Total Recall arahan Len Wiseman dilakonkan aktor kacak, Colin Farrell yang memegang peranan sebagai lelaki yang mencari identiti dirinya serta jawapan kepada teka silang kata bermotif jahat selepas daya ingatannya ditukar.
Total Recall menonjolkan krisis perebutan kuasa politik antara blok Barat dan Timur iaitu Euroamerica dan New Shanghai. Lebih tepat lagi, dunia masa depan ditadbir dua kuasa pemerintah bergelar United Federation of Britain (UFB) dan The Colony.
Ia mengisahkan seorang pekerja kilang, Douglas Quaid (Farrell) yang menjadi mangsa teknologi canggih di Rekall, sebuah syarikat yang mampu mengubah setiap mimpi menjadi 'suatu realiti'. Satu kemalangan berlaku ke atas Quaid dalam proses terbabit lalu menyebabkan dia akhirnya menjadi buruan pihak berkuasa yang diketuai Chancellor Cohaagen (Cranston).
Quaid juga keliru dan tergamam apabila isterinya, Lori (Beckinsale) berubah sikap dan berpaling tadah kerana mendakwa perkahwinan mereka selama ini adalah sesuatu yang palsu atau tidak benar. Dalam menjadi seorang pelarian, Quaid dibantu seorang pemberontak, Melina (Biel) yang bertugas dengan pihak pertahanan bawah tanah, Matthias (Nighy). Di sinilah Quaid cuba mencari jawapan siapa dirinya yang sebenar yang dikatakan bernama Hauser.
Ternyata treler dan sedutan khas yang ditayangkan pada acara Summer of Sony: The Spring Edition itu menampakkan Total Recall sebagai sebuah filem sci-fi yang cukup hebat dan canggih.
Total Recall sebenarnya kisah yang tercetus daripada cerita pendek karya Philip K Dick berjudul We Can Remember It for You Wholesale yang diilhamkan pada 1966.
Total Recall versi 2012 turut menampilkan dua bintang jelita, Kate Beckinsale dan Jessica Biel serta pelakon terkenal lain seperti Bryan Cranston, Bill Nighy, Bokeem Woodbine, John Cho dan Will Yun Lee.
0 ulasan:
Catat Ulasan