Sempena Hari Raya, TVi akan menyiarkan sembilan drama menarik sepanjang sambutan Aidilfitri ini yang mengetengahkan variasi plot kisah drama kasih sayang, kekeluargaan dan tidak ketinggalan berlatarkan sambutan perayaan yang bakal diraikan tidak lama lagi.

Semua drama itu akan disiarkan menjelang 1 Syawal sehingga 8 Syawal (26 Ogos), jam 12.00 tengahari yang dibarisi pelakon terkenal yang lama dan baru antaranya, Harun Salim Bachik, Aznah Hamid, Fauziah Nawi, Azza Elite, Liza Abdulah, Zaibo, Maimun Mutalib, Faizal Hussein, Zizan Nin, Sidek Hussein dan Dian P.Ramlee.

Watak mereka 'disatukan' dengan pelakon muda antaranya Julia Ziegler, Danny, Ikram Dinzly, Intan Ladyana, Talha Harith, Siti Fazurina, Juliana Ibrahim dan Emelda Rosmila.

Drama itu, Hero Desa (siaran 18 Ogos), Raya Yang Paling Raya (19 Ogos), Shah Rukh Khan Malaysia (20 Ogos), Kamar 5 Bintang (21 Ogos), Menantu Raya (22 Ogos), Selamat Hari Raya Bapak (23 Ogos), Bertemu Kasih (24 Ogos), Bahulu Celup (25 Ogos) dan Angan Si Nonong (26 Ogos).

Hero Desa mengisahkan pasukan produksi filem yang ingin mengadakan penggambaran di sebuah kampung. Pelakon lelaki utama menarik diri dan uji bakat terpaksa dibuat bagi mencari pengganti. Ramli seorang yang lurus, pergi menghadiri uji bakat itu dan dia terpilih. Ini menyebabkan hubungan dengan Ramlah terjejas dengan kehadiran seorang pelakon popular yang sama-sama berlakon berlakon dengannya,

Raya Yang Paling Raya pula menceritakan Iwan dan Hadi berhijrah ke Kuala Lumpur dengan harapan dapat mencapai impian tetapi selepas tiga tahun nasib mereka masih tidak berubah. Apabila tiba hari raya, Adi mengajak Iwan memecah masuk rumah untuk mencari tambang balik ke kampung. Telefilem ini dijayakan oleh Jehan Miskin, Nubhan, Arash Mohamad, Abby Abadi dan Ayu Raudhah.

Shah Rukh Khan Malaysia adalah kisah mengenai anak muda bernama Shah yang sangat fanatik dengan pelakon terkenal Shah Rukh Khan sehingga sering menganggap dirinya sebagai Shah Rukh Khan Malaysia. Lakonan Ikram Dinzly, Intan Ladyana, Afzan Abd Rahman, Saiful Nizen, Mohd Yusman, Midyanti dan Mohd Zaiden.

Kamar 5 Bintang pula mengenai tiga beradik yang berebut bilik di kampung apabila balik menyambut Hari Raya bersama keluarga di kampung halaman dan dilakonkan oleh Fauziah Nawi, Azza Elite, Liza Abdulah, Bakhtiar Bolak, Hasli Bakar dan Talha Harith.

Menantu Raya memaparkan kisah Lisa yang ingin menyatukan ibu bapanya yang sudah pun berpisah sebelum dia terikat dalam hubungan perkahwinan. Kisah menarik ini turut dijayakan Zaibo, Maimun Mutalib, Siti Fazurina, Ghani Ahmad, Mark Loo dan Kanchana Devi.

Selamat Hari Raya Bapak adalah kisah tiga sekawan yatim piatu yang dibesarkan oleh seorang cikgu sejak kecil dan apabila dewasa salah seorang daripada mereka ditemukan dengan bapa kandung semasa Hari Raya Aidilfitri. Antara pelakon yang menjayakan drama ini ialah Jeff Omar, Collan Koo, Shree, Yus Edo dan Roslan Salleh.

Bertemu Kasih mengutarakan kisah Shukri yang menyamar sebagai penuntut universiti bagi menyiasat sindiket penculikan dan penyeludupan bayi di perkampungan orang asli Sukun. Ia dibintangi oleh Faizal Hussein, Zizan Nin, Sidek Hussein dan Juliana Ibrahim.

Bahulu Celup berkenaan Aina yang selalu dimanjakan oleh ibunya sehingga dia tidak mampu berdikari. Namun Aina cuba mengubah kehidupannya selepas dibandingkan dengan kakaknya, Aini.

Manakala Angan Si Nonong mengetengahkan cerita seorang gadis tomboi yang bercita-cita untuk memasuki pertandingan Unduk Ngadau dan dia dicabar oleh anak Tok Penghulu yang cantik. Berjayakah Nonong menjadi Ratu? Semuanya bakal terjawab pada 26 Ogos nanti.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top