Kelly atau nama sebenarnya Raja Azman Raja Ayob berkata, dia yang dikenali sebagai pengacara dan pelakon mahu digelar penghibur serba boleh.
Justeru itu, dia kini berusaha menonjolkan diri sebagai penyanyi pula yang merupakan bidang terakhir untuk mendapatkan status tersebut.
"Benar, saya memang syok sendiri dan tidak salah bukan untuk kita mengejar sesuatu yang kita suka? Saya mahu dikenali sebagai seorang penghibur dan sekarang ini saya mahu kuasai bidang muzik pula.
"Walaupun diakui suara saya tak sedap, tapi saya belajar untuk menjadikannya sedap dengan masuk ke kelas vokal untuk mempelajari teknik-teknik vokal. Dah alang-alang ada bakat, rugi kalau kita persiakan," katanya yang dihubungi mStar Online, di sini, Jumaat.
Sementara itu, bersempena dengan kehadiran bulan Syawal ini, Kelly muncul dengan sebuah single lagu terbaru berjudul Kepulangan Di Hari Raya ciptaan Awang BPR dan Mastura Marzuki.
Menurutnya, lagu tersebut sudah pun disiapkan sejak tiga tahun lalu dan bersyukur ia sudah pun diputarkan di stesen-stesen radio tempatan.
"Tak sangka pula lagu ini diterima pendengar, Alhamdulillah. Bagaimanapun saya juga menerima kritikan daripada segelintir golongan yang tidak menyukai saya, tidak apa.
"Saya terima dengan segala persepsi masyarakat terhadap saya dan lagu ini. Dan ya, lagu ini juga saya buat mengikut citarasa saya sendiri.
"InsyaAllah, saya akan muncul dengan single seterusnya pula," ujarnya.
Dalam pada itu, menceritakan pengalamannya dalam industri seni tanah air sejak empat tahun lalu, Kelly telah melalui pelbagai dugaan dalam mengejar cita-citanya sebagai seorang penyanyi.
"Saya dah biasa dengan kritikan orang tentang diri sejak dulu lagi. pernah sekali apabila saya naik ke pentas untuk menyanyi, penonton terus beredar dan kemudian apabila penyanyi lain membuat persembahan, kawasan penonton itu kembali penuh.
"Memang sedih, tetapi saya anggap ia lumrah kehidupan sebagai seorang artis," tuturnya.
0 ulasan:
Catat Ulasan