Kumpulan Twelf Note 
Hasrat murni lapan anak muda ghairah dengan semangat `universal cabang seni' itu sungguh tulus apabila cuba mengetengahkan konsep `funk fusion jazz' yang jarang kedengaran.

Dalam erti kata lain, genre muzik itu tidak popular di kalangan pendengar muzik tempatan, sebaliknya hanya ada penggemar dalam kelompok tertentu.

Dominasi elemen indie dan kontemporari pop di kalangan pendengar muzik tempatan memerlukan usaha bukan sedikit daripada anak muda itu supaya muzik yang mereka perjuangkan ada ruang untuk bernafas.

Cabaran digalas mereka memang getir apabila perlu meyakinkan peminat muzik tempatan mengenai karya muzik mereka yang sebenar.

Pengasas kumpulan dinamakan Twelf Note sempena ton muzik dalam sistem 12 kromatik meliputi tangga 'key' pada kekunci piano hitam dan putih, Muhammad Hakimi Abdul Aziz, menyifatkan muzik jazz sebagai eksklusif dan pendengarnya tergolong dalam kelas tersendiri.

"Jazz jarang dimainkan oleh anak muda. Mungkin rentaknya yang perlahan dan mendayu-dayu menyebabkan ia sukar menarik golongan berkenaan mendekati muzik itu.

"Oleh itu, pendengarnya tergolong dalam kumpulan elit selain membuatkan anak muda kekok apabila cuba kekal dalam kelompok muzik jenis ini.

"Kemudian, satu elemen dinamakan 'funk' menjadi eksperimen buat segelintir pemuzik jazz yang cuba menggabungkannya ke dalam genre jazz.

"Ia dilihat sebagai gerakan positif apabila usaha itu menjadikan peminatnya lebih pelbagai. Golongan muda turut berpeluang menikmati sisi unik jazz dicampurkan bersama funk," katanya yang mesra dengan panggilan Kimie di kalangan rakannya.

Wawasan Kimie ketika awal penubuhan Twelf Note tahun lalu tidak lain tidak bukan untuk membina platform dan merencana hala tuju dirinya sebagai pemuzik profesional.

Dia bersikap positif apabila mengatakan genre tidak popular itu pasti kedengaran segar dan mampu menarik menerusi susunan muzik yang menarik.

"Di Barat, jazz sudah lama berkembang kerana asal usul muzik itu sendiri dari sana. Tidak hairan, jazz di luar negara mempunyai kriteria sendiri.

"Malah, jazz di Indonesia juga disuntik unsur tradisional seperti java jazz yang mempunyai bunyi tersendiri. Oleh itu, bagi usaha kami generasi baru ini, mungkin funk fusion jazz lebih sesuai," katanya yang juga pemain dram kumpulan itu.

Pemain trompet, Mohd Asyraff Adnan berkata, kebaikan menganggotai kumpulan muzik itu ialah dia lebih terdedah dengan persembahan luar dan ada sokongan kuat untuk pergi lebih jauh.

"Pendedahan dalam kelas tidak mencukupi untuk membantu saya bergelar pemuzik baik. Oleh itu, pendekatan terbaik supaya dapat menilai potensi diri ialah dengan mengadakan persembahan di khalayak ramai.

"Maklum balas dan kritikan pendengar membantu saya memperbaiki kekurangan. Malah, perasaan membuat persembahan di luar tidak serupa berbanding bermain trompet di dalam kelas.

"Debarnya hanya Allah tahu, gugup dan ketara saya menggigil. Lama-kelamaan, saya dapat mengatasinya dan permainan saya bertambah baik," katanya yang meminati pemain trompet Cuba, Arturo Sandoval.

Rakan mereka, Rahmat Riza Alwi Aizhar, 22, berkata dia meminati hampir semua genre muzik, menyebabkan dia tidak kesah menyertai Twelf Note. Malah, genre muzik itu yang berbeza memberi ruang padanya serta rakan untuk lebih mudah dikenali.

"Apabila kita bermain jenis muzik yang jarang dimainkan, persaingan lebih kecil dan kita lebih mudah dikenali. Namun, sama ada eksperimen saya bersama anggota Twelf Note berjaya atau tidak masih belum boleh dinilai.

"Saya anggota bongsu kerana baru saja menyertainya berbanding orang lain dan masih banyak ruang perlu diteroka sebelum menghakimi potensi muzik itu," katanya yang bermain perkusi.

Rahmat turut berkata, fungsinya sebagai seksyen perkusi adalah membantu mewarnakan lagi persembahan muzik.

"Perkusi membuatkan sesebuah lagu itu tambah menarik. Tanpa perkusi, apa yang disifatkan sebagai 'fusion' mungkin kurang berjaya," katanya yang berasal dari Ipoh.

Buat Ahmad Ridhwan Ibrahim, 24, peranannya sebagai pemain gitar ialah menentukan kord (set harmonik dua atau lebih nota yang kedengaran seolah-olah dibunyikan serentak) dan permulaan supaya peranan instrumen lain teratur dan lancar.

"Gitar penting dalam jazz kerana ia mengawal kord dalam muzik. Andai saya gagal mengikut susunan betul, ia boleh membuatkan persembahan kedengaran sumbang," katanya.

Ditanya apa yang dibanggakan ketika bersama Twelf Note, dia berkata, dengan kumpulan berkenaan dia mempunyai peluang mengenali komuniti jazz yang sudah punya nama.

"Baru-baru ini kami dijemput membuat persembahan di World Youth Jazz 2012, Putrajaya sempena Hari Belia tahun ini.

"Berdiri dengan barisan senior memang pengalaman yang tidak dapat dilupakan dan menjadi kenangan paling manis sepanjang pembabitan saya dalam bidang seni," katanya.

Kumpulan Twelf Note

INFO

* Twelf Note bermaksud skala mempunyai dua belas nota (kira kedua-dua kunci warna putih dan hitam di piano)

* Kumpulan pemuzik ini dianggotai lapan anak muda lulusan Universiti Teknologi Mara, Shah Alam dan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara)

* Konsep funk fusion jazz

* Menyertai World Youth Jazz 2012, Putrajaya

Profil

NAMA: Muhammad Hakimi Abdul Aziz

UMUR: 23 tahun ASAL: Kuala Lumpur

INSTRUMEN: Pemain dram, gitar klasik dan biola

LULUSAN: Ijazah Muzik, Kejuruteraan Audio Aswara

Profil

NAMA: Rahmat Riza Alwi Aizhar

UMUR: 22 tahun ASAL: Ipoh, Perak

INSTRUMEN: Perkusi

LULUSAN: Ijazah Muzik, UiTM

Profil

NAMA: Ahmad Ridhwan Ibrahim

UMUR: 24 tahun

ASAL: Kuala Terengganu

INSTRUMEN: Gitar

LULUSAN: Diploma Muzik, UiTM

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top