Ummi...Ceritalah Pada Kami

Ummi...Ceritalah Pada Kami buah tangan daripada penyanyi Nora yang beraksi di samping anak-anaknya - Mohd Syakir, Alif, Atan, Hana, Putri dan Aiman dalam program animasi muzikal baru di TV3.

Diterbitkan sebanyak empat episod dan mula bersiaran pada 27 Julai lalu, program itu diterbitkan Johan Nawawi daripada Hud Hud Media dan ia adalah cetusan idea Nora selaku Pengarah Kreatif yang mahu berkongsi kisah pengajaran daripada al-Quran dan hadis kepada kanak-kanak. Program animasi yang berkonsepkan Islam ini juga diselitkan elemen muzikal untuk menarik minat penonton cilik.

Ummi...Ceritalah Pada Kami
Hasil nukilan skrip oleh Nora, Khariyyah Mohd Hanafiah dan ustaz Aminullah Saliman, program itu mengisahkan seorang wanita bernama Ummi yang sering mengajar nilai murni kepada kanak-kanak di sebuah rumah persinggahan yang dikenali sebagai Pondok Ummi. Watak Ummi dipegang sendiri oleh Nora.

Ummi gemar memetik kisah pengajaran daripada al-Quran, hadis dan banyak lagi kisah menarik yang berunsur kebaikan. Episod pertama mengisahkan Kelebihan Al-Fatihah, kisah dalam episod seterusnya berjudul Lebah Membawa Manfaat, Rakan Sejati dan Kisah Sang Perisik.

Dalam kisah Lebah Membawa Manfaat, Hana kelihatan tidak berselera makan. Apabila ditegur Ummi, Hana beritahu terdapat semut di pinggannya dan dia enggan makan kerana dia geli pada serangga itu. Atan terus menekan semut itu dengan patung 'pendekar-man' dan membunuh mereka. Ummi dengan kesal menasihati Atan bahawa semua makhluk ciptaan Allah s.w.t ada manfaatnya sama ada kita ketahui ataupun tidak dan harus dibelas kasihan.

Ummi pun bercerita mengenai lebah iaitu binatang kecil yang disebut dalam al-Quran yang memberi banyak manfaat kepada manusia. Selesai Ummi bercerita, mereka berasa lebih menghargai binatang kecil ciptaan Allah termasuk semut.

Cerita dalam Rakan Sejati pula, Putri tiba di rumah Ummi dengan wajah muram kerana rakan sekelasnya mengambil duit saku yang diberi ibu bapanya. Putri menjadi lebih sedih kerana dia berniat untuk membeli buku cerita kegemarannya, Jojo & Mimi.

Apabila ditanya Ummi mengapa Putri sukakan buku cerita itu, jelas Putri, dia suka membaca persahabatan akrab Jojo & Mimi. Ummi teringat akan satu kisah yang sangat penting dalam sejarah Islam iaitu persahabatan antara Saidina Abu Bakar dan Rasulullah s.a.w Ummi mula menceritakan kisah Saidina Abu Bakar disengat kala jengking di dalam gua Thur ketika menolong Rasulullah melarikan diri daripada orang Quraisy.

Dalam kisah Sang Perisik pula, Atan, Alif dan Hana bermain perang-perang dengan Aiman, Putri, dan Jojo (kucing) di sekitar pondok Ummi. Aiman dan Putri marah serta menuduh Jojo tidak amanah kerana mengikut kumpulan Alif, Atan dan Hana selepas ditawarkan ikan sardin. Aiman dan Putri mengadu perkara itu kepada Ummi.

Maka Ummi menceritakan kisah Nabi Sulaiman a.s dan burung hud-hud, burung yang kecil yang termasuk dalam senarai barisan tentera Nabi Sulaiman.

Ummi...Ceritalah Pada Kami disiarkan secara ulangan pada setiap Sabtu jam 7 malam sejak 28 Julai lalu.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top