Jabbar Juara Imam Muda musim ke-3

Program realiti pencarian imam terbitan Astro Oasis, Imam Muda musim tiga (IM3) menobatkan Imam Muda Jabar selaku juara mengalahkan dua lagi pencabarnya, Imam Muda Hafiz dan Imam Muda Naufal.

Keputusan itu diumumkan Mudir IM3, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz, malam tadi.

Dengan kemenangan itu, Imam Muda Jabar atau nama sebenarnya Abdul Jabbar Mohammed Kahar, 28, membawa pulang wang tunai RM100,000 serta trofi sumbangan Astro.

Jabbar Juara Imam Muda musim ke-3

Mengulas kemenangannya, Jabbar berkata, dia memang tidak menyangka menggenggam gelaran berkenaan kerana saingan diterima pada peringkat akhir cukup hebat.

"Saingan pada peringkat akhir memang cukup sengit, terutama daripada Hafiz.

"Bagaimanapun, sepanjang pertandingan akhir ini berlangsung, saya cuba bersikap tenang. Dengan cara itu, ia memudahkan saya untuk melalui semua ujian yang dijalankan," kata bapa kepada sepasang cahaya mata ini.


Peserta berasal dari Selangor itu memiliki kelulusan Sarjana Fiqh dari Al Madinah International University dan Sarjana Muda Syariah serta Pengajian Islam dari Universiti Islam Madinah. Dia kini berkhidmat sebagai penolong pensyarah dan sudah berkahwin.

Naib juara pula menjadi milik Imam Muda Hafiz atau Mohammad Hafiz Abdul Khodir, 27, yang meraih wang tunai RM35,000 sumbangan Astro dan RM15,000 sumbangan Bank Islam.

Peserta termuda IM3, Imam Muda Naufal atau nama Abdul Rahman Naufal Mohd Hatta, 21 yang menduduki tempat ketiga pula menang wang tunai RM15,000 sumbangan Astro dan RM10,000 sumbangan Bank Islam.


Hafiz yang kini berkhidmat sebagai imam masjid berkelulusan Sarjana Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Malaya serta Sarjana Muda Syariah Fiqh dan Usul Fiqh dari Universiti Mu'tah, Jordan.

Naufal pula masih mengikuti pengajian peringkat Sarjana Muda Sains Aktuari dan Pengurusan Risiko dari Universiti Sains Islam Malaysia.

Kemuncak IM3 diadakan di Dewan Jubli, Pusat Penilaian Negara (Inspens), Bangi dan siaran rakaman itu disiarkan di Astro Oasis (Saluran 106) dan Mustika HD (Saluran 134), malam tadi.

Program realiti Islamik yang diperkenalkan tiga tahun lalu mendapat liputan meluas di seluruh dunia dengan juara IM1 disandang Imam Muda Ashraf (Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan) dan juara IM2 pula dimenangi Imam Muda Hassan (Mohd Hassan Adli Yahya).

0 ulasan:

Catat Ulasan

 
DISCLAIMER: BUZZERA TIDAK BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SEBARANG KEROSAKAN YANG DI ALAMI PENGGUNA KERANA MENGGUNAKAN MAKLUMAT DALAM LAMAN WEB INI.

Buzzera - Berita Hiburan Malaysia © 2015. All Rights Reserved. Powered by Blogger
Top