Dulu Pot Amir berbangga dengan kumpulan Innuendo yang mencipta pelbagai kejayaan dalam industri muzik tanah air. Rakaman kejayaannya menyaksikan Innuendo pernah memecah rekod Anugerah Industri Muzik (AIM 1998) apabila membolot enam anugerah iaitu Artis Inggeris Tempatan Baru Terbaik, Persembahan Vokal Berkumpulan Terbaik, Rakaman Album Terbaik, Album Inggeris Tempatan Terbaik, Susunan Muzik Terbaik (Belaian Jiwa) dan Lagu Terbaik (Selamanya) menerusi album sulung mereka.

Sementara Amer Munawer dan Azan Addin berbangga dengan Ruffedge yang menjadi kegilaan remaja menerusi barisan lagu popular antaranya Tipah Tertipu dan Khayalan. Manakala Zaff dan Lah pula menyinar bersama VE dengan lagu yang diingati ramai iaitu Party Like This dan Pop Ye Ye. Kedua-duanya muncul pada era 2000 dengan keistimewaan tersendiri.

Bagaimanapun itu kisah lama kerana segala-galanya kini berubah. Siapa sangka artis dua era ini akhirnya bergabung dan membentuk kumpulan dinamakan AlMawlid. Bertambah manis apabila kumpulan ini ditubuhkan pada 1 Muharram 1432H (7 Disember 2010) sempena pelancaran TV AlHijrah oleh Perdana Menteri.

Menariknya, kalau dulu mereka tampil dengan pelbagai fesyen terkini yang menjadi ikutan para remaja, kali ini mereka lebih selesa mengenakan pakaian yang ringkas dan sedap mata memandang. Bahkan ada kalanya mereka berjubah dan berketayap sekali gus menunjukkan kesederhanaan yang diamalkan dalam kehidupan terkini.

Melihatkan penampilan ini, sudah tentulah muzik yang dibawakan bukan lagi berentak hip hop yang pada setengah orang menyakitkan telinga, sebaliknya ia diisi dengan lagu positif yang memuji keagungan Allah dan keperibadian junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

"Sebenarnya anggota AlMawlid ramai tak terkira namun yang muncul ke depan hanya kami berlima. Kebetulan pula kami pernah bersama Innuendo, Ruffedge dan VE, jadi cepatlah kami dikenali ramai. Hasil perbincangan bersama, kami akhirnya tampil dengan album berjudul AlMawlid yang menampilkan bacaan al-Quran & selawat, qasidah, doa dan lagu antaranya Cahaya Seluruh Alam.

"Ini adalah album rasmi kami yang pertama kerana lagu Cahaya Seluruh Alam dulunya dihasilkan dalam bentuk single untuk dimainkan di radio bukannya dijual. Kami hanya menyanyikan lagu ini dalam persembahan AlMawlid. Kelahiran album ini juga tanpa dirancang tapi hajat kami dulu nak dipasarkan ketika Maulidur Rasul.

"Namun ia melihat juga pada masa dan keadaan kerana kami tak nak terlalu tertekan menyiapkannya. Justeru, kami anggap prosesnya berjalan sangat tenang. Selepas siap, kami berjumpa Inteam Records pada bulan Rejab untuk berbincang dan pada Syaaban pula memeterai perjanjian dengan mereka. Akhirnya pada 7 Ramadan lalu, album ini mula menemui peminat. Ia sesuatu yang indah.

"Proses rakaman dan susunan muziknya dibuat sejak setahun lalu di Platinum Records yang sememangnya digunakan kami sejak bersama kumpulan lama," kata Azan mewakili mereka ketika tampil di Balai Berita, Bangsar baru-baru ini.

Bercerita lanjut, Pot memberitahu perubahan yang dilakukan mendapat reaksi positif daripada peminat yang mendoakan kejayaan AlMawlid sekali gus menyaksikan mereka terus menjadi sebutan dan mengukir nama di persada seni tanah air.

"Kami lihat peminat banyak berdoa untuk kejayaan AlMawlid. Tak kira peminat baru atau lama, semuanya mendoakan yang terbaik. Doa adalah senjata orang mukmin dan berkat doa inilah kami berjaya menghasilkan album pertama. Sebelum ini memang kami mensasarkan album ini untuk peminat lama tapi tak sangka golongan peminat baru pun mula meminati AlMawlid.

