat mengikuti banyak rancangan menarik berbentuk bimbingan agama, kerohanian dan motivasi seperti 30 Minit Ustaz Don dan Reflections seawal enam pagi.

"Program di TV AlHijrah juga menarik untuk ditonton kerana ia lebih kepada gaya hidup dan pengukuhan nilai moral," katanya.

Beberapa rancangan juga telah diubah siaran kepada waktu perdana bagi memberi peluang kepada penonton mengikuti rancangan ini bersama keluarga.

Antara perubahan jadual yang terdapat mulai 1 Januari 2012 nanti adalah:

* Program 30 Minit Ustaz Don akan bersiaran lebih awal iaitu pada pukul 10 malam setiap Isnin hingga Khamis.

* Program bual bicara, Bicara ditukar siaran kepada setiap Isnin jam 9 malam hingga 10 malam.

* Program penerbitan drama tempatan akan disiarkan setiap Selasa hingga Khamis jam 8.30 malam hingga 9.30 malam.

* Program Khidmat Syariah musim ketiga bersama Wan Kamaruddin mulai 6 Januari 2012 akan ditambah waktu siaran kepada satu jam setiap Jumaat. Format program kali ini lebih menjurus kepada sesi interaktif dan secara terus akan membincangkan topik yang ada hubung kait dengan subjek atau isu dikemukakan pada setiap minggu. Penonton di rumah boleh berbicara terus dengan tetamu yang dijemput untuk bertanyakan mengenai isu dibincangkan.

* Slot Movie Around The World akan disiarkan setiap Ahad.

* Dikir Zikir sebuah program berbentuk hiburan keislaman akan bermula pada 7 Januari 2012 setiap Sabtu pukul 9.30 malam hingga 10.30 malam. Program ini berbentuk hiburan secara santai yang menggabungkan alunan qasidah, lagu berunsur ketuhanan serta tazkirah ringkas. Dihoskan oleh Mustafa dari Kumpulan Debu dan Ramly dan Mohamad dari Kumpulan Mohram.

Dengan penambahan waktu siaran ini, TV AlHijrah cuba memenuhi permintaan penonton yang ingin mengikuti program dengan pengisian lebih menarik, berfaedah, bermanfaat, berilmu pengetahuan dan penuh dengan motivasi, kerohanian serta bimbingan.

Walaupun baru beroperasi dan bersiaran sejak setahun yang lalu, TV AlHijrah mampu mengorak langkah agresif bukan saja melalui penambahan waktu siaran tetapi juga dalam menerbitkan program realiti pertama Solehah.

Memperkenalkan pendakwah baru dan muda seperti Ustaz Don Daniyal untuk menerajui program dakwah secara interaktif dan santai malah buat pertama kali, turut berpeluang menganjurkan Karnival Hijrah bersama Jabatan Perdana Menteri serta Kerajaan Negeri Terengganu dengan jayanya di Kuala Terengganu, baru-baru ini.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top