Kisah cinta lamanya bersama penjaga gol Sabah yang juga adik kepada pelakon Sharifah Sofea, Syed Adney, tiba-tiba saja menjadi perhatian gara-gara gambar mereka berdua disebarkan kembali oleh portal hiburan.
Keadaan ini membuatkan pelakon jelita dan popular, Siti Saleha Mohd Baharum, 22, kurang senang dengan perkembangan itu.
Lebih memburukkan keadaan apabila ada pihak percaya gambar yang disiarkan kembali itu sehingga beranggapan dia dan Syed benar-benar kembali berhubungan.
Saleha sewaktu dihubungi menjelaskan, perkara itu membuatkan ada media lain memetik artikel yang disertakan gambar terbabit dan menyiarkan semula kepada umum, membuatkan peminat percaya.
"Pada saya mahupun Syed Adney, sudah tentu perkara itu menimbulkan rasa kurang senang. Kemungkinan ia juga membabitkan pelbagai pihak.
"Saya tidak sangka hubungan yang pernah terjalin satu ketika dulu diperbesarkan kembali hanya kerana sekeping gambar," katanya.
Kata Saleha, bagi menangani masalah ini, pihak pengurusannya mencadangkan satu sidang media khas dibuat mengenainya, tetapi pelakon utama yang baru selesai menjalani penggambaran filem Pencinta itu bimbang ia akan memburukkan lagi keadaan.
"Walaupun sekarang ini kami berkawan, kami tidak bercinta. Itu pasti dan saya berkata benar. Saya jarang bercerita mengenai hal peribadi, tetapi kalau sesuatu perkara yang dilaporkan itu membabitkan diri saya tidak benar, menjadi tanggungjawab saya untuk membetulkan keadaan kerana tidak mahu ia memberi kesan kepada kerjaya kami mahupun orang keliling.
"Sebelum ini pun, ada pihak bertanya mengenai hubungan saya dan Syed Adney. Saya sudah jelaskan bahawa kami tidak lagi bercinta, tetapi tetap berkawan.
"Cuma saya hairan apabila ada yang menggunakan gambar kami dan cuba mengaitkan kami masih lagi bercinta. Mengapa harus begitu?" katanya.
Tambah Saleha, yang membimbangkannya, apabila ada pihak berbuat cerita sedemikian, penumpuan Syed Adney ketika perlawanan bola sepak terganggu.
"Saya pula ada karier yang perlu diberi perhatian. Saya tidak mahu cerita yang sengaja diada-adakan ini mengganggu tumpuan pada kerja. Tambahan pula, hati peminat perlu dijaga.
"Apa kata mereka apabila saya memberi kenyataan sebelum ini bahawa saya dan Syed Adney sudah tidak ada hubungan istimewa, tetapi penulis portal hiburan pula menggunakan sekeping gambar dan cuba mengaitkan kami kembali.
"Perkara seperti itu sangat tidak bagus kerana orang akan menuding jari dan mendakwa saya berbohong atau memutar-belit kenyataan. Jadi ingin saya tegaskan bahawa berita disiarkan itu adalah palsu," katanya.
Mengenai kerjaya seni, jelas pelakon berdarah kacukan Inggeris-Melayu ini, selepas mengukuhkan namanya dalam dunia lakonan, terutama filem, kini dia bersedia melebarkan sayap dalam bidang pengacaraan.
Katanya, sejak dulu dia berminat mengacara tetapi peluang dan keberanian tidak ada. Apatah lagi, pada peringkat awal dia kurang fasih berbahasa Melayu.
"Itu dulu, tetapi sekarang apabila biasa beraksi di depan kamera, saya sudah memiliki keyakinan itu. Tambahan pula, sebelum ini saya pernah diberi peluang mengacara di majlis Anugerah Industri Muzik (AIM).
"Selepas mencuba, saya rasa tertarik dan amat berminat," katanya yang meminati corak persembahan Awal Ashaari sewaktu mengendalikan rancangan Melodi dan Awal Lagi.
Kata Saleha, dia selalu melihat Awal begitu yakin sewaktu berbicara dan patah bicaranya juga laju tetapi kemas, dan perkara itu juga banyak memberikannya idea untuk belajar seandainya bergelar pengacara satu hari nanti.
"Saya juga tidak menghadapi masalah mengendalikan rancangan bahasa Melayu kerana ia sebati dengan diri dan lidah.
"Kalau ada yang bertanya sekarang sama ada saya mahu mengendalikan rancangan Melayu atau Inggeris, terus-terang saya katakan saya mahu mengendalikan rancangan dalam bahasa Melayu," katanya.
~ Metro Ahad
0 ulasan:
Catat Ulasan