TV3 menyediakan program menarik sempena Hari Raya, antaranya ialah program diberi nama Ziana, Amy & Erra yang menggabungkan tiga bintang ternama tanah air. Ia bakal disiarkan jam 6 petang, pada Hari Raya pertama.

Program selama sejam terbitan Nurhul Huda Khalid itu dipersembahkan dalam bentuk santai. Bukan bercirikan konsert semata-mata, sebaliknya ia diselitkan dengan pelbagai permainan menarik.

Selain Ziana Zain, Amy Search dan Erra Fazira, ia turut menampilkan tiga artis undangan iaitu Ezlynn, Azlan & The Typewriter dan Jaclyn Victor.

Tiga peminat tegar Ziana, Amy dan Erra turut diundang ke studio dan diberi peluang berduet dengan artis kesayangan masing-masing.

Antara lagu yang dipersembahkan dalam program ini ialah Sangkar Cinta, Pertemuan, Kerja Gila, Hanya Di Mata, Cinta Diam-Diam, Saat Ku Idamkan, Rozana, Berpisah Jua dan Menadah Gerimis.

Manakala Jac, Ezlynn dan Lan pula membawakan lagu milik Ziana, Amy dan Erra iaitu Pawana, Jendela Hati serta Kekal, dengan susunan muzik reggae, dangdut dan juga irama Malaysia, di bawah pimpinan Faizal Uzir atau Lok U.

Mentor Raya

Mentor Raya 6 pula disiarkan pada 26 Ogos, jam 9 malam.

Penerbit Eksekutifnya, Muhamad Sufian Isa memberitahu, program ringan berbentuk permainan itu dirancang bagi memberi keseronokan bukan saja kepada peserta malah penonton setiap program itu.

"Sebelum ini Ally Iskandar dan Nas Ahmad menjadi pengacaranya, namun kali ini ia berbeza apabila mereka akan menjadi ketua dan bersaing sesama sendiri. Mereka akan memilih mentor dan protege untuk menjadi ahli kumpulan masing-masing, manakala pengacaranya pula ialah Mas Idayu bersama Black," katanya.

Nas memilih Faizal, Ferhad, Adam, Ana Syuhada dan Tisha untuk menjadi ahli kumpulannya. Manakala, Ally pula memilih Ramlah Ram, Ella, Anas, KJ dan Puteri Caroline. Penonton juga tidak kering gusi apabila melihat telatah Ogy yang menjadi `subjek' untuk kumpulan Nas yang mana mereka perlu menukar lirik asal lagu Hari Raya berdasarkan perlakuan `subjek' mengikut kreativiti sendiri.

Penonton yang terlepas menyaksikan Mentor Raya 6 juga boleh menontonnya melalui laman sesawang Tonton di alamat www.tonton.com.my.

Konsert eksklusif Sharifah Aini

TV1 turut menyediakan program hiburan istimewa buat penontonnya iaitu Pesona Aidilfitri dan Konsert Eksklusif Orkestra RTM Bersama Datuk Sharifah Aini.

Siri konsert ini antara lain memperlihatkan usaha Orkestra RTM dalam menghargai bakat artis berpengalaman serta bintang kelahiran RTM yang menjadi inspirasi kepada peminat muzik.

Berkonsepkan tiga diva, saksikan Pesona Aidilfitri pada 22 Ogos, jam 9 malam, yang menyatukan persembahan penyanyi wanita ternama iaitu Dayang Nurfaizah (Golden Teen Search 1997), Misha Omar (Bintang RTM 2001) dan Alyah (Bintang HMI 2000). Turut diundang ialah Aisha Safia dan Shazia Rozaini, juara dan finalis Bintang RTM 2012.

Konsert Sharifah Aini pula disiarkan pada 24 Ogos, jam 9 malam. Bertempat di Auditorium Perdana, Angkasapuri, ia menyaksikan biduanita negara mendendangkan hampir 18 lagu malar segar dengan iringan 40 pemuzik profesional Orkestra RTM di bawah pimpinan Jimmy Ali.

TV2 pula menghidangkan program muzikal Raya Sama-Sama, Fenomena Raya, Aktif 5 Raya dan Sri Pantun Aidilfitri untuk hiburan penonton setianya.

Tampil tahun ini dengan tema Meriah Lebaran, TV2 menampilkan pelbagai konsep dalam memberikan kepuasan kepada penonton berhibur bermula dengan tayangan waktu malam raya, program Raya Sama-Sama (18 Ogos, jam 9.30 malam) dan diikuti Fenomena Raya (19 Ogos, jam 10 malam), Aktif 5 Raya (19 Ogos, jam 4 petang) juga dua episod Sri Pantun Aidilfitri (21 dan 28 Ogos).

Antara artis yang terbabit dalam program berkenaan ialah Linda Onn, Jep Sepahtu, Shuib Sepahtu, Saiful Apek, Didie Alias, Azlan & The Typewriter, Mus May, Jac, Ramlah Ram, Tomok, Ali Terra Rossa, Mawi, Izara Aishah, Zoey Rahman, Lan Kristal, Ezad Lazim, Ernie Zakri, Ahdan Salleh, Azrul Zaidi Raja Lawak dan Muaz.

Aznil, Aaron gamatkan raya Astro

Astro tidak ketinggalan menyediakan rancangan menarik untuk tontonan seisi keluarga pada musim raya ini. Antara program khas disediakan termasuk Mega Raya 2012 yang disiarkan pada 18 Ogos, 9 malam di Astro Ria dan Mustika HD, Raya Rayau Aznil (Ria/Mustika HD, 19 Ogos, 6.30 petang), Warna Raya (Warna, 24 Ogos, 3 petang) dan Lawak Ker Der (Warna, 25 Ogos, 9 malam).

Turut disiarkan ialah filem KL Gangster (Ria, 19 Ogos, 9 malam), Aaron & Zizan... Beraya Sampai Pengsan (Ria, 20 Ogos, 5 petang & Mustika, 20 Ogos, 8.30 malam), Takde Lembu Takde Raya (Ria, 19 Ogos, 10 malam), Rumah Terbuka Erra Fazira (Prima, 20 Ogos, 10 malam), Opocot! Latahnya Raya (Ria, 21 Ogos, 1 tengah hari), Randy Balik Malaysia Raya Ni (Ria, 21 Ogos, 5 petang), Spagetti Kuah Lodeh (Prima, 22 Ogos, 12 tengah hari), Daging Batang Pinang (Warna, 22 Ogos, 10 malam) dan K-Popnya Raya (Ria, 20 Ogos, 4 petang).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top