Taeyang dari kumpulan K-Pop Bug Bang digilai ramai peminat.

Kerjaya seni jejaka kacak dan bertubuh sasa itu mula diperhatikan selepas muncul dalam klip video berjudul A-yo dendangan Jinusean. Dia mula diberi latihan di bawah syarikat YG Entertainment di awal usia 12 tahun. Selepas enam tahun menjalani latihan vokal dan tarian, Taeyang membuat penampilan sulungnya di sisi anggota kumpulan itu pada 2006. Kemunculan album mini berjudul Hot pada Mei 2008 menjadi bukti kecintaan Taeyang atau nama sebenarnya, Dong Young Bae dalam memperjuangkan muzik solo.


Menerusi album berkenaan, Taeyang yang juga menamakan dirinya dengan panggilan Sol popular dengan lagu Only Look At Me. Album itu turut melayakkan penyanyi yang juga model ini memenangi dua anugerah di 7th Korean Music Awards menerusi kategori Lagu dan Album Terbaik untuk genre R&B/Soul.

Ada yang menyifatkan album mini itu pernah mengecewakan Taeyang secara peribadi. Seterusnya pada Julai 2010, Taeyang bangkit lagi dengan album penuh berjudul Solar memuatkan 13 lagu termasuk lagu I Need A Girl dan I’ll Be There.

Album penuh terbabit melayakkan Taeyang menerima kategori Penyanyi Lelaki Terbaik di dalam dua anugerah iaitu 2010 Mnet Asian Music Awards dan Seoul Music Awards. Difahamkan Taeyang akan muncul dengan album solo terbarunya sekitar tahun ini.

Bagaimanapun, umum tahu komitmen Taeyang bersama Big Bang ketika ini begitu sibuk mempromosikan album terbaru mereka Alive sejak Februari lalu dan album edisi istimewa, Still Alive, selain sibuk dengan konsert jelajah mereka.

Malaysia turut menjadi lokasi pilihan Big Bang pada 27 Oktober ini di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur. Konsert dipanggil BIGBANG Alive Galaxy Tour 2012 Malaysia itu direalisasi dengan anggaran kos sebanyak RM 4 juta. Ia ditaja oleh Samsung Galaxy, dipersembahkan oleh YG Entertainment dan Livenation serta dianjurkan oleh Running Into The Sun dengan PMP sebagai rakan kerjasama rasmi.

Taeyang, jejaka kacak Korea ini disifatkan cukup bersih daripada kontroversi berbanding beberapa rakannya di Big Bang. Daesung contohnya pernah dituduh menyebabkan kematian dalam satu kemalangan jalan raya, manakala G-Dragon didapati positif dadah.

Taeyang juga sepi dan jarang menerima tempias kontroversi, skandal atau hubungan cinta. Malah pernah bertebaran gosip mengatakan dia lebih meminati kaum sejenis. Lagu I Need A Girl dikatakan menjadi terjemahan menafikan persepsi sesetengah pihak mengenai orientasi seksnya.

Taeyang juga cukup fasih berbahasa Inggeris. Malah di laman Twitter miliknya menggunakan nama @Realtaeyang, jejaka comel ini lebih selesa mengemaskini perkembangan dan statusnya menggunakan bahasa Inggeris. Buat peminat Big Bang di Malaysia, jika masih belum membeli tiket menonton konsert mereka, boleh mencuba nasib melayari www.ticketcharge.com.my. atau www.runningintothesun.com.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top