Nama seperti Ustaz Don dan Ustaz Azhar Idrus kini meniti di bibir anak muda, kehebatannya berhujah dengan gaya tersendiri menyampaikan seruan Islam berjaya menarik minat golongan muda mendalami ilmu agama.

Jika sebelum ini golongan muda `takut' menghadiri majlis ilmu, namun dua tokoh ini berjaya mencetuskan fenomena baru melahirkan keghairahan dalam kalangan anak muda untuk mendekatkan diri dengan majlis agama tanpa mengira tempat.

Situasi kini sudah berubah, orang ramai lebih tertarik kepada ustaz ataupun ustazah yang bukan saja mempunyai personaliti menarik, malah mampu menyampaikan kuliah agama dengan penampilan mengikut selera golongan muda.

Bukan itu saja, sempena Ramadan ini juga majoriti masjid akan memanggil imam atau ustaz yang masih muda daripada mana-mana pusat tahfiz untuk mengimamkan solat sunat tarawih.

Menyedari keperluan itu, TV3 dalam usaha melahirkan lebih ramai pendakwah muda berkaliber untuk menyebarkan syiar Islam mengadakan satu program realiti Pencarian Pendakwah Muda yang dijangka memulakan siaran Oktober depan.

Penyelaras Kandungan Islam TV3, Ahmad Noor Sulaiman, (gambar) berkata program realiti sebanyak 14 episod itu adalah bukti serta komitmen syarikat penyiaran berkenaan menyemarakkan dunia dakwah di negara ini supaya ilmu agama dapat disebarkan dengan berkesan.

"Program ini bertujuan mencungkil pendakwah muda. Aspek yang diberi perhatian ialah dari segi cara menyampaikan sesuatu dakwah, kita mahu menampilkan teknik berdakwah yang lebih berkesan sesuai dengan masa kini.

"Kebanyakan pendakwah masih lagi menggunakan cara ataupun pendekatan bersifat konvensional, sedangkan cara menyampaikan dakwah kini perlu lebih kreatif bagi menarik lebih ramai khalayak untuk mendekatkan diri dengan ilmu agama," katanya.

Katanya, Pencarian Pendakwah Muda menjadi medan terbaik buat anak muda yang mempunyai idea baru, segar dan bernas menjadi pendakwah bagi menyebarkan ajaran Islam khususnya kepada anak muda.

Kejayaan pendakwah sekarang menarik ramai khalayak terutama golongan muda mendalami ilmu agama bukan saja terletak pada ilmu agamanya semata-mata, sebaliknya kemahiran dan kreativiti ketika berdepan masyarakat.

Hari ini untuk menyebarkan dakwah Islam kita tidak semestinya memakai serban ataupun jubah, sebaliknya orang muda kini lebih tertarik kepada pendakwah yang tampil dengan imej lebih segar sesuai kehendak golongan itu.

Jika kumpulan sasar adalah orang muda, pastinya pendekatan mengikut gaya mereka ketika menyampaikan kuliah lebih sesuai.

Islam itu indah, mudah dihayati serta difahami, tetapi ia memerlukan gaya penyampaian dakwah yang lebih berkesan dan kreatif supaya kumpulan mendengarnya tidak jemu atau mengantuk hingga menggagalkan mereka menerima ilmu agama disampaikan.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top