"Bayangkan tiga kumpulan yang mempunyai ramai peminat suatu ketika dulu bergabung membentuk AlMawlid, sudah tentulah ia menghasilkan produk yang terbaik. Kami berharap sangat peminat memiliki album ini kerana ia dihasilkan khas buat mereka. Alhamdulillah sekarang ramai juga mereka yang mengikuti kelas pengajian agama seperti kami.

"Sekarang ramai pelajar universiti yang terbabit dengan pengajian. Paling menarik lebih 10 peminat yang melayan lagu-lagu kami sejak dulu, turut sama berhijrah ke arah kebaikan dengan mengikuti pengajian. Ini yang kami tahu sahaja, tapi mungkin bilangannya lebih lagi. Alhamdulillah kami tampil bukan sekadar sebagai kumpulan muzik tapi untuk membawa mesej cintakan Rasulullah.

kumpulan AlMawlid

"Tema album kami mengenai Rasulullah, cara hidup baginda dan khas diterbitkan buat baginda. Bahkan dalam masa sama, Inteam Records mengadakan kempen Jom Cinta Rasul yang membawakan mesej sama. Kita perlu sentiasa berselawat, berqasidah dan memuji Rasulullah. Kita juga perlu satu hati hidupkan Rasulullah kerana ramai yang anggap baginda sudah tiada. Kena ingat Rasulullah sentiasa bersama kita," katanya.

Selain lagu Cahaya Seluruh Alam, album ini turut memuatkan lagu Mahalul Qiyam, Tholama, Menuju Ke Madinah, Ingin Bersamamu dan Cahaya Seluruh Alam (minus one).

"Kami bagi aura sendiri dalam lagu Mahalul Qiyam dan Tholama. Menuju Madinah pula disampaikan dalam bentuk R&B. Kami cuba terapkan unsur harmoni dalam kebanyakan lagu termasuk selawat dan ini menimbulkan kekaguman kepada yang mendengar. Apapun sebelum buat begini kami akan merujuk kepada guru kami iaitu al-Habib 'Ali Zaenal 'Abidin al-Hamid dari Majlis Ta'lim Darul Murtadza," tambah mereka yang akan berada di Masjid Muadz Bin Jabal di Setiawangsa setiap Jumaat untuk mengikuti kelas pengajian.

Jika dahulu penampilan mereka di atas pentas hanya untuk mencari pendapatan, kini matlamat utama ialah mahu berselawat dan berkongsi ilmu. Undangan untuk mengadakan persembahan bermakna membuka peluang buat mereka untuk berselawat.

"Kami seronok dapat mengajak ramai orang untuk berselawat. Menerusi genre ini juga kami berpeluang buat persembahan depan ulama. Kami nak genre ini terus berkembang. Malah kami berhasrat menjadikan album ini sebagai wasilah (penghubung) bagi menanam perasaan cinta kepada Rasulullah.

"Dulu mungkin kami merendah diri untuk berselawat tapi sekarang kami berbangga nak berselawat.

"Ia patut diangkat ke tahap tertinggi kerana siapa yang membantu menyebarkannya diumpamakan khadam Rasulullah.

"Bahkan Allah sendiri menyuruh umatnya berselawat.

"Ia wajib dan mustahil seseorang hanya kenal Allah tanpa kenal Rasulullah," jelas Amer yang memberitahu kesemua mereka tidak menyesali masa silam yang dilalui sebelum ini.

Sebelum mengakhiri perbualan, kesemua mereka sepakat memberitahu pentingnya menanamkan sikap istiqamah agar kehidupan yang dilalui menjadi lebih bermakna.

Ini terbukti apabila kehidupan rumah tangga mereka sendiri berjalan dalam suasana harmoni.

Amer diceriakan dengan kehadiran anak lelaki dinamakan Ibrahim yang kini berusia setahun tujuh bulan.

Pot pula gembira dengan kehadiran dua anak perempuan iaitu Iman Putri, 12, dan Hana Maya, 2 tahun.

Lah pula dikurniakan Amira Zaharah, 3 tahun dan Muhammad Adam Zikry, 7 bulan.

Azan pula memiliki empat anak iaitu Sulaiman Amal Addin, 8, Sorfina Az-Zahra Addin, 6, Syadiah al-Maryam Addin, 5, dan Muhammad Syams Addin, 2.

Zaf memiliki tiga anak iaitu Khayra Hannah,4, Khayra Amani, 3, dan Aisyah Humaira, 6 bulan.

Facebook AlMawlid: http://www.facebook.com/almawlid

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top