Kumpulan teater Dramatis Kuala Lumpur (DKL) akan muncul dengan teater terbaru berjudul Rajuk yang dirancang dipentaskan di Stor Teater Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) pada 25 dan 26 Ogos 2012.

Penerajunya, Rosli Rahman Adam berkata, sesi latihan giat dijalankan di Balai Tun Syed Nasir (DBP) setiap Sabtu dan Ahad bermula jam dua hingga lima petang.


"Saya pilih buat latihan hanya pada sebelah petang kerana mahu mereka menumpukan perhatian kepada amal ibadat dan mengerjakan solat Tarawih pada sebelah malam. Lagipun kesempatan bertarawih hanya berlaku sebulan sekali dalam setahun.

"Rajuk adalah naskhah karya isteri saya, Liza Tan. Sebelum ini, anak saya Zayrul Iqwan bertindak sebagai pengarah untuk teater DKL. Bagaimanapun, dia kini sedang melanjutkan pengajian dalam jurusan Skrin di UiTM Puncak Perdana, Shah Alam.

"Justeru, tugas pengarah diambil alih oleh saya semula. Memang tiada masalah kerana sebelum ini pun saya sering bergandingan dengan isteri dalam setiap teater terbitan DKL. Setiap masa kami berbincang untuk mendapatkan hasil terbaik.

"Rajuk diterajui enam pelakon penting dan dibantu empat hingga lima pelakon tambahan. Mereka yang terbabit ialah Hasliza Ali, Bee Jay, Puteri Izan, Rizuan, Juwita Rosli dan Nurul Nabila.

"Kebanyakan mereka sememangnya aktif dalam DKL dan sering terbabit dengan pementasan teater. Secara tak langsung, saya tak berdepan dengan masalah mementaskannya kepada peminat nanti," katanya.

Rosli yang juga pelakon dan pernah membintangi filem Jimmy Asmara dan terbaru, Man Sewel Datang KL menambah, kebanyakan cerita yang dipentaskan oleh DKL berkisarkan kisah yang berlaku di kampung.

"Memandangkan jiwa saya dekat dengan kehidupan desa, tiada salahnya saya ambil kisah masyarakat kampung dan jadikan iktibar kepada penonton. Kebanyakannya adalah kisah benar yang berlaku berdasarkan pengalaman saya dan saudara-mara.

"Intipati Rajuk memaparkan konflik keluarga yang berlaku di sebuah kampung. Ia mengisahkan Zana (Hasliza), seorang gadis 18 tahun yang periang, namun jatuh hati dengan seorang bujang terlajak bernama Razlan (Bee Jay).

"Mereka bercinta secara sembunyi tanpa pengetahuan emak Zana, Kak Yam (Puteri Izan) yang sangat memandang kebendaan. Dia juga sering membayangkan nak kahwinkan Zana dengan orang berada.

"Namun, jiran sebelah rumah Zana, Lela dan Kak Nor tahu perkara ini dan menghebahkannya kepada orang kampung. Ini membuatkan Kak Yam naik hantu dan mencari Razlan. Kak Yam menghina Razlan sebaik berjumpa pemuda itu.

"Razlan yang kecewa kerana percintaannya terhalang, membawa diri ke Kuala Lumpur dan akhirnya bergelar usahawan berjaya. Selepas itu dia pulang ke kampung dan bertekad meminang Zana.

"Bagaimanapun dia terkejut kerana pada hari yang sama juga, Zana bersanding dengan orang lain. Razlan kecewa dan akhirnya membuat keputusan meninggalkan kampung dan tak mahu berkahwin buat selama-lamanya.

"Sebenarnya memang ada peminat yang suka cerita sebegini. Bagaimanapun, skripnya perlu diberi perhatian kerana tak boleh terlalu ringkas ataupun berbunga-bunga. Paling penting ialah kandungan cerita perlu kuat," katanya.

Di sebalik berkarya, Rosli tidak melupakan tanggungjawab sebagai umat Islam apabila menyelitkan unsur Islamik di dalamnya. Dia tidak berminat menghasilkan teater muzikal seperti yang dibuat segelintir penggiat teater lain kerana tidak mahu masyarakat terlalu disogokkan dengan hiburan tanpa had.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top