Mengakui negara indah ini penuh dengan khazanah yang tiada tandingannya, TLC yakin dua program istimewanya, Now Boarding: Malaysia dan Passage To Malaysia akan berjaya mengembalikan nostalgia tersendiri.
Menariknya lagi, dua program siri yang turut diselitkan di bawah tema Negaraku Special ini akan dikendalikan oleh lapan pengacaranya yang tidak perlu diperkenalkan lagi iaitu K.F Seetoh, Jamie Aditya, Bobby Chin, Anita Kapoor, Samantha Brown, Anthony Bourdain, Janet Hsieh dan Ian Wright. Negaraku Special menemui penonton sepanjang Ogos.
Passage To Malaysia yang mana satu material bersejarah yang dilakukan produksi penerbitan TLC sendiri berpeluang meneroka bumi eksotik di Sarawak. Bukan saja menyelami beberapa lokasi indahnya seperti gua-gua dan pedalaman sebaliknya TLC mendekati gaya hidup dan budaya masyarakat setempat di sana.
Dikendalikan pengacara popularnya, Denise Keller, Passage To Malaysia menerusi episod pertamanya ini, Feast in The East menyusuri geografi Sarawak termasuk jenis makanan dan juadah penduduk tempatan yang begitu unik dan lazat.
Malah, persepsi ramai pemikir Barat yang menyifatkan Sarawak dan bumi Malaysia masih lagi tamadun manusia yang tinggal di atas pokok, Feast in The East sendiri berpeluang melihat sendiri suku kaum di sana dan gaya hidup mereka bagi membandingkan ia adalah sejarah dan peninggalan khazanah dan bukannya seperti yang digambarkan.
Feast in The East yang turut menampilkan karnival menuai padi di Sabah akan bertemu penonton pada 21 Ogos ini jam 10 malam dan ulangannya pada keesokan hari, jam 9 pagi dan 28 Ogos jam 4 petang.
Kemudiannya, TLC menerusi Passage To Malaysia akan turut menampilkan episod khas, Art and About yang akan ditayangkan pada 28 Ogos jam 10 malam yang mana Denise Keller meninjau keunikan seni dan budaya Malaysia secara menyeluruh pula.
Kali ini, Denise bersama produksi TLC mengembara ke Kuala Lumpur hingga ke Perak, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu untuk melihat sendiri beberapa acara seni tempatan serta pembuatan seni di Malaysia.
Manakala menerusi Now Boarding: Malaysia, TLC lebih awal membariskan beberapa program istimewa sepanjang Ogos bermula dengan pengembaraan dan perjalanan penuh warna Ian Wright dalam program Globe Trekker musim ke-11 yang meninjau keistimewaan Pulau Pinang, Melaka dan Borneo yang akan disiarkan pada 10 Ogos jam 9 malam.
Samantha Brown's Asia pula akan menyusul selepas itu pada jam 10 malam pula dengan melihat lebih dekat makanan dan menu istimewa Malaysia bersama penyampainya, Samantha.
17 Ogos jam 9 malam pula, TLC akan membawakan program khas, Anthony Bourdain: No Reservations yang akan melihat keunikan budaya kaum Cina dan Nyonya di Malaysia yang berjaya mempengaruhi hampir keseluruhan masyarakat setempat terutamanya di Melaka dan Pulau Pinang.
Fun Asia 3 bersama penerokaan bumi Malaysia pula akan ditayangkan pada hari yang sama selepasnya pada jam 10 malam dengan memaparkan dokumentari santai mengenai hidupan liar Orang Utan dan keindahan Gunung Kinabalu.
Pengacara TLC yang bijak berjenaka, Bobby Chin pula akan membawa penonton melihat keunikan masakan di Malaysia yang menggabungkan tiga bangsa utamanya - Melayu, Cina dan India menerusi programnya, World Cafe Asia di Pulau Pinang. Bobby Chin akan tampil menghiburkan penonton pada 24 Ogos jam 9 malam sebelum digantikan pula pada jam 9.30 malam oleh program The Food Suprise bersama K.F Seetoh yang mencuba makanan istimewa Johor.
Exotic Escapades yang menampilkan pengacaranya yang jelita, Anita Kapoor pula akan ke Kota Kinabalu untuk meneroka sisi berbeza bandar raya itu. Anita yang turut mengacarakan program Go Asia with Anita Kapoor akan menemui penonton pada 24 Ogos jam 10 malam selama setengah jam.
Jam 10.30 malam pula, pengacaranya yang kacak dengan kacukan Indonesia, Jamie Aditya akan melihat pembangunan kota Kuala Lumpur dan kemeriahannya menerusi program After 12.
Pada hari kemerdekaan, 31 Ogos pula, TLC akan membawa penonton untuk menyaksikan dua lagi program istimewanya iaitu World Cafe Asia yang mencuba pelbagai makanan menarik di Kuala Lumpur pada jam 9 malam dan diikuti dengan The Food Suprise pada jam 9.30 malam.
TLC menjanjikan sebuah bulan kemerdekaan yang penuh dengan cerita dan keunikan pelbagai programnya yang hanya mengangkat simbolik kebebasan buat Malaysia sepanjang Ogos.
Pastikan anda tidak terlepas untuk mengikutinya dan menyaksikan sendiri produksi TLC dalam menyusuri pelbagai keindahan Malaysia dengan budaya dan elemen adatnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan