Meskipun penat, dia tidak pernah mengeluh sebaliknya bersyukur kerana kehadirannya diterima baik penerbit serta pengarah tanah air. Bahkan dari awal kemunculan, bekas pramugari ini tidak memilih. Baik muncul sebagai pelakon utama mahupun watak sampingan, selagi bersesuaian pasti disambut dengan hati terbuka.
Mungkin kerana itu, ramai penerbit senang melamarnya. Sebagai bukti, Ramadan ini jadual ibu tunggal dua anak, Ammar Effendy, 16, Aniq Ezzra, 14, sangat padat. Selain terikat dengan penggambaran telefilem Lepas Raya Harap Balas untuk TV3 yang baru selesai beberapa hari lalu, dia berkampung di lokasi penggambaran telefilem untuk Astro Prima, PA Ku Diva pula.
"Saya akan pastikan kerja selesai sebelum 16 Ogos kerana pada tarikh itu mahu pulang ke Alor Star, Kedah. Biasalah, bila raya kena balik awal sebab banyak kerja nak buat.
"Mana nak mengemas lagi, memasak dan sediakan apa yang patut untuk sambut tetamu pada hari raya nanti. Saya akan bercuti sehingga 27 Ogos dan akan terbabit penggambaran filem pula selepas itu.
"Saya bersyukur tawaran datang bersilih ganti. Lepas habis satu penggambaran, akan ada penggambaran lain pula. InsyaAllah hari raya nanti ada lima telefilem lakonan saya akan disiarkan iaitu Ramadan Yang Meletup untuk RTM, Lepas Raya Harap Balas (TV3), Bedah Tong Gas Nak Raya (TV9), Janda Belum Kaya dan PA Ku Diva (Astro Prima).
"Selain itu saya juga terbabit dengan program raya, Tiada Lama Tiada Baru (RTM), Jaguh Kampung Raya (Astro Prima) serta Gitu Gitu Langsung Raya (Astro Warna).
"Mujur saya buat persiapan raya awal, kalau tidak memang 'sakit' sebab jadual seni saya pada sepanjang Ramadan ini sangat padat," kata Rozita ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama media dan tayangan pra-tonton program Aidilfitri Astro, Rabu lalu.
Akui Rozita, apabila usia meningkat sambutan lebaran tidak lagi semeriah dulu apatah lagi adik-beradiknya sudah berumah tangga. Setiap kali tibanya hari raya, pasti tidak cukup korum kerana ada yang beraya di rumah mentua.
"Tahun ini hanya kami berlima beraya dengan mak di Alor Setar kerana Ayu Raudhah beraya di Seremban dan kakak saya pula di Sungai Buluh. Kalau ikut giliran, anak-anak saya beraya dengan bekas suami tetapi mereka sudah dapat keizinan dari ayah mereka untuk beraya dengan saya.
"Anak sulung saya sudah berusia 16 tahun manakala adiknya pula 14 tahun, kalau ajak beraya di rumah saudara mara bukan nak ikut. Mereka lebih suka duduk di rumah menonton TV atau main komputer.
"Baru-baru ini saya terkejut si adik sudah pandai tempah kuih raya di internet. Dia tempah tanpa pengetahuan saya. Bila dah siap, tiba-tiba dia suruh saya ambil. Ingatkan sikit, rupa-rupanya satu kotak dia tempah. Belumpun hari raya, dia sudah pulun makan.
"Raya kali ini saya tempah 25 pasang baju dan untuk anak-anak pula 10 pasang seorang. Saya jenis yang suka tempah banyak sekali gus, nanti boleh pakai untuk majlis rumah terbuka dan raya haji," katanya yang menyediakan kuih semperit dan makmur.
Wanita kelahiran Alor Setar pada 9 Mac 1974 ini bermula sebagai model selepas meninggalkan kerjaya sebagai pramugari pada 1995 dan mula bergiat aktif sebagai pelakon pada 2005. Drama pertama lakonannya, Cinta Terhalang dan sehingga kini membintangi lebih 50 drama TV. Antaranya, Susuk, Ai Di Beijing, Diari Ramadan Raffique dan Ayyad. Antara filem lakonannya pula, Sepi, Dunia Baru The Movie, Kantoi, Jangan Tegur, Sifu & Tonga serta Misteri Balan Balan The Movie.
0 ulasan:
Catat Ulasan