Sinopsis drama Ampun Untukmu

Ampun Untukmu lakonan Zamarulhisham, Eira Syazira, Sofi Jikan, Afzan A Rahman dan Maimon Mutalib mengisahkan Liana yang masih bersekolah, memilih untuk kahwin lari di Selatan Siam dengan kekasihnya Faris.

Liana sudah tidak sanggup dikongkong ibunya Saleha dan ayahnya, Razak. Dia nekad lari bersama Faris sehingga sanggup mengenepikan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Dia juga sakit hati apabila ayahnya selalu membandingkannya dengan adiknya, Haikal yang mendapat 9A dalam PMR dan berjaya ke sekolah berasrama penuh.

Mereka menetap di Kuala Lumpur dan Liana sudah tidak ambil tahu apa yang berlaku pada keluarganya di kampung. Faris hanya bekerja di bengkel kereta dan perhubungan mereka jadi hambar akibat masalah kewangan. Apatah lagi Liana tidak bekerja kerana terpaksa menjaga dua anak yang masih kecil.

Impian indah untuk hidup bahagia bersama Faris menjadi sebaliknya dan makin terhimpit apabila Faris cedera parah akibat terbabit dalam kemalangan dan lumpuh sebahagian badan ke kaki. Mujurlah Mail, kawan sekerja Faris banyak membantu dari segi tenaga dan kewangan tetapi mempunyai niat tersendiri.

Sejak itu, Liana terpaksa bekerja sebagai tukang cuci di sebuah pejabat. Dia serba salah dan takut apabila diintip oleh pemuda yang akhirnya memperkenalkan dirinya Haikal iaitu adiknya sendiri. Haikal akui mencari Liana tanpa putus ada dan cuba memujuknya untuk balik kampung sempena Ramadan yang mulia.

Liana sedar dosa yang dilakukannya dan enggan pulang walaupun teringin merayakan Aidilfitri bersama ibu bapa. Haikal terus memujuknya tanpa jemu. Seminggu sebelum Aidilfitri, Mail datang meminta sebahagian hutangnya daripada Faris namun Faris tidak dapat membayar. Mail sebenarnya sedang dikejar 'along'.

Dia ternampak Liana pulang dari kerja dan bersiap untuk berbuka puasa lalu meminta wang darinya. Liana meminta tangguh dan Mail yang sudah lama mahu memikat Liana segera mengheretnya masuk ke dalam bilik dan melepaskan nafsunya. Selepas itu Mail mencuri wang simpanan dan merentap rantai leher Liana lalu beredar.

Disebabkan tiada pilihan lain, mereka pulang ke kampung. Bagaimanapun , ibunya Saleha kecewa dengan tindakan yang dilakukan Liana sebelum ini. Padanya Liana bukan saja memalukan keluarga, tetapi juga menjadi penyebab kematian suaminya.

Pelbagai konflik yang mengesankan tercetus dalam drama arahan Murali Abdullah ini. Semua persoalan akan terjawab apabila penonton mengikuti Ampun Untukmu.

Produsernya, Zainuddin Mohd Ismail berkata, dia sentiasa menampilkan pengajaran dalam setiap drama terbitannya dan tidak mahu memberikan hiburan kosong.

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